Ahad, 28 Disember 2014

EBOOK CARA MUDAH MENULIS NOVEL DIBUKUKAN






SYUKUR Alhamdulillah, setelah lebih kurang lima tahun ebook Cara Mudah Menulis Novel (CMMN) diterbitkan dalam bentuk ebook, kini sudah sampai masanya ebook ini dijadikan sebuah buku yang boleh dipegang dan dibaca pada bila-bila masa.

           Penulis amat menghargai cadangan dan pandangan dari mereka yang minat menulis novel supaya ebook ini dijadikan sebuah buku yang boleh dipegang, disentuh dan dibaca berulangkali. 

            Penulis sedar tidak ramai yang menggemari ebook berbanding dengan buku fizikal kerana sudah terbiasa sejak zaman persekolahan, apabila membaca buku mesti ada buku yang boleh ditatap dan dipegang bukan membacanya di alam siber.

            Bagaimanapun tuntutan masa pada zaman siber dengan kelahiran banyak ebook panduan, sudah tentu penulis akan mengambil peluang untuk menghasilkan ebook seperti ini dan hasilnya, Alhamdulillah ramai yang menerima baik.

            Namun demi tidak menghampakan mereka yang masih meminati buku, penulis tidak menghampakan impian mereka untuk membaca ebook CMMN ini dalam bentuk buku.

            Sekarang buku CMMN ini boleh didapati dengan harga yang murah iaitu RM 20.00 senaskah berbanding ebook yang berharga RM 40.00. Bagaimanapun buku ini tidak dijual di mana-mana kedai buku tetapi boleh dipesan terus dengan penulis dan kos hantaran tidak dikenakan.  

          Penulis tidak mahu menghampakan mereka yang berasakan ebook berharga RM 40.00 terlalu mahal tetapi jika dibandingkan dengan manfaat yang diperolehi, sudah tentu tidak ternilai dengan haga buku itu. Untuk itu penulis hanya menjual dengan harga RM 20.00 termasuk kos penghantaran.

          Kepada mereka yang ingin menghasilkan novel, jangan lepaskan peluang ini. Sila buat pesanan segera.   Pembayaran kedua-dua ebook ini boleh dilakukan dengan cara bank in ke akaun saya:
          
            MUHD NASRUDDIN DASUKI
            AKAUN MAY BANK : 162115976283
            CIMB : 7603994331    
      
       Pembeli boleh mengirimkan butiran pembelian ke emel: mnasd_326@yahoo.com atau SMS  atau WhatsApp ke HP 013-3635560.

Isnin, 15 Disember 2014

LATIHAN SEBELUM MENULIS NOVEL



ANDA baru belajar berjinak-jinak menulis novel?  Yang tidak biasa menulis novel, sememangnya sukar untuk menulis meskipun  hanya untuk sehelai muka surat sahaja, inikan pula hendak menyiapkan novel yang beratus-ratus muka surat.

            Bagi mereka yang tidak tahu dan tidak faham dengan bermacam-macam istilah  dalam penulisan novel, jangan terlalu risau. Untuk permulaan dan sebagai pembakar semangat, sila ikuti cara-cara yang diterangkan ini.  Ini mungkin dapat membantu anda sebelum anda meneroka  lebih jauh lagi mengenai penulisan novel.

PERTAMA:
Tulislah apa yang anda tahu. Anda tentu ada pengalaman. Tulislah apa juga pengalaman itu dalam satu atau dua helai muka surat. Jika banyak lagi bagus. Jika ada nostalgia atau kisah-kisah yang anda ingat, tuliskan sekali. Jika ada dialog-dialog yang masih anda ingat, juga tuliskan sekali.

            Tulislah bagaimana ia bermula dan bagaimana ia berakhir.  Ingat! Tulis apa yang anda tahu sahaja. Jika anda masih ingat, tarikh dan masa ia berlaku, juga boleh tuliskan sekali biar orang yang membaca dapat membayangkan  suasana dan kejadian itu berlaku.

            Apabila sudah selesai menulis. Baca semula dan perbaiki mana-mana peristiwa yang tertinggal sehingga ia menjadi sebuah cerita yang menarik. Sesudah siap, sila berikan kepada rakan anda untuk membacanya dan mintalah komen, apa yang perlu ditambah lagi untuk menyedapkan cerita.

            Itu sebenarnya langkah pertama, anda belajar menulis novel. Selepas itu buat kisah yang lain pula sama ada ia ada kaitan dengan cerita yang pertama anda tulis atau tidak. Buat perkara yang sama sehingga selesai.

