Khamis, 28 April 2011

BUKU BAGAIMANA SAYA MENULIS WAJAR DIMILIKI CALUN CERPENIS


BUKU Bagaimana Saya Menulis: Proses Penciptaan Cerpen diselenggarakan oleh Prof Madya Dr. mawar Shafei dan Nisah Haron baru sahaja dilancar ketika Pesta Buku KL (PBKL) di PWTC baru-baru ini.

Mereka yang bercadang ingin menulis cerpen wajar untuk memiliki buku yang berharga RM 25.00 ini. Menampilkan 17 orang penulis dengan 17 proses pemciptaan cerpen yang pelbagai sudah pasti akan memberikan input kepada mereka yang berhajat menulis cerpen.

Melalui buku ini pembaca akan dapat mempelajari ilmu penulisan kreatif dengan cara mencari rahsia proses penciptaan karya pengarang terkenal yang di antara mereka telah memenangi sayembara penulisan.

Membaca buku ini juga, akan didedahkan bagaimana kegigihan pengarang membuat penyelidikan dan ilmu Bantu untuk menggarap cerpen mereka sebagai asas penghasilan cerpen. Pelbagai panduan dapat dikongsi bersama untuk manfaat mereka yang bercita-cita menghasilkan novel.

Buku ini boleh didapati di Kedai Buku DBP atau hubungi Ujana Ilmu Online dengan mengunjungi laman webnya: www.ujanailmu.com.my atau telefon: 06-7675722 atau emel: webmaster@ujanailmu.com.my.

AMANAT DALAM NOVEL

SECARA sedar atau tidak, penulis ketika mengarang sebenarnya meninggalkan amanat untuk pembaca. Apakah amanat yang dimaksudkan itu? Sesebuah novel bukanlah semata-mata sebuah angan-angan atau isi hati penulis itu sendiri. Tetapi ia lebih merupakan sebuah karya akan meninggalkan kesan biarpun sedikit.

Peranan penulis ialah untuk menyedarkan pembaca daripada melakukan kesilapan bukan mengajar pembaca untuk melakukan kesilapan. Karya kreatifnya itu akan menjadi pemangkin supaya dapat membuka mata hati pembaca .

Selain novel mesti bermesej dan meninggalkan amanat, ia harus mempunyai keseronokkan untuk membaca. Sebaik-baiknya penyampaian biarlah sederhana, tidak terlalu memberatkan meskipun mempunyai amanat.

Amanat bukan bermaksud untuk mengajar tetapi sebagai panduan ke arah menjadikan masyarakat lebih memahami susurgalurnya. Di sini disertakan contoh amanat di dalam sesebuah novel.

Di petik dari Novel LANGIT ANGSANA halaman 63.

“Kita memang digalakan mengejar kemajuan agar standing dengan bangsa lain di dunia. Tapi mkita tak boleh lupa budaya dan adapt resm. Lihat sahaja Negara Jepun dan Korea Selatan. Mereka berlumba-lumba mengejar kemajuan tetapi tidak lupa dengan adapt dan budaya seba itu mereka berjaya, tapi kita?” Datuk Had Amin memandang Hamidon. Dia sengaja meninggalkan pertanyaan itu tanpa jawapan.

“Ya Korea Selatan telah membuktikan faktor bangsa, budaya dan geografi bukan penghalang kemajuan ekonomi. Pengalaman Korea Selatan untuk menjadi sebuah Negara maju tidka bersandarkan kepada kegemilangan masa silam tetapi meninggalkan amalan lapuk dengan tidak meninggalkan akar umbi budayanya, “Tambah Hamidon menguatkan hujan Daruk Had Amin.

Diharapkan pembaca faham apakah yang dimaksudkan dengan amanat dalam novel ini.

ILMU BANTU DALAM NOVEL

APAKAH yang dimaksudkan dengan ilmu bantu dalam novel? Ketika menulis sesebuah novel seseorang penulis perlu ada ilmu bantu dalam penulisan. Tanpa ilmu bantu, sesebuah karya itu ibarat satu masakan yang tidak cukup resepi. Memang ia boleh dimakan, boleh mengenyangkan tetapi kurang sedap sebab ada resepi yang tidak dimasukkan.

