Rabu, 25 Januari 2017

BANYAK MEMBERI AKAN BANYAK MENERIMA



MENULIS  apa sekali pun kalau berniat untuk kaya, memang tidak akan kaya. Tapi kalau menulis dengan niat mahu mengkayakan penulis lain dengan ilmu yang kita ada, yakinlah. 

Tidak perlu cari kekayaan, kekayaan akan mengejar kita.

Tak percaya, cubalah. Fahamilah konsep ini: Siapa banyak memberi, dia akan banyak menerima.

Sama juga konsepnya, siapa yang rajin bersedekah, dialah yang akan banyak rezekinya. Pokok pangkalnya mesti sentiasa memberi.

Bagaimanapun perlu diingat!

Jangan fikir apabila disebut kekayaan, yang terpandang di ruang mata ialah wang ringgit. Kekayaan datang dalam pelbagai bentuk. Mungkin akan kaya ilmu, kaya budi pekerti, kaya dengan ramai kawan, kaya dengan ramai pertolongan apabila ditimpa kesusahan, kaya pengalaman dan akhir sekali mungkin kaya dengan harta benda.

Apabila kekayaan datang bentuk harta atau wang ringgit, mungkin itu satu bonus. Memang itulah bentuk kekayaan yang diharapkan oleh manusia. Memang itulah yang sering kita  doakan setiapkali selesai solat, mohon dimurahkan rezeki. Tambah-tambahlah dalam keadaan ekonomi sekarang yang tidak menentu.

Dimurahkah rezeki dan dipanjangkan usia itulah yang kawan-kawa kita doakan apabila mereka dapat tahu tarikh kelahiran kita. Tak percaya, bacalah di Facebook atau grup WhatsApp apabila mereka dapat tahu tarikh kelahiran kita.

Banyak memberi di sini bermaksud, jangan lokek atau berkira apabila ada di kalangan mereka yang baru belajar hendak menulis, tidak kira apa bentuk penulisan sekali pun meminta tunjuk ajar atau bimbingan.

Jangan berasa diri banyak kelebihan. Kita manusia kelebihan dan kekurangan tidak sama. Membantu sesiapa yang kurang ilmu, juga satu pemberian. Tidak semestinya pemberian itu berupa wang ringgit.

Selama ini sudah berapa banyak kita beri kepada orang lain?

Dalam konteks menulis, ilmu yang ada jangan ‘dimakan’ sendiri, agih-agihkan juga kepada mereka yang memerlukan dengan pelbagai cara. Mereka mungkin perlukan ilmu, tetapi mungkin mereka berasa segan untuk meminta atas sebab-sebab tertentu.

Menulis di blog ini umpamanya, banyak ilmu yang boleh dikutip oleh mereka yang baru belajar hendak menulis. Membaca entri-entri dalam blog ini tidak perlu bayaran. Asalkan rajin berkunjung dan menimba ilmu, dapatlah juga selesaikan masalah yang mereka hadapi.

Bukan bermakna hari ini kita memberi ilmu kepada orang lain, esok atau lusa kita akan dapat  ganjaran daripada apa yang kita berikan.

Benih kacang panjang pun tidak mungkin tumbuh dalam masa sehari. Ia akan berputik secara perlahan-lahan sesuai dengan kadar pembesaran pertumbuhannya.



Isnin, 23 Januari 2017

PENGALAMAN MENULIS EBOOK (1)




NIAT mahu menulis ebook timbul apabila pengalaman menulis sudah menjangkau lebih 35 tahun. Bermula dengan menulis sajak, cerpen, rencana, drama radio, drama TV kemudian menulis novel dan buku. Lebih 35 tahun pengalaman dalam penulisan rasa sudah cukup untuk menghasilkan ebook yang berkaitan dengan penulisan novel.

Sudah beberapa kali memenangi sayembara menulis novel, cerpen dan sebagainya tentunya banyak ilmu yang sudah ditimba. Setakat ini sudah lebih 20 novel diterbitkan. Lihat blog di sebelah kanan, judul-judul buku yang sudah terbit.

Sementara buku motivasi Islamik setakat ini sudah enam diterbitkan dan beberapa buah lagi akan menyusul. Untuk ebook pula sudah empat diterbitkan.

Mulanya, saya memang ‘kosong’ mengenai ebook dan perkataan ‘ebook’ itu hanya pernah dengar tapi tak tahu langsung macam mana nak buat, tulis, terbitkan, buat ‘cover’ dan sebagainya. Semuanya kosong.