KEDUA:
Jika yang pertama, ditulis berdasarkan pengalaman sendiri. Apa kata yang kedua ini kisah pengalaman orang lain atau kawan baik anda  yang pernah diceritakan kepada anda. Anda hanya menulis semula apa yang diceritakan kepada anda tanpa anda  terbabit dalam cerita itu.

            Caranya sama. Jika ada dailog atau di mana serta waktu peristiwa itu berlaku, anda wajar menulisnya. Atau apabila anda siap menonton sesebuah cerita drama di kaca tv, anda tuliskan semula ceritanya sebagaimana yang anda ingat. Tuliskan cerita itu dari awal sehingga selesai.

            Anda ibarat orang luar yang mengetahui cerita ini dan anda tuliskan semula. Setelah siap, minta sahabat anda itu membaca semula apa yang anda tuliskan. Jika ada yang tertinggal, minta sahabat anda itu menceritakan semula.

            Apa yang anda tuliskan itu sebenar salah satu bab dalam novel sebagai persediaan anda menghasilkan satu bab daripada sekian banyak bab yang ada. Jika ada kisah yang lain pula, tuliskan dalam satu bab yang lain. Jika ceritanya panjang, boleh pecah-pecahkan menjadi banyak bab. Yakinlah akhirnya ia akan menjadi sebuah cerita. Anda boleh olah semula menjadi sebuah novel yang baik.

 KETIGA:
Jika ada berlaku sesuatu peristiwa. Jangan hanya menyebutkan sahaja. Sebagai contoh sahabat anda itu bertemu dengan rakannya yang berhutang dan sahabat anda itu menagih hutangnya. Tuliskan dialog yang digunakan ketika sahabat anda itu menagih hutangnya. 

            Jika ada pertengkaran, tuliskan bagaimana gerak geri dan reaksi kedua belah pihak. Ini sebenarnya sebagai satu latihan anda menulis dialog dalam novel. Tulis juga jika ada adegan lain selepas ini.

EMPAT:
Untuk peringkat permulaan mungkin cerita anda ini kurang kemas, tidak tersusun dan tunggang terbalik tetapi tidak mengapa, ini hanyalah satu latihan. Apabila anda kerapkali menulis perkara yang sama, sudah pasti anda akan melakukan perubahan apatah lagi selepas anda membandingkan novel lain yang sudah terbit. Latihan seperti ini sebenarnya perlu anda lakukan setiap masa tidak kiralah apabila anda melihat sesuatu adegan di depan mata dan anda boleh garapkan untuk menjadi sebuah cerita.

CARA MENDAPATKAN SEMANGAT MENULIS



ORANG yang tidak ada waktu untuk membaca, sudah tentu tidak ada masa hendak menulis.  Manakala orang yang hendak menulis perlu banyak membaca. Banyak membaca ibarat pokok yang sentiasa disirami air dan sentiasa segar. Lama kelamaan pokok akan membesar, berbunga dan berbuah. Buah itu pula akan dinikmati oleh orang lain.

            Begitu jugalah dengan menulis novel. Mula-mula kita membaca. Kemudian ikta berminat menulis. Kemudian berjaya pula menghaslkan sebuah novel. Apabila banyak membaca, akan banyaklah hasil tulisan nanti. Apabila tidak banyak membaca, tidaklah banyak hasil tulsannya. Setuju atau tidak dengan kenyataan ini? Apabila banyak membaca, akan lahir banyak idea-idea baru.

            Apabila ada idea untuk menulis, akan lahirlah semangat untuk menulis. Apabila semangat sudah ada, anda akan rajin pula membaca untuk mendapatkan bahan rujukan menulis. Hasil tulisan yang  baik banyak mengandungi fakta bukan imaginasi semata-mata.

            Hasil tulisan yang baik akan menyebabkan novel mendapat tempat di hati pembaca. Ini bermakna hasil tulisan anda tidak dipandang sepi oleh pembaca. Apabila ramai memperkatakan novel anda, anda akan rasa jerih payah menghasilkan novel sangat dihargai.

            Apabila novel menjadi ‘best seller’ akan akan berasakan nikmat dari royalti yang diperolehi. Yakinlah semangat menulis akan terus membaca apabila keringat anda dihargai oleh pembaca dan mendapat royalti hasil idea anda.

BANYAK MEMBACA NOVEL PENULIS LAIN

BANYAK membaca sangat penting kepada mereka yang berhajat menjadi penulis novel. Seorang penulis bernama William Faulkner pernah berkata, “Baca, baca, baca. Baca segalanya: tulisan “sampah,”  tulisan klasik, tulisan yang baik dan tulisan yang buruk. Amatilah bagaimana cara mereka menulis. Jadilah  seperti seorang tukang kayu  yang sedang belajar bertukang, mula-mula mungkin banyak kesilapan tetapi lama-kelamaan hasilnya akan menjadi lebih baik.”

