Selasa, 19 Julai 2011

PELUANG MENULIS BUKU TERBUKA LUAS


KALI terakhir saya menulis untuk entri blog saya pada 6 Jun 2011, bermakna sudah sebulan lebih saya ‘menyepi’. Saya tidak menyepi sebenarnya kerana dalam tempoh itu saya terpaksa menyiapkan sebuah buku judulnya 100 PESANAN TERAKHIR RASULULLAH yang diterbitkan oleh Karya Bistari Sdn. Bhd di bawah label Grup Buku Karangkraf.

Saya terpaksa ‘mengerjakan’ manuskrip buku berkenaan sehingga siap kerana pihak editor mahu menerbitkan secepat mungkin, jika boleh awal bulan Ramadan ini sudah ada di pasaran.

Menyiapkan sebuah novel mungkin tidak sesukar ini kerana menulis novel bergantung kepada imaginasi dan fakta tetapi menulis buku agama wajib berpandukan kepada fakta apatah lagi jika mengandungi hadis dan petikan ayat al-Quran.

Apabila tersilap fakta dan petikan hadis atau al-Quran, ia sudah tentu akan mengelirukan pembaca. Tetapi kerana dorongan dan semangat yang diberikan oleh Puan Wan Rohana Wan Manaf (saya panggil Kak Wan – Terima Kasih Kak Wan) editor di Karya Bistari akhirnya buku itu siap ditulis dan menunggu masa untuk menjengah di pasaran.

Sudah menjadi amalan saya, apabila diberi amanah untuk menyiap manuskrip dalam tempoh tertentu, saya akan selesaikan sebaik mungkin walaupun pada ketika sama dibebani dengan pelbagai urusan kerja seharian.

Untuk menyiapkan TUGAS yang diamanahkan itu, saya ‘hentikan’ sementara untuk menulis dalam blog saya ini. Walaupun banyak yang hendak saya tulis bagi mengisi ruang sepanjang bulan Mei dan Jun tetapi hambatan untuk menyiapkan manuskrip ini terpaksa saya dahulukan.

Apabila menoleh kembali ke belakang sejak setahun lalu sehingga kini Julai 2011, saya sudah menyiapkan 3 buah buku untuk Grup Buku Karangkraf. Buku pertama, AKU SANGGUP DUHAI MUHAMMAD, terbit Ogos 2010, kemudian dua bulan kemudian terbit novel SEMENJAK KAU DATANG dan akan menyusul buku agama 100 PESANAN TERAKHIR. Ini bermakna saya telah menyiapkan tiga buah buku dalam tempoh setahun.

Lebih membanggakan saya, apabila mendapat carian dalam internet buku saya yang berjudul AKU SANGGUP DUHAI MUHAMMAD menduduki carta kedua jualan terlaris buku Bahasa Melayu kategori bukan fiksyen sepanjang bulan Februari 2011 di MPH Mid Valley Kuala Lumpur.

Saya berharap untuk buku 100 PESANAN TERAKHIR RASULULLAH akan turut menjejaki carta buku terlaris, mudah-mudahan. Untuk mereka yang ingin melihat cover buku berkenaan, saya lampirkan di sini.

Kepada mereka yang sering mengikuti blog saya ini, jangan lupa dapatkan buku ini yang akan berada di pasaran pada bulan puasa ini. Baru sahaja selesai menyiapkan buku di atas, buku yang seterusnya sudah menanti untuk ‘dikerjakan’, judulnya masih 100 juga tetapi biarlah saya akan beritahu kemudian.

Golongan penulis yang bijak mencari peluang sudah pasti tidak ada ruang atau masa untuk ‘berehat’ daripada menulis kerana ada sahaja ‘projek’ menulis buku jika rajin mengintai peluang ke meja penerbit.

Jika anda berminat untuk menjadi penulis buku, rajin-rajin mengintai peluang ke mana-mana penerbit. Jangan mengharap tuah akan datang tetapi kita perlu mencarinya. SELAMAT BERPUASA kepada yang sering mengikuti blog saya ini.