Isnin, 11 Mei 2015

PEMBELI BUKU TERUJA DAPAT BERJUMPA PENULIS

RAMAI pembeli buku saya yang terbaru 100 Wasiat Rasulullah Kepada Wanita teruja dan tidak menyangka dapat bertemu dengan penulis. Mereka menyatakan kegembiraan apabila mendapat tandatanga penulis pada buku yang dibelinya.

Apatah lagi kebanyakkannya mereka datang dari jauh. Ada yang dari Pulau Pinang, Johor Bharu, Kelantan dan serata negera semata-mata kerana mahu mencari buku-buku terbaru. Mereka mengambil peluang bergambar dengan penulis sebagai kenang-kenangan.

Gambar yang disiarkan di atas merupakan guru-guru dari Pulau Pinang yang kebanyakannya membeli empat buku yang kesemuanya bermula dengan judul 100. Penulis sudah menyediakan lima hadiah kepada lima pembeli pertama yang membeli empat judul buku 100 ini.

Nampaknya mereka gembira dengan hadiah misteri yang mereka perolehi dan mereka tidak menyangka, membeli buku dapat lagi wang misteri.

PENULIS PERLU BELAJAR MEMASARKAN BUKU SENDIRI



PESTA  Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL15) baru sahaja berlalu. Bagi penulis, inilah masanya untuk mencari buku-buku yang diperlukan untuk menambahkan ilmu.
Pada waktu inilah juga banyak penerbit berlumba-lumba menerbitkan buku-buku terbaru supaya dapat dipasarkan ketika PBAKL15. Para penerbit juga mencari ruang tertentu untuk memperkenalkan buku-buku terbaru terbitan mereka.
Sebagai penulis, kita sebenarnya tidak boleh mengharapkan penerbit mempromosi buku-buku yang diterbitkan tanpa penglibatan penulis. Penerbit banyak buku yang perlu dipromosikan. Para penulis pula perlu mengambil kesempatan mempromosikan buku sendiri sama ada di Facebook, Twitter, Instragram dan sebagainya sebagai satu inisiatif.
Selain itu penulis juga wajar ‘turun padang’ untuk turut mempromosikan buku kepada para pengunjung. Saya juga tidak terlepas untuk mempromosikan buku terbaru berjudul 100 Wasiat Rasulullah Untuk Wanita terbitan Karya Bestari, Grup Buku Karangkraf.
Hasilnya, pembeli lebih tertarik jika penulis sendiri turun padang, menceritakan kandungan buku terbaru kepada pembeli. Pasti mereka juga akan terkejut apabila penulis sendiri mempromosikan buku-bukunya.
Malah ramai tidak menyangkan penulis sanggup turun padang mempromosikan buku sendiri kerana setahu mereka, penulis hanya tahu menulis sahaja.  Ya, memang penat melayan pembeli yang pelbagai karenah tetapi berbaloi apabila pembeli rasa berpuashati.
Mereka rasa bertuah kerana penulis sendiri melayan mereka dan bersedia menandatangani buku yang telah mereka beli. Namun untuk mempromosikan buku  memerlukan ilmu.
Sesetengah penulis ada yang tidak sanggup berbuat demikian mungkin kerana malu atau tidak biasa. Tetapi sekiranya buku mahu cepat dikenali pembaca, tidak perlu malu untuk menyarankan pembeli membaca buku kita.
Tidak ramai penulis yang sanggup ‘memujuk’ pembeli membeli buku kita. Mereka lebih suka duduk di meja yang disediakan, hanya menunggu jika ada pembeli yang mahu membeli buku kita, barulah kita akan menanda-tangani buku yang dibeli.
Pengalaman saya ‘menjual’ buku sendiri di pesta buku seperti ini memang menyeronokkan.

Khamis, 29 Januari 2015

ELAK 'MERAPU' KETIKA MENULIS NOVEL



PERNAHKAH apabila kita membaca lembaran pertama, kedua, ketiga dan seterusnya, sesebuah novel, kita masih tidak dapat menangkap apakah yang hendak disampaikan oleh penulis? Kita akan tertanya-tanya apakah sebenarnya yang hendak disampaikan oleh penulis kepada pembaca sehinggakan mesej yang hendak disampaikan tidak jelas. 
      Penulis, menulis perkara-perkara yang tidak ada kaitan dengan pokok persoalan yang hendak disampaikan. Penulis menulis hal-hal yang tiada kaitan dengan persoalan yang hendak disampaikan.
     Sebagai contoh yang mudah, Ahmad hendak ke satu bandar B untuk mencari satu barang yang jaraknya kira-kira 15 kilometer sahaja dari rumah. Jika Ahmad dari rumah terus ke bandar B dan terus ke kedai yang dimaksudkan, masa yang diambil mungkin kira-kira tidak sampai setengah jam. 
      Tetapi jika Ahmad dari rumah, kemudian singgah di kedai kopi, kemudian singgah di stesyen minyak, selepas itu bertemu kawan lama, singgah pula di rumah kawan lamanya, setelah itu baru pergi ke kedai mencari barang tersebut, sudah tentu jarak yang 15 kilometer yang memakan masa tidak sampai setengah jam akan mengambil masa sehingga empat atau lima jam.
     Perbezaannya begitulah apabila kita menulis novel. Jika kita terus kepada pokok persoalan, pembaca akan mudah faham. Ini sebenarnya yang hendak disampaikan di halaman pertama dan seterusnya tetapi jika melakukan sebagaimana Ahmad yang singgah di beberapa tempat kemudian barulah pergi ke kedai, inilah yang menyebabkan pembaca tidak mahu meneruskan pembacaan sekaligus penulis gagal untuk menarik minat pembaca.
     Penulis menulis hal-hal yang remeh atau ‘merapu’ hanya untuk memanjang-manjangkan cerita tetapi tidak ada mesej  yang hendak disampikan. Pembaca  akan jemu dengan penulis yang suka merapu’ dalam penulisannya. Jika kita hendak menyampaikan sesuatu mesej, terus sahaja kepada pokok persoalan, jangan merapu kepada hal-hal yang tidak ada kaitan dengan cerita.
    Corak penulisan seperti ini juga dianggap ‘kabur’, tidak berkesan meskipun bahasa tulisannya indah, menarik dan puitis tetapi tidak mengandungi makna.
    Tulislah dengan bahasa yang mudah, tepat, jelas maksud apa yang hendak disampaikan. Jangan ‘terkeleweh-keleweh’ hendak menyampaikan sesuatu seperti seorang gadis yang tersipu-sipu untuk menyatakan sesuatu sedangkan perkara itu bukanlah sesuatu yang mengaibkan.
     Untuk memastikan pembaca tidak menutup novel meskipun baru membaca sehelai dua  muka surat, elakan daripada menulis mengikut cara di atas. Jika hendak menjadi penulis novel yang baik, banyakan mengkaji dan membaca novel-novel yang baik di pasaran.
      Kaji teknik penulisan, gaya bahasa, struktur ayat yang digunakan dan seumpamanya yang menyebabkan  anda mahu membaca berulangkali. Pasti ada sesuatu yang menarik jika anda sanggup mengulang baca beberapakali.