Isnin, 15 Disember 2014

LATIHAN SEBELUM MENULIS NOVEL



ANDA baru belajar berjinak-jinak menulis novel?  Yang tidak biasa menulis novel, sememangnya sukar untuk menulis meskipun  hanya untuk sehelai muka surat sahaja, inikan pula hendak menyiapkan novel yang beratus-ratus muka surat.

            Bagi mereka yang tidak tahu dan tidak faham dengan bermacam-macam istilah  dalam penulisan novel, jangan terlalu risau. Untuk permulaan dan sebagai pembakar semangat, sila ikuti cara-cara yang diterangkan ini.  Ini mungkin dapat membantu anda sebelum anda meneroka  lebih jauh lagi mengenai penulisan novel.

PERTAMA:
Tulislah apa yang anda tahu. Anda tentu ada pengalaman. Tulislah apa juga pengalaman itu dalam satu atau dua helai muka surat. Jika banyak lagi bagus. Jika ada nostalgia atau kisah-kisah yang anda ingat, tuliskan sekali. Jika ada dialog-dialog yang masih anda ingat, juga tuliskan sekali.

            Tulislah bagaimana ia bermula dan bagaimana ia berakhir.  Ingat! Tulis apa yang anda tahu sahaja. Jika anda masih ingat, tarikh dan masa ia berlaku, juga boleh tuliskan sekali biar orang yang membaca dapat membayangkan  suasana dan kejadian itu berlaku.

            Apabila sudah selesai menulis. Baca semula dan perbaiki mana-mana peristiwa yang tertinggal sehingga ia menjadi sebuah cerita yang menarik. Sesudah siap, sila berikan kepada rakan anda untuk membacanya dan mintalah komen, apa yang perlu ditambah lagi untuk menyedapkan cerita.

            Itu sebenarnya langkah pertama, anda belajar menulis novel. Selepas itu buat kisah yang lain pula sama ada ia ada kaitan dengan cerita yang pertama anda tulis atau tidak. Buat perkara yang sama sehingga selesai.

KEDUA:
Jika yang pertama, ditulis berdasarkan pengalaman sendiri. Apa kata yang kedua ini kisah pengalaman orang lain atau kawan baik anda  yang pernah diceritakan kepada anda. Anda hanya menulis semula apa yang diceritakan kepada anda tanpa anda  terbabit dalam cerita itu.

            Caranya sama. Jika ada dailog atau di mana serta waktu peristiwa itu berlaku, anda wajar menulisnya. Atau apabila anda siap menonton sesebuah cerita drama di kaca tv, anda tuliskan semula ceritanya sebagaimana yang anda ingat. Tuliskan cerita itu dari awal sehingga selesai.

            Anda ibarat orang luar yang mengetahui cerita ini dan anda tuliskan semula. Setelah siap, minta sahabat anda itu membaca semula apa yang anda tuliskan. Jika ada yang tertinggal, minta sahabat anda itu menceritakan semula.

            Apa yang anda tuliskan itu sebenar salah satu bab dalam novel sebagai persediaan anda menghasilkan satu bab daripada sekian banyak bab yang ada. Jika ada kisah yang lain pula, tuliskan dalam satu bab yang lain. Jika ceritanya panjang, boleh pecah-pecahkan menjadi banyak bab. Yakinlah akhirnya ia akan menjadi sebuah cerita. Anda boleh olah semula menjadi sebuah novel yang baik.

 KETIGA:
Jika ada berlaku sesuatu peristiwa. Jangan hanya menyebutkan sahaja. Sebagai contoh sahabat anda itu bertemu dengan rakannya yang berhutang dan sahabat anda itu menagih hutangnya. Tuliskan dialog yang digunakan ketika sahabat anda itu menagih hutangnya. 

            Jika ada pertengkaran, tuliskan bagaimana gerak geri dan reaksi kedua belah pihak. Ini sebenarnya sebagai satu latihan anda menulis dialog dalam novel. Tulis juga jika ada adegan lain selepas ini.

EMPAT:
Untuk peringkat permulaan mungkin cerita anda ini kurang kemas, tidak tersusun dan tunggang terbalik tetapi tidak mengapa, ini hanyalah satu latihan. Apabila anda kerapkali menulis perkara yang sama, sudah pasti anda akan melakukan perubahan apatah lagi selepas anda membandingkan novel lain yang sudah terbit. Latihan seperti ini sebenarnya perlu anda lakukan setiap masa tidak kiralah apabila anda melihat sesuatu adegan di depan mata dan anda boleh garapkan untuk menjadi sebuah cerita.

