Isnin, 24 Januari 2011

PENTINGKAH JUDUL SEBELUM MENULIS NOVEL

TERDAPAT sesetengah penulis tidak boleh menulis jika tidak ada judulnya terlebih dahulu. Sama ia judul cadangan atau judul tetap, ia ibarat seperti ‘ibu’ yang akan menjadi penaung kepada apa yang bakal dituliskan.

Bagaimanakah jika tidak ada judul sebelum menulis? Jika beginilah keadaannya, sudah tentulah kerja-kerja menulis tidak boleh dilakukan dan selamanya ia akan hanya diperingkat angan-angan sahaja.

Sebaik-baiknya, usah pentingkan sangat mengenai judul. Percayalah judul akan dating apabila novel itu selesai ditulis. Tidak semestinya judul yang kita sediakan akan digunakan sepenuhnya oleh penerbit.

Adakalanya apabila novel itu layak diterbitkan, editor sendiri akan membuat penilaian sama ada judul yang disediakan itu sesuai atau tidak. Editor atau penerbit akan menukar judul yang diberi jika tidak sesuai.

Penulis pula harus menerima jika judul yang diberikan, ditukar dengan judul lain. Pihak penerbit lazimnya mempunyai perancangan kerana ia termasuk dalam soal pemasaran buku berkenaan.

Kemungkinan cerita dalam novel itu tidak bagus tetapi kerana judulnya yang lain daripada yang lain, menyebabkan novel itu ‘laku keras’ apabila di pasarkan.
Oleh yang demikian jangan terlalu bergantung kepada prinsip, tidak ada judul tidak boleh menulis. Tulislah manuskrip novel dahulu, apabila sudah siap barulah berfikir untuk mencari judul yang sesuai.

Kadang-kadang ada novel yang judulnya hebat tetapi ceritanya tidak sehebat judulnya. Namun dalam mencari judul novel, jangan sekali-kali memberikan judul novel yang sudah terbit.

Sebagai contoh, seperti Salina, Ranjau Sepanjang Jalan, Interlok, Hujan Pagi atau novel-novel lain yang pernah diterbitkan. Pembaca akan menjadi keliru apabila terbit sebuah novel lain berjudul Salina misalnya walaupun ia ditulis oleh penulis lain.

Tiada ulasan: