Isnin, 24 Januari 2011

EBOOK 50 TIP MENULIS NOVEL HANYA RM 20.00 - Percuma sebuah ebook Panduan Menulis Novel



SELAIN ebook CARA MUDAH MENULIS NOVEL (CMMN), ebook 50 Tip Menulis Novel: Panduan Asas Yang Berkesan masih boleh dimiliki mulai sekarang sehingga akhir tahun.

Menariknya sesiapa yang membeli ebook ini, mereka akan mendapat percuma sebuah ebook bertajuk PANDUAN MENULIS NOVEL : Berdasarkan Kisah Benar.

Ebook ini menampilkan 50 Tip penulisan novel yang berkesan wajar dimiliki oleh mereka yang berhajat menulis novel. Artikel yang ditulis merupakan panduan yang mudah diikuti supaya tidak tersasar dalam penulisan novel.

Mereka yang berminat memiliki ebook ini boleh membuat bayaran melalui akaun bank. Mereka boleh memilih mana-mana cawangan bank yang berhampiran untuk membuat bayaran.

MAYBANK – Akaun No: 162115976283 – Muhd Nasruddin Dasuki
CIMB BANK Akaun No: 1277-0002240-207 – Muhd Nasruddin Dasuki

Setelah membuat bayaran, sila SMS butir-butir bayaran, seperti tarikh, nama penuh dan alamat, tempat dan sebagainya ke No. Tel: 013-3635560. Atau emelkan butir bayaran anda itu ke mnasd_326@yahoo.com. Ebook akan dihantar melalui emel setelah pengesahan diterima.

Jangan lepaskan peluang sementara peluang masih dibuka.

NOVEL BIAR SEDERHANA PENYAMPAIANNYA

SETIAP karya wajar memiliki keseronokkan kepada orang yang membacanya. Jika pada bab awalan sudah membosankan sudah tentu ia bukan karya yang menyeronokkan sebaliknya ia membosankan.

Kepada penulis yang mengarang cerita berkenaan mungkin tidak sedar. Ia seronok untuk diri sendiri tetapi membosankan kepada orang lain. Dalam hal ini, memanglah bukan mudah untuk memuaskan hati semua orang.

Namun apa yang penting, setiap novel itu mesti ada mesej dan cara penyampaiannya biarlah sederhana tetapi menarik, tidak terlalu serius dan bukan cara berlawak.
Setiap pembaca mempunyai persepsi sendiri terhadap novel yang dibacanya. Mungkin membosankan kepada mereka tetapi tidka kepada orang lain kerana pembaca itu sendiri terdiri daripada pelbagai peringkat, usia, pembelajaran dan sebagainya.

Majoriti pembaca novel hari ini bukanlah yang jenis suka membaca novel yang serius. Mereka membaca hanya sekadar untuk mengetahui ceritanya dan bukan untuk memikirkan sama ada novel itu bermutu atau tidak.

Mereka membaca sambil bersantai sambil memenuhi waktu yang terluang. Mereka tidak mahu memberatkan fikiran dengan persoalan yang di luar kemampuan mereka untuk memikirkannya.

Secara amnya, sesebuah novel biarlah sederhana penyampaiannya sesuai untuk semua peringkat umur yang membacanya, bersahaja, mudah bahasanya dan menarik penyampaian dan ada pengajarannya.

Pembaca yang berasa seronok sudah pasti akan mencari lagi buah tangan penulis yang sedang dibacanya kerana sudah tertarik dengan gaya penyampaian dan mampu memikat pembacanya sendiri.

PENTINGKAH JUDUL SEBELUM MENULIS NOVEL

TERDAPAT sesetengah penulis tidak boleh menulis jika tidak ada judulnya terlebih dahulu. Sama ia judul cadangan atau judul tetap, ia ibarat seperti ‘ibu’ yang akan menjadi penaung kepada apa yang bakal dituliskan.

Bagaimanakah jika tidak ada judul sebelum menulis? Jika beginilah keadaannya, sudah tentulah kerja-kerja menulis tidak boleh dilakukan dan selamanya ia akan hanya diperingkat angan-angan sahaja.

Sebaik-baiknya, usah pentingkan sangat mengenai judul. Percayalah judul akan dating apabila novel itu selesai ditulis. Tidak semestinya judul yang kita sediakan akan digunakan sepenuhnya oleh penerbit.