CARA MENDAPATKAN SEMANGAT MENULIS



ORANG yang tidak ada waktu untuk membaca, sudah tentu tidak ada masa hendak menulis.  Manakala orang yang hendak menulis perlu banyak membaca. Banyak membaca ibarat pokok yang sentiasa disirami air dan sentiasa segar. Lama kelamaan pokok akan membesar, berbunga dan berbuah. Buah itu pula akan dinikmati oleh orang lain.

            Begitu jugalah dengan menulis novel. Mula-mula kita membaca. Kemudian ikta berminat menulis. Kemudian berjaya pula menghaslkan sebuah novel. Apabila banyak membaca, akan banyaklah hasil tulisan nanti. Apabila tidak banyak membaca, tidaklah banyak hasil tulsannya. Setuju atau tidak dengan kenyataan ini? Apabila banyak membaca, akan lahir banyak idea-idea baru.

            Apabila ada idea untuk menulis, akan lahirlah semangat untuk menulis. Apabila semangat sudah ada, anda akan rajin pula membaca untuk mendapatkan bahan rujukan menulis. Hasil tulisan yang  baik banyak mengandungi fakta bukan imaginasi semata-mata.

            Hasil tulisan yang baik akan menyebabkan novel mendapat tempat di hati pembaca. Ini bermakna hasil tulisan anda tidak dipandang sepi oleh pembaca. Apabila ramai memperkatakan novel anda, anda akan rasa jerih payah menghasilkan novel sangat dihargai.

            Apabila novel menjadi ‘best seller’ akan akan berasakan nikmat dari royalti yang diperolehi. Yakinlah semangat menulis akan terus membaca apabila keringat anda dihargai oleh pembaca dan mendapat royalti hasil idea anda.

BANYAK MEMBACA NOVEL PENULIS LAIN

BANYAK membaca sangat penting kepada mereka yang berhajat menjadi penulis novel. Seorang penulis bernama William Faulkner pernah berkata, “Baca, baca, baca. Baca segalanya: tulisan “sampah,”  tulisan klasik, tulisan yang baik dan tulisan yang buruk. Amatilah bagaimana cara mereka menulis. Jadilah  seperti seorang tukang kayu  yang sedang belajar bertukang, mula-mula mungkin banyak kesilapan tetapi lama-kelamaan hasilnya akan menjadi lebih baik.”

    Banyak membaca akan membuatkan kita banyak berfikir dan menilai yang mana satu tulisan yang baik dan mana satu tulisan yang kurang baik. Bahkan apabila kita makan nasi lemak yang dibungkus dengan kertas surat khabar, kita akan membacanya selepas makan.

    Begitu juga dengan kotak atau bungkusan yang dibalut dengan kertas surat khabar atau majalah. Bacalah apa yang anda lihat, anda akan bertemu dengan banyak perkara. Saya sendiri pernah terbaca salah satu cerpen saya yang pernah disiarkan di akhbar dan menjadi pembungkus nasi lemak.

    Ya, gemar sifat suka membaca ini kadang-kadang boleh mencetuskan  idea menulis kepada kita.  Bayangkan selepas makan nasi lemak, sebelum pembungkus itu kita buang, kita sempat membaca dan yang kita baca itu sesuatu yang menarik atau sesuatu peristiwa.  Kita boleh jadikan apa yang kita baca itu sebagai satu input dalam novel kita atau sub plot untuk mengembangkan cerita.

    Ada baiknya gemar membaca ini bukan sahaja terhadap kertas surat khabar tetapi juga hasil karya penulis lain.   Ada penulis yang hanya suka membaca karyanya sendiri sahaja dan tidak suka membaca karya penulis lain.

    Bacalah karya-karya penulis lain, jika karya mereka terbaik anda akan mendapat inspirasi. Bandingkan dengan  karya anda. Jika karya kita kurang baik, belajarlah bagaimana supaya karya kita menjadi lebih baik.

Isnin, 1 Disember 2014

MENJADI PENULIS YANG HEBAT



TERNYATA ingin menjadi penulis yang berjaya, perlu memiliki dua  perkara keramat yang mesti diamalkan. Yang pertama ialah rajin melakukan latihan. Apa yang dimaksudkan melakukan latihan ialah latihan menulis novel. Seringkali melakukan latihan akan membiasakan diri kita lancar dengan hal-hal penulisan.


