Selasa, 28 Mei 2013

'BEST SELLER' SETELAH SEBULAN DI PASARAN



SYUKUR Alhamdulillah, segala puji bagi ALLAH pencipta sekalian alam. Ucapan terima kasih juga diucapkan kepada mereka yang telah membeli buku 100 JEJAK PERIBADI RASULULLAH tulisan terbaru saya sama ada semasa Pesta Buku Selangor atau di mana-mana kedai buku berhampiran tempat anda.
         
          Untuk pertama kali buku ini diterbitkan oleh Karya Bestari pada bulan April 2013 dengan cetakan pertama berjumlah 9,959 naskah. Setelah hampir sebulan lebih berada di pasaran, sambutan buku ini sangat menggalakan lalu buku ini telah dicetak untuk kali kedua pada bulan Mei lalu sebanyak 9,715 naskah.
         
         Terima kasih tidak terhingga kepada editor buku ini Norhayati Kassem serta semua krew yang terlibat menerbitkan, pihak promosi dan para pembeli kerana telah menyebabkan buku ini “Best Seller’ dalam masa yang singkat.
      
          Insya-ALLAH tunggu buku seterusnya yang akan menjejaki ‘Best Seller’ mengenai kaum Muslimah iaitu 100 Pesanan Terakhir Rasulullah Untuk Muslimah. Sekali lagi sokongan pembaca dan mereka yang terlibat sangat saya hargai dan sanjungi.

Ahad, 26 Mei 2013

PROMOSI BUKU DI PESTA BUKU SELANGOR 2013




PADA  25 dan 26 Mei lalu saya berkesempatan untuk mempromosi buku terbaru saya bertajuk 100 JEJAK PERIBADI RASULULLAH  terbitan Karya Bestari – Grup Buku Karangkraf sempena Pesta Buku Selangor 2013 yang berlangsung di SACC Shah Alam, bermula 24 Mei sehingga  2 Jun 2013.

Seperti biasa, setiapkali pesta buku berlangsung, bukan sahaja para pelajar sekolah malah golongan anak-anak muda dan dewasa tidak melepaskan pelung untuk mendapatkan buku-buku terbaru terbitan syarikat penerbitan. Boleh dikatakan banyak penerbitan buku tempatan sama ada menerbitkan buku-buku ilmiah, buku agama dan novel mengambil bahagian untuk mempromosikan buku atau novel terbaru mereka.

Pada pesta buku  inilah masa untuk penulis bertemu dan beramah mesra dengan peminat buku-buku dan tidak hairan banyak penerbit buku menjemput penulis buku atau novel mereka untuk bertemu dengan peminat  buku.

Kesempatan saya mempromosikan buku di both Karangkaf, saya berasa sungguh teruja apabila melihat banyak peminat buku novel terutamanya golongan perempuan membeli novel sehingga  10 buah novel sekaligus dan novel berkenaan yang setebal 500 halaman ke atas. Ini membayangkan industri buku terutamanya novel masih mendapat pasaran yang bagus.

Bayangkanlah jika di antara  buku yang dibeli oleh mereka itu adalah novel anda. Oleh itu mereka yang sedang menulis novel, jadikan ini sebagai pembakar semangat untuk menghasilkan novel. Walaupun pelbagai judul novel diterbitkan setiap bulan oleh pelbagai penerbit, pasaran novel masih lagi menjadi tumpuan golongan anak-anak muda, malah golongan yang sudah berusia juga saya lihat membeli novel-novel.

Kepada mereka yang telah membeli buku-buku ‘best seller’ saya, 100 Pesanan Terakhir Rasulullah (cetakan ke 9), Aku Sanggup Duhai Muhammad (cetakan ke 3) dan 100 Jejak Peribadi Rasulullah (sehingga kini sudah cetakan ke 2  diterbitkan April lalu), saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih tidak terhingga di atas sokongan anda itu.

Manakala  mereka yang sudah membeli buku-buku saya dan tidak mendapat kesempatan mendapatkan tanda tangan, saya mohon maaf mungkin ketika anda membeli saya tidak berada di tempat promosi. Jumpa lagi pada ekspo buku yang lain pula.

Rabu, 15 Mei 2013

MENANGANI KARYA TERBENGKALAI


BUKAN   membina rumah sahaja yang terbengkalai.  Menulis juga seringkali terbengkalai. Puncanya kerana tidak ada idea atau ketandusan idea untuk meneruskan kerja-kerja penulisan novel. Ia bukan sahaja dialami mereka yang baru menulis, malah kadangkala mereka yang sudah biasa menulis juga mengalamai perkara yang sama.
          
Pembinaan rumah yang terbengkalai disebabkan banyak faktor. Di antaranya kekurangan dana, kekurangan bahan binaa, kekurangan tenaga kerja, masalah cuaca dan sebagainya. Tetapi kekurangan dana atau bajet untuk membina rumah menjadi punca utama. Jika ada dana, semua kekurangan-kekurangan kecil akan dapat di atasi.  

Dalam hal penulisan, kekurangan idea menjadi penyebab utama kerja-kerja penulisan terhenti kemudian terbengkalai. Puncanya kerana tidak ada jadual atau perancangan semasa memulakan kerja penulisan novel. 
  