Begitu juga dengan menulis novel. Novel terasa hambar kerana cara penceritaan hanyalah sekali lallu, tidak terperinci atau mendalam. Pembaca tidak akan mendapat gambaran yang sebenar apa yang ditulis oleh pengarangnya.

Sebagai contoh, cuba perhatikan petikkan novel ini. Bagaimanakah penulis begitu teliti menceritakan sesuatu.

“Memang perlu. Contohnya, ukiran kepala sampan, corak wau, hulu keris,tepak sirih, kacip pinang, batik, bunga raya, raflesia, pangkin atau serambi rumah lama, wakaf rebung buluh dan banyak lagi. Kita mesti tahu untuk apa landskap itu dibina. Jika untuk beristirehat dan melayan tetamu, ia harus menjurus kepada lima deria iaitu pandangan, rasa, pendengaran, sentuhan dan bau. Jika inginkan taman herba, kita mesti tahu apa jenis herba itu, “ tegas Puan Rosfidah dengan harapan, apa baru dihujahkan tadi dapat membeirkan ilmu baru kepada Irsyadul Aiman untuk menambahkan pengetahuan di bidang landskap. (Dipetik dari Novel Langit Angsana karya Muhd Nasruddin Dasuki terbitan DBP halaman 129)

Secara mudahnya ilmu bantu ini sebagai info atau maklumat untuk memberitahu pembaca mengenai sesuatu aspek. Sekurang-kurang pembaca akan tahu apa tujuan sesuatu landksap itu dibina bukan semata-mata untuk mencantikkan kawasan tetapi ada mesej lain yang hendak disampaikan.

Katakanlah anda sedang menulis satu babak majlis perkahwinan di dalam novel anda. Apakah anda hanya menceritakan mengenai dua mempelai yang sedang bersanding di pelamin?

Elok juga diceritakan apakah peranan bunga telor, bunga manggar, pelamin yang menampilkan ciri-ciri budaya, merenjis pengantin dan sebagainya. Jika anda penulis berilmu terangkan sedikit apakah tujuan dilakukan demikian.

Sama juga dengan adat peminangan, ada tepak sireh, daun sirih junjung, kain songket, kacip, kapur dan sebagainya. Mengapa ketika membawa sirih junjug, pembawanya mesti di hadapan sekali kemudian diikuiti oleh yang lain-lain?

Begitu juga ketika meletakkan dulang peminangan. Sirih junjung mesti diletakkan di hadapan, kemudian baru diikuti oleh dulang yang lain di belakangnya. Semua itu mempunyai maksud tertentu. Anda sebagai penulis wajar untuk menjelaskan supaya pembaca tahu sekadar sebagai info.

Selain membaca novel untuk mengetahui ceritanya, penulis akan mendapat ilmu bantu atau pengetahuan dari pembacaan novel itu.

Selasa, 19 April 2011

CERAMAH PENULISAN KREATIF DI SMK SRI ANDALAS


SEMPENA Karnival Bahasa 2011, Panitia Bahasa Melayu Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Andalas, Klang, Selangor telah menganjurkan majlis Ceramah Penulisan Kreatif bertempat di Bilik Bahasa sekolah berkenaan pada hari Sabtu 16 April 2010.

Penulis Muhd Nasruddin Dasuki telah meluangkan masa kira-kira dua jam setengah memberikan ceramah mengenai penulisan puisi, cerpen dan novel. Seramai kira-kira 50 pelajar menghadiri majlis itu.

Menurut guru penyelaras Karnival Bahasa Puan Hasmah, tujuan program itu diadakan ialah untuk mendekatkan para pelajar dengan penulisan kreatif dan memahami selok penulisan.

BAGAIMANA MAHU KEKALKAN SEMANGAT MENULIS

BUKAN satu hal yang mengejutkan apabila tiba-tiba sahaja semangat menulis menurun. Semangat seperti juga tenaga dalam tubuh kita, lama-kelamaan akan berkurangan setelah melakukan pelbagai pekerjaan seharin. Apabila tenaga berkurangan, kita perlu berehat dan mengumpulkan tenaga semula untuk hari-hari seterusnya. Begitulah yang kita lakukan.