            Ia ibarat membeli sebilah parang baru. Sekali asah mungkin tajamnya hanya untuk seketika tetapi jika diasah setiap hari, lama kelamaan parang akan menjadi tajam. Sebab itulah ada peribahasa menyebut ‘belakang parang kalau diasah lagikan tajam.’ Maksudnya belakang parang yang jarang kita gunakan, jika diasah hari-hari, akhirnya  akan tajam juga. Inikan pula jika bahagian depan parang sudah tentu lebih tajam.


            Soalnya, mesti diasah hari-hari. Bukan hendak diguna, baru hendak diasah. Begitu juga dengan menulis novel. Biarpun kita belum berjaya menghasilkan novel tetapi jika kita hari membuat latihan menulis, lama kelamaan novel akan siap juga. Itulah juga yang dilakukan oleh para penulis yang hebat sebelum ini.


            Hal ini sama juga dengan pelajar yang selalu membuat latihan, akhirnya akan cemerlang dalam peperiksaan berbanding dengan pelajar yang malas membuat latihan.

            Kedua, melakukan latihan secara berulang-ulang. Untuk menguasai sesuatu perkara, ia harus dilakukan berulang-ulang kali.  Kita perhatikan pencipta dan pereka yang berjaya, mereka bukan sekali dua melakukan perkara yang sama. Setiapkali melakukan perkara yang sama, mereka akan menemui sesuatu yang baru. 

            Sebagai contoh pencipta telefon Alanxander Graham Bell. Beliau banyak melakukan eksperimen sehinggalah bentuk sejak asal dicipta sehinggakan sekarang ini dapat dilihat dalam pelbagai bentuk. Telefon yang asal, direka oleh generasi selepasnya sehingga generasi sekarang ini. Hasilnya kita dapat lihat bentuk telefon yang dahulunya menggunakan wayar, sekarang ini hanya menggunakan gelombang yang boleh dibawa ke mana-mana.

            Samalah juga halnya dengan menulis novel. Jika orang lain mampu menghasilkan novel yang mampu memikat pembaca kerana seringnya membuat latihan dan menghasilkan novel, akhirnya  hasil tulisannya sentiasa ada sesuatu yang baru dan segar.


Penulis yang berjaya dan hebat banyak mempergunakan waktu hidupnya semata-mata untuk menulis dan hasilnya mereka menikmati apa yang mereka kerjakan. Sanggupkah anda melakukan apa yang disarankan di atas? Jika sanggup, yakinlah satu ketika nanti anda akan menjadi penulis yang hebat.




MANA SATU NOVEL YANG BAIK



Soalan:


Saya pernah terbaca dalam satu artikel, kalau hendak menjadi penulis yang baik kena perlu membaca novel yang baik. Masalahnya, macam mana nak tahu novel itu baik atau tidak? Kita membaca sinopsis pada kulit novel itu, sukar hendak menggambarkan ia novel yang baik atau tidak.


Jawapan:

Memang benar kenyataan itu. Hendak menjadi pandai mesti belajar dengan orang yang ada ilmu yang hendak kita pelajari. Hendak menjadi ahli silat tetapi belajar dengan orang  yang membaiki basikal, apalah ilmu yang boleh mereka dapat, melainkan ilmu membaiki basikal yang rosak.


            Hendak mahir menulis novel perlu berguru dengan mereka yang sudah banyak menulis novel. Hendak tahu sesebuah novel itu baik atau tidak, kena baca novel itu dahulu. Apakah pencapaian penulis novel itu sebelum ini. Novelnya  menjadi sebutan?  Novelnya ‘best seller’? Setiapkali novelnya terbit, laris seperti pisang goreng panas? Atau bagaimana? Apa yang dinyatakan di atas hanyalah ukuran sekali imbas.


            Apa yang penting baca novel itu dahulu. Sebagai pembaca, kita sudah tentu dapat membuat tafsiran awal, bagaimanakah bentuk ceritanya? Bagaimana cara penyampaian? Bagaimana pergerakan ceritanya? Bagaimana endingnya? Dan pelbagai lagi. Lain pembaca, mungkin lain tafsirannya. Justeru jika anda membaca dan kesemuanya bagus, novel ini baik untuk anda. Cari dan bacalah hasil karya penulis yang anda baca itu.


            Bagaimanapun,  unuk memastikan sesebuah novel itu baik dan bermutu, bacalah novel-novel yang pernah memenangi pertandingan atau sayembara kerana sesebuah novel itu diberikan anugerah, sudah pasti ia akan melalui beberapa proses penyaringan oleh panel-panel yang berwibawa. Panel sudah pasti ada alasan mengapa sesebuah novel itu diangkat untuk memenangi anugerah. 


