Ahad, 20 Februari 2011

Kisah Cinta Lombok - Semenjak Kau Datang di Berita Harian

Dunia Buku: Semenjak Kau Datang
Oleh Hafizah Iszahanid
hafiza@bharian.com.my
2011/02/18


Kisah cinta Lombok yang melenakan remaja wanita Malaysia


“MUNGKIN dah nasib aku Warni” - ayat akhir Syahwati, watak utama dalam novel remaja Semenjak Kau Datang karya Muhd Nasruddin Dasuki adalah gambaran terbaik apabila akal berada di carta terakhir pertimbangan.

Syahwati adalah kisah benar yang terjadi kepada remaja perempuan di Malaysia kebelakangan ini. Jatuh cinta pada pemuda Lombok, lari ke negara orang demi mengejar warna-warni cinta suci. Namun akhirnya, kembali ke pangkuan keluarga apabila mula menyedari manusia tidak hanya boleh hidup berulit cinta.
Sejak Malaysia dibanjiri pendatang asing (halal atau haram), banyak kisah anak gadis Malaysia ‘terkorban’ dalam jerat cinta dengan pemuda warga asing dan Semenjak Kau Datang adalah satu daripada puluhan dokumentasi mengenainya.

Bezanya, kisah ini di tangan Muhd Nasruddin, ia dirakam sebagai karya kreatif menjadikan naskhahnya itu realistik dalam bercerita. Apatah lagi bauran fakta dan keratan akhbar menyebabkan Semenjak Kau Datang bagai sebuah rakaman diari kehidupan Syahwati.

Bermula dengan detik perkenalan dengan pemuda Indonesia, Hermawan, kemudian perlahan-lahan tergoda dengan ‘ayat-ayat cinta’ lelaki itu, sebelum akhirnya rela menjadi isteri semata-mata kerana terpaut pada keikhlasan dan kejujuran si lelaki.

Novel ini pantas berkembang, tidak banyak bermain bahasa, tetapi penceritaannya tetap punya tarikan tersendiri ekoran kebijaksanaan pengarang dalam menyusun plot dan penyesalan Syahwati dapat dirasai pembaca.
Benarlah bagai dipantunkan orang, nasi lemak buah bidara/sayang selasih hamba lurutkan/buang emak buang saudara/kerana kasih saya turutkan, lalu Syahwati yang masih muda tewas dengan pujuk rayu Hermawan.

Hanya bermodalkan air liur anak gadis Malaysia itu dilarikan (jika mengikut terma undang-undang kerana dia masih di bawah umur) atau melarikan diri (jika mengikut pertimbangan akal rasional) semata-mata mengejar nikmat bercinta.

Digolongkan dalam karya teen@prima, novel ini sesuai dibaca golongan remaja kerana ia sarat nasihat, penuh pengajaran dan padat persoalan, namun akhirnya diri sendiri perlu bertanya apa yang dicari dalam hidup ini?

Perkahwinan bukan hanya perkongsian cinta, tetapi timbang rasa, akal budi, kesabaran dan tentu saja wang ringgit, seperti kata watak Agussalim, “... ingat Her. Uang boleh membeli cinta, tapi cinta tidak boleh memberikan uang sama kita,” . Wang bukan segalanya namun tanpa wang, bagaimana kehidupan mampu diteruskan, kenyangkah perut dengan kata-kata sayang atau hilangkah dahaga dengan kata-kata rindu. Akhirnya, dalam apa pun tindakan akal fikiran perlu rasional menimbangkan.

Secara ringkas, Semenjak Kau Datang bercerita tentang Hermawan pemuda Pulau Lombok yang berhijrah ke Malaysia untuk mencari pekerjaan. Di Malaysia, dia berkenalan dengan Syahwati, anak gadis pemilik gerai makan tidak jauh dari tempat dia bekerja. Syahwati, sedang menunggu keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan tidak bekerja di kilang demi mengelakkan diri daripada jatuh hati kepada “Mat Bangla”.