    Banyak membaca akan membuatkan kita banyak berfikir dan menilai yang mana satu tulisan yang baik dan mana satu tulisan yang kurang baik. Bahkan apabila kita makan nasi lemak yang dibungkus dengan kertas surat khabar, kita akan membacanya selepas makan.

    Begitu juga dengan kotak atau bungkusan yang dibalut dengan kertas surat khabar atau majalah. Bacalah apa yang anda lihat, anda akan bertemu dengan banyak perkara. Saya sendiri pernah terbaca salah satu cerpen saya yang pernah disiarkan di akhbar dan menjadi pembungkus nasi lemak.

    Ya, gemar sifat suka membaca ini kadang-kadang boleh mencetuskan  idea menulis kepada kita.  Bayangkan selepas makan nasi lemak, sebelum pembungkus itu kita buang, kita sempat membaca dan yang kita baca itu sesuatu yang menarik atau sesuatu peristiwa.  Kita boleh jadikan apa yang kita baca itu sebagai satu input dalam novel kita atau sub plot untuk mengembangkan cerita.

    Ada baiknya gemar membaca ini bukan sahaja terhadap kertas surat khabar tetapi juga hasil karya penulis lain.   Ada penulis yang hanya suka membaca karyanya sendiri sahaja dan tidak suka membaca karya penulis lain.

    Bacalah karya-karya penulis lain, jika karya mereka terbaik anda akan mendapat inspirasi. Bandingkan dengan  karya anda. Jika karya kita kurang baik, belajarlah bagaimana supaya karya kita menjadi lebih baik.

Isnin, 1 Disember 2014

MENJADI PENULIS YANG HEBAT



TERNYATA ingin menjadi penulis yang berjaya, perlu memiliki dua  perkara keramat yang mesti diamalkan. Yang pertama ialah rajin melakukan latihan. Apa yang dimaksudkan melakukan latihan ialah latihan menulis novel. Seringkali melakukan latihan akan membiasakan diri kita lancar dengan hal-hal penulisan.


            Ia ibarat membeli sebilah parang baru. Sekali asah mungkin tajamnya hanya untuk seketika tetapi jika diasah setiap hari, lama kelamaan parang akan menjadi tajam. Sebab itulah ada peribahasa menyebut ‘belakang parang kalau diasah lagikan tajam.’ Maksudnya belakang parang yang jarang kita gunakan, jika diasah hari-hari, akhirnya  akan tajam juga. Inikan pula jika bahagian depan parang sudah tentu lebih tajam.


            Soalnya, mesti diasah hari-hari. Bukan hendak diguna, baru hendak diasah. Begitu juga dengan menulis novel. Biarpun kita belum berjaya menghasilkan novel tetapi jika kita hari membuat latihan menulis, lama kelamaan novel akan siap juga. Itulah juga yang dilakukan oleh para penulis yang hebat sebelum ini.


            Hal ini sama juga dengan pelajar yang selalu membuat latihan, akhirnya akan cemerlang dalam peperiksaan berbanding dengan pelajar yang malas membuat latihan.

            Kedua, melakukan latihan secara berulang-ulang. Untuk menguasai sesuatu perkara, ia harus dilakukan berulang-ulang kali.  Kita perhatikan pencipta dan pereka yang berjaya, mereka bukan sekali dua melakukan perkara yang sama. Setiapkali melakukan perkara yang sama, mereka akan menemui sesuatu yang baru. 

            Sebagai contoh pencipta telefon Alanxander Graham Bell. Beliau banyak melakukan eksperimen sehinggalah bentuk sejak asal dicipta sehinggakan sekarang ini dapat dilihat dalam pelbagai bentuk. Telefon yang asal, direka oleh generasi selepasnya sehingga generasi sekarang ini. Hasilnya kita dapat lihat bentuk telefon yang dahulunya menggunakan wayar, sekarang ini hanya menggunakan gelombang yang boleh dibawa ke mana-mana.

            Samalah juga halnya dengan menulis novel. Jika orang lain mampu menghasilkan novel yang mampu memikat pembaca kerana seringnya membuat latihan dan menghasilkan novel, akhirnya  hasil tulisannya sentiasa ada sesuatu yang baru dan segar.


Penulis yang berjaya dan hebat banyak mempergunakan waktu hidupnya semata-mata untuk menulis dan hasilnya mereka menikmati apa yang mereka kerjakan. Sanggupkah anda melakukan apa yang disarankan di atas? Jika sanggup, yakinlah satu ketika nanti anda akan menjadi penulis yang hebat.