            Tetapi jika anda hanya berminat menulis novel asal sahaja terbit, bacalah novel-novel yang ada di pasaran sekarang. Memang sukar hendak tahu, mana satu yang baik dan tidak baik jika tidak membacanya. Oleh itu beli dan baca novel berkenaan. Selain anda dapat membuat penilaian sendiri, pasti akan ada ilmu yang diperolehi. Ilmu itu akan membantu anda menghasilkan sebuah novel yang baik.


Selasa, 25 November 2014

TETAPKAN MASA SIAPKAN NOVEL




OLEH kerana menghasilkan sesebuah novel mengambil masa yang panjang, sememangnya banyak masa digunakan untuk menyiapkannnya. Bagaimanapun untuk menyiapkan sesebuah novel seseorang penulis perlu menetapkan  atau jangkaan masa seperti sebualan dua bulan atau tiga bulan.
            Untuk memudahkan penulis menepati masa menyiapkan sesebuah novel. Panduan ini mungkin berguna, supaya penulis dapat menyiapkan dalam masa yang ditetapkan.
1.Mencari bahan-bahan atau idea menulis.
2. Sesudah mendapatkan bahan, sila kembangkan menjasi sebuah sinopsis.
3. Siap sinopsis, kembangkan menjadi rangka. Maksudnya bab pertama, apakah cerita yang hendak ditulis, kemudian bab kedua dan seterusnya sehinggalah ke bab terakhir.
4. Mulakan menulis bab pertama. Siap bab pertama teruskan kepada bab kedua san seterusnya sehingga akhir.
5. Jangan berhenti menulis selagi  novel belum siap. Jika berhenti akan menyebabkan novel terbengkalai.
CONTOH YANG MUDAH
1.    Bahan-bahan atau Idea misalnya mengenai kes buli di sekolah menengah.
Dapatkan bahan-bahan melalui keratan akhbar, majalah, kajian dan sebagainya. Misalnya mengapa ia berlaku. Langkah-langkah mencegah dan penyelesaiannya. Wujudkan satu watak yang kena buli, watak-watak yang membuli, watak yang simpati dan watak-watak lain yang ada kaitan dengan kisah ini.
2.. Sinopsis
Alif seorang pelajar pendiam. Bapanya sudah meninggal dunia dan tinggal bersama ibunya yang hidup serba sukar. Pelajaranya bagus dan disujai guru-guru dan seorang pelajar perempuan simpati dengan hidupnya. Seorang pelajar lelaki lain cemburu melihat pelajar perempuan itu sering memantu Alif.
            Zack pelajar yang cemburu, seorang anak orang berada. Dia menggunakan ‘kemewahan’ untuk  mempengaruhi rakan-rakannya untuk membuli Alif.  Zack merancang untuk melakukan sesuatu kepada Alif tetapi rancangannya diketahui lebih awal oleh pelajar perempuan yang simpati dengan Aliff.
            (Teruskan sinopsis kisah ini sehingga selesai)
3.Menulis rangka.
BAB 1.
Alif sedang makan di kantin berseorangan, kemudian didatangi Irma, gadis pelajar yang simpati dengan hidupnya.  Zack yang turut berada di kantin berasa tercabar apabila, pelajar yang diminati  menjadi teman baik Alif. Zack menghampiri bersama-sama dengan dua rakannya.  Zack memberi amaran supaya tidak berbaik-baik dengan Irma.
BAB 2
Zack kehilangan kunci motosikal. Dia menuduh Alif menyembunyikannya. Alif  menafikan tetapi Zack tetap menuduh dan mengancam Alif mahu melakukan sesuatu terhadapnya.  Alif bimbang, dia mengadukan perkara itu kepada guru disiplin.
BAB 3
(Teruskan menulis kisah seterusnya sehinggalah selesai)
4. Mulakan menulis bab satu
Contoh:
SEBAIK sahaja loceng rehat berbunyi, Alif melangkah keluar dari kelas menuju ke kantin.  Dia membawa bungkusan nasi lemak yang dibuat ibunya serta bekas berisi air masak. Sampai di kantin, dia mencari meja paling belakang.  Suasana di kantin riuh rendah dengan pelajar yang menyerbu makanan yang dijual.
            Alif tidak memperdulikan keriuhan itu sebaliknya terus duduk di bangku panjang yang boleh memuatkan empat orang. Sebaik sahaja duduk, tercegat seorang gadis di hadapannya.  (Teruskan babak ini sehingga akhir bab 1).
5. Teruskan menulis setiap bab, jika boleh biar panjang setiap bab – sama. Jika 10 halaman, buatlah 10 halaman setiap bab.