Jika ada perancangan rapi, kerja penulisan tidak akan terbengkalai. Sebagaimana mahu menyiapkan sebuah rumah, paling asas adalah tapak rumah, kemudian pelan rumah, kemudian bahan-bahan binaan, disusuli dengan perkara lain yang kurang penting.

Menulis novel mesti ada rangka. Rangka yang akan menjadi terbengkalai atau tidak novel yang akan kita tulis. Sebagai contoh, novel mesti ada jalan cerita atau sinopsis. Setelah ada sinopsis, perlu ada langkah pertama menulis novel.

Sebagai contoh BAB pertama. Perlu dicatitkan apakah cerita atau konflik yang hendak disampaikan. Ada konflik, ada watak, ada latar barulah kerja penulisan boleh dimulakan. Untuk memudahkan sila catitkan daripada BAB 1 sehingga BAB akhir apakah konflik atau cerita yang hendak disampaikan.

Apabila setiap bab sudah dicatitkan, tugas penulis ialah menulis berpandukan apa yang telah dicatitkan. Habiskan setiap awal dahulu sebelum menyiapkan bab seterusnya. Maksudnya siapkan bab pertama, kemudian kedua, ketiga dan seterusnya sehinggalah selesai.

Bukan tidak boleh menulis melangkahi bab, misalnya siap bab ketiga kemudian menulis bab keenam atau seterusnya. Cara begini tidaklah praktikal walaupun sudah rangka atau garis panduan, tetapi itu hanyalah sebagai panduan sahaja. Mungkin ketika menulis,  ada idea baru muncul dan tidak termasuk dalam catitan dan rasanya perlu dimasukkan.

Sebaik-baiknya menulislah mengikut rangka atau jadual yang sudah ditetapkan. Jika satu hari mesti siapkan satu bab, mesti siapkan walaupun apa pun terjadi. Menulis tidak mengikut rangka atau jadual, inilah yang menyebabkan karya terbengkalai. Untuk menyambung semula, kita terpaksa membaca semula sejak awal, jika tidak, urutan cerita sukar hendak dijalinkan kerana kita sudah terlupa isi cerita.      
            

MENGAPA MASIH GAGAL HASILKAN NOVEL


MENGAPAKAH   ada di antara kita semangatnya meluap-luap untuk menghasilkan novel tetapi akhirnya gagal  juga?  Pernahkah kita  merenung di manakah silapnya? Membaca novel sudah. Membeli buku panduan, sudah. Menghadiri bengkel juga sudah tetapi masih gagal juga menghasilkan sebuah novel sedangkan ada penulis lain sudah menghasilkan enam atau tujuh novel dan sudah diterbitkan. Di manakah silapnya kita?
          
          Apabila kita melakukan sesuatu dengan cara yang sama tetapi mengharapkan hasil yang berbeza, merupakan orang yang tidak bijak. Contohnya, kita sudah melakukan cara menulis novel berpandukan apa yang kita belajar tetapi tidak berjaya menghasilkan novel, adakah kita perlu gunakan strategi yang sama berulang-ulang sedangkan kita sudah tahu ia akan menemui kegagalan?
          
           Cuba ubah strategi menulis jika mengalami kegagalan. Banyak cara sebenarnya untuk menghasilkan novel, tetapi kita hanya mempunyai  satu cara, bagaimanakah kita mahu Berjaya menghasilkan novel.
         
            Sebagai  contoh mudah. Kita ingin ke Kuala Lumpur, tetapi kita gunakan satu jalan. Sedangkan jalan itu selalu sesak atau ada kemalangan sering berlaku, adakah kita masih mahu gunakan jalan berkenaan sedangkan kita tahu, akan lambat sampai atau mungkin tidak sampai langsung. Pengguna yang bijak akan mencari altenatif lain  dengan memilih jalan lain yang tidak sesak, apa yang penting sampai ke Kuala Lumpur.
        
       Menulis novel juga begitu. Penulis yang bijak akan menggunakan teknik yang pelbagai untuk menghasilkan novel, apa yang penting novel dapat disiap dan diterbitkan secepat mungkin. Lagi cepat novel dapat diterbitkan, cepat juga mendapat royalti dan bersemangat juga bertambah untuk terus menulis.
     
            Sesuai dengan penulisan kreatif, penulis novel mesti kreatif dengan menggunakan pelbagai teknik dan cara untuk mengembang, mengolah, mempelbagaikan konflik di dalam novel yang digarapnya. Untuk ini, ilmu bantu sangat penting untuk penulis yang kreatif.  Penulis tidak sewajarnya duduk termenung menghadap laptop untuk menghasilkan novel.
  
       Penulis wajar meluaskan pembacaan untuk mendapatkan idea. Cuba bayangkan bagaimanakah kreatifnya seseorang penulis untuk menghasilkan sesebuah novel yang berketebalan lebih 500 halaman. Sesetengahnya berpendapat mungkin ‘pecah kepala’ untuk memikirkan tetapi bagi penulis kreatif, semua itu tidak menjadi masalah kerana bagaimanakah caranya untuk mendapatkan idea supaya kerja penulisan tidak terbengkalai.