Tidak mustahil jika semangat menulis lama-lama kelamaan akan merudum. Oleh itu bagaimanakah caranya untuk mengekalkan semangat atau ‘tenaga’ menulis sentiasa ada supaya kerja-kerja menulis novel tidak terbantut?

Kerja menulis seperti memerah idea, lama kelamaan idea akan kehabisan dan perlu diisi semula supaya idea menulis tidak kering. Tetapi bagaimanakah caranya supaya semangat atau tenaga menulis itu tidka kekeringan.

Untuk menyiapkan sesebuah novel memerlukan masa yang lama. Mungkin sebulan, dua bulan atau lebih. Jika seminggu tinggalkan kerja penulisan, sudah pasti semangat akan menurun dan akhirnya novel terbengkalai.

Ada beberapa cara untuk mengekalkan semangat menulis.

1. Sediakan ‘dateline’ menyiapkan novel. Jika mahukan siap novel dlaam masa sebulan, perlu siapkan jadual sehari berapa bab mesti disiapkan, selagi tidak siap jangan berhenti.
2. Hubungi rakan-rakan penulis untuk berbincang atau bertemu dan diskui tentang penulisan masing-masing, kata orang ‘cas bateri’ supaya tidak lemah. Bateri kereta juga pelru dihidupkan setiap hari supaya ‘power’ bateri tidak lemah. Begitu juga dengan menulis novel.
3. Hadiri bvengkel penulisan, seminar, diskusi buku, majlis berkaitan sastera dan sebagainya. Cari idea baru apabila bertemu dengan rakan-rakan penulis. Biarpun anda sudah lama menulis, ada banyak novel, sesekali perlu ‘cas’ semangat supaya tidak kekeringan idea menulis.
4. Jangan putuskan diri anda dengan dunia penulisan. Bagi anda menulis sudah menjadi darah daging. Biarpun anda gemar berman futsal, kerja menulis jangan ditinggalkan.

Perlu diingat, semangat menulis seperti air di dalam baldi yang digunakan untuk menyiram air. Lama kelamaan air dalam baldi akan berkurangan dan perlu diisi semula. Seperti juga sebilah parang walaupun diasah kemudian digunakan, apabila sudah digunakan ia akan tumpul semula dan perlu diasah lagi.

BERAPA LAMA NOVEL AKAN DITERBITKAN

ADA yang masih bertanya, apabila manuskrip di hantar kepada penerbit, berapa lama mengambil masa untuk diterbitkan?

Itu bergantung kepada penerbit. Bagi penulis baru, mungkin bersabar itulah yang lebih baik. Jika pada masa itu penerbit tidak ada manuskrip yang baik untuk diterbitkan, kebetulan manuskrip anda setelah dinilai menarik perhatian penerbit untuk diterbitkan, sudha tentu ia tidak mengambil masa yang lama untuk diterbitkan.

Bagaimanapun untuk pengetahuan penulis baru, cepat atau lambat sesebuah manuskrip diterbitkan bergantung kepada penerbit. Ada penerbit yang tidak mengambil masa yang lama diterbitkan. Ada juga penerbit yang mengambil masa berbulan-bulan untuk menerbitkan.

Pengalaman penulis, ada manuskrip memakan masa setahun lebih untuk diterbitkan, ada juga manuskrip diterbitkan dalam masa dua atau tiga bulan sahaja.

Tetapi adalah lebih baik jika penulis sentiasa berhubung dengan penerbit untuk mengetahui status manuskrip novelnya itu. Bagaimanapun perlu diingatkan, jangan menunggu manuskrip pertama diterbitkan, barulah mula menulis novel kedua dan seterusnya.

Sebaik-baiknya, selesai sahaja novel pertama dihantar ke penerbitan, jangan menunggu novel itu diterbitkab, barulah hendak menulis novel kedua. Tanpa menunggu novel pertama tadi diterbitkan, teruskan menulis novel kedua dan seterusnya.