Tapi kerana minat mendalam, saya mula cari maklumat macam mana nak tulis. Semuanya dari internet. Dapat maklumat, saya kumpul dan failkan. Lepas itu baca sehingga saya benar-benar faham. Ebook yang macam mana orang suka dan bagaimana nak tulis.

Rupa-rupanya tulis ebook ni, lebih baik tulis perkara yang berkait rapat dengan minat yang ada pada kita. Minat saya yang utama menulis novel. Jadi, selain pengalaman yang ada, saya cari maklumat mengenai penulisan daripada buku-buku dan internet. Setelah dapat semua maklumat, saya kumpulkan dan failkan.

Lepas itu baca semula, catit maklumat penting dan susun. Akhirnya dapat siapkan satu  ebook, judulnya CARA MUDAH MENULIS NOVEL (CMMN). Sudah siap menulis timbul masalah nak tukar kepada format PDF. Tujuannya supaya ebook itu tidak boleh ditokok tambah oleh mereka yang memiliki kemudian mengaku itu ebook yang mereka tulis.

Saya cari maklumat bagaimana nak tukar format dari Microsoft Word kepada PDF. Terpaksa beli CD bagaimana nak tukar format Microsoft Word ke PDF. Tetapi sekarang agak mudah, boleh tukar format Microsoft Word ke PDF hanya melalui internet sahaja. Semuanya percuma.

Bersambung….

PENGALAMAN MENULIS EBOOK (2)




BILA ebook sudah siap, timbul masalah macam mana nak buat ‘cover’?  Dahlah ilmu mengenai designer langsung tak ada, tapi taka pa. Jangan putus asa. Cari maklumat dalam internet. 

Akhirnya jumpa laman web yang menyediakan ‘cover’ untuk ebook.

Saya tulis emel menyatakan ingin menempah ‘cover’. Saya jelaskan design yang macam mana yang saya mahu termasuk warna dan sebagainya. Saya buat bayaran RM 30.00 untuk cover. Dalam masa dua hari semua itu sudah siap.

Saya bersyukur kerana ‘cover’ ebook apa yang saya mahukan ‘kena’ dengan selera saya. (Boleh lihat ‘cover’ ebook CMMN di blog ini.

Adakah ebook sudah siap? Ya sudah siap. Tapi…ada tapinya. Macam nak jual? Masa itu belum ada FB, Instragam,WhatsApp, Telegram dan sebagainya. Yang ada hanya blog atau mini website. Masalah juga. Ebook dah siap tak boleh nak jual. Macam mana nak bagi tahu pembaca kita ada ebook?

Dahlah pengetahuan mengenai blog ‘kosong’! Mahu tak mahu kena belajar macam mana nak buat mini website atau blog. Nak ikut bengkel buat blog kena guna duit. Masa dan tempat pula jauh. Jadi, belajarlah dan cari maklumat macam mana nak buat blog.

Rupanya ada dua blog percuma yang ditawarkan. Nak beli domain, kena bayar. Baik guna yang percuma iaitu ‘blogsport’ dan ‘wordpress.’ Mula-mula guna blogspot. Sudah buka web blogspot, kena belajar sendiri macam mana nak masukan entri dalam blog, nak masukan gambar dan macam-macam lagi.

Mula-mula memang ‘bodoh’ tetapi bila ‘try and error’ berulangkali, akhirnya boleh juga kendalikan blog dan boleh paparkan ebook di blog. Lama kelamaan ia menjadi semakin mudah. Sebenarnya banyak kemudahan yang disediakan di blog, hanya ilmu kita yang terbatas.

Mula-mula memang agak ‘frust’ bila dah lama tidak ada orang beli book kita. Masa dan duit sudah banyak diguna tetapi, modal tak dapat lagi. Jangan putus asa. Jika ada kawan-kawan, tumpang iklan di blog mereka.

Sekarang ini, lagi mudah. Ada FB, WhatsApp, Instragram dan macam-macam lagi. Kalau tahu guna, senang kalau nak buat 'marketing.' 

Kawan-kawan yang tidak berkira, memang mudah. Semua percuma. Buat ‘link’ terus ke blog kita dari blog mereka. Mulai dari situ, barulah sedikit demi sedikit  ebook dapat dijual.  Lega rasanya bila penat sudah membuahkan hasil.

Tapi cukupkah setakat itu saja?

Tak cukup banyak lagi yang kita kena buat!

Bersambung….