Tanpa disedari kekerapan bertemu dengan Hermawan membuahkan rindu dan akhirnya daripada tidak mahu jatuh cinta dengan “Mat Indon”, Syahwati tertawan dengan Hermawan yang pandai mengatur kata.

Seperti kebanyakan kisah gadis Malaysia yang jatuh cinta dengan pemuda Lombok, Syahwati akhirnya melarikan diri dengan Hermawan, namun, kehidupan di negara orang yang dihimpit kemiskinan menyebabkan Syahwati akhirnya tertanya-tanya, silap dirinya dalam membuat keputusan.

Syahwati berjaya dibawa pulang oleh ayahnya, Pak Hashim dengan bantuan Migrantcare, namun ketika itu tanggungjawab dan pesan suami menyebabkan dirinya berasa serba salah untuk pulang ke Malaysia.

Walaupun dia pulang juga ke Malaysia dan dibenarkan bertemu dengan suaminya, namun dia gagal meneruskan pengajian pada peringkat lebih tinggi, walaupun keputusan SPMnya bagus kerana tidak dibenarkan suami. Meskipun sedih kerana gagal memenuhi impian peribadi bergelar mahasiswi, Syahwati akur pada statusnya sebagai isteri dan bakal ibu.

Dengan halaman 336 dan kedudukannya sebagai novel remaja, Semenjak Kau Datang tidak mengecewakan buat mereka yang gemar cerita remaja dengan sedikit kelainan daripada lambakan kisah remaja di pasaran. Apatah lagi ditangani penulis berpengalaman, Semenjak Kau Datang sebenarnya kisah serius dan penuh iktibar yang molek dibaca.


Info
Semenjak Kau Datang

Penulis: Muhd Nasruddin Dasuki
Penerbit: Buku Prima
Harga: RM15.90 senaskhah
Bintang: ****


SENTUHAN KREATIF SEORANG WARTAWAN


MUHD Nasruddin Dasuki, anak kelahiran Kampung Bukit Kerayong, Kapar, Selangor pada 26 Disember 1959, menceburi dunia penulisan sejak di sekolah dan pernah berkhidmat sebagai wartawan sejak 1984 bermula dengan akhbar Mingguan Perdana.

Pada 1985, Muhd Nasruddin dilantik sebagai pengarang akhbar mingguan tabloid, Mingguan Famili sehingga 1991, sebelum menceburi dunia penerbitan buku, selain pernah berkhidmat sebagai editor buku di Marwilis Publisher & Distributors Sdn Bhd pada 1992.

Muhd Nasruddin dikenali dengan puisi, cerpen, rencana, novel, drama radio selain drama tv, selain menceburi bidang keusahawanan dengan mengusahakan galeri buku sendiri, di samping terus giat menulis penulisan kreatif dan non-kreatif.

Banyak karyanya berupa cerpen disiarkan dalam pelbagai akhbar dan majalah seperti Mingguan Malaysia, Berita Minggu, Dewan Sastera, Dewan Budaya dan sehingga kini lebih 120 cerpen sudah disiarkan.

Dua antologi cerpen persendirian, 17 antologi cerpen bersama serta 23 novel dan tiga e-book karya Nasruddin sudah diterbitkan dan beliau antara pengarang yang kerap meraih pelbagai hadiah dalam dunia sastera.

Antara yang pernah dimenanginya ialah Hadiah Utama Cerpen Remaja Utusan-Public Bank 1990, Hadiah Utama Cerpen Dewasa Utusan-Public Bank 1992, Hadiah Ketiga Sayembara Menulis Novel Kanak-Kanak berunsurkan alam sekitar anjuran Jabatan Alam Sekitar dan Utusan Melayu, Hadiah Kedua Peraduan Menulis Novel Alaf Baru anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka, 2003 dan Hadiah Sagu Hati Sayembara menulis Novel sempena Sambutan 50 Tahun DBP. Malah, skrip dramanya pernah memenangi Anugerah Seri Angkasa 96, Kategori Teleplay Terbaik Panggung RTM.