Adakalanya apabila novel itu layak diterbitkan, editor sendiri akan membuat penilaian sama ada judul yang disediakan itu sesuai atau tidak. Editor atau penerbit akan menukar judul yang diberi jika tidak sesuai.

Penulis pula harus menerima jika judul yang diberikan, ditukar dengan judul lain. Pihak penerbit lazimnya mempunyai perancangan kerana ia termasuk dalam soal pemasaran buku berkenaan.

Kemungkinan cerita dalam novel itu tidak bagus tetapi kerana judulnya yang lain daripada yang lain, menyebabkan novel itu ‘laku keras’ apabila di pasarkan.
Oleh yang demikian jangan terlalu bergantung kepada prinsip, tidak ada judul tidak boleh menulis. Tulislah manuskrip novel dahulu, apabila sudah siap barulah berfikir untuk mencari judul yang sesuai.

Kadang-kadang ada novel yang judulnya hebat tetapi ceritanya tidak sehebat judulnya. Namun dalam mencari judul novel, jangan sekali-kali memberikan judul novel yang sudah terbit.

Sebagai contoh, seperti Salina, Ranjau Sepanjang Jalan, Interlok, Hujan Pagi atau novel-novel lain yang pernah diterbitkan. Pembaca akan menjadi keliru apabila terbit sebuah novel lain berjudul Salina misalnya walaupun ia ditulis oleh penulis lain.

MENULIS DI LUAR PENGALAMAN

SAYA percaya ramai di antara kita menulis novel bergantung kepada pengalaman yang tidak dialami sendiri. Ia mungkin pengalaman orang lain atau hasil daripada kajian atau pembacaan sendiri.

Pengalaman sendiri sebenarnya memudahkan proses kreatif seseorang penulis manakala pengalaman yang tidak dialami mungkin akan lebih memaksa pengarang bekerja keras untuk mengimaginasi keadaan.

Contohnya, bagaimanakah kita hendak menuliskan latar ketika zaman pendudukan Jepun di Tanah Melayu sedangkan kita sendiri belum lahir ketika itu? Caranya ialah dengan membuat kajian, selidikan, wawancara dengan mereka yang pernah hidup pada zaman itu dan mendapatkan pelbagai sumber lagi.

Ini lebih sukar dan mengambil masa yang panjang dan tidak semua penulis sanggup melakukannya, lebih baik menulis sahaja apa yang penulis itu tahu dan pernah dialami.

Pada masa sekarang ini, bukanlah sukar sangat hendak menulis sesuatu yang berada di luar pengalaman, asalkan kita sanggup bekerja lebih sedikit mencari maklumat. Semua bergantung kepada kemampuan penulis itu sendiri.

Malah ada sesetengah penulis, walaupun memiliki pengalaman yang pernah dialami tetapi tidak mampu untuk menuliskan kembali. Dalam hal ini, tiga unsur seperti pengalaman, intelektual dan imaginasi sangat penting untuk digabungkan.

Jika ketiga-tiga ini dapat digabungkan ketika menulis sesebuah novel, sudah pasti pembaca akan percaya bahawa apa yang diceritakan oleh penulis itu sendiri memang benar-benar dialami walaupun ia sebenarnya campuran imiginasi dan pengalaman.

CARA MEMPERKAYA PENGALAMAN

MANAKAH yang penting bagi seseorang yang hendak menulis novel, kaya imaginasi atau kaya pengalaman?

Kedua-duanya memang penting tetapi yang lebih penting ialah kaya pengalaman, kedua intelektual dan ketiga barulah kaya imaginasi. Bayangkan, jika kaya imaginasi tanpa pengalaman, bagaimana seseorang hendak menulis?

Jika kaya imaginasi pula, pengarang akan menulis perkara yang berulang-ulang kerana imaginasinya tidak tajam. Bagaimanapun, asas penulisan itu sendiri harus bermula daripada pengalaman.

Pengalaman akan digaul dengan imaginasi dan intelektual akan menghasilkan satu
bentuk pengalaman yang baru.

Tetapi bagaimanakah caranya untuk memperkayakan pengalaman?
Memperkayakan pengalaman ada dua cara. Pertama pengalaman secara langsung dan tidak secara langsung. Pengalaman secara langsung ialah pengalaman yang dilalui atau dilakukan berulangkali. Contohnya seperti pengalaman bekerja, melancong dan sebagainya.

Pengalaman secara tidak langsung ialah pengalaman yang berlaku tanpa diduga, ia mungkin berlaku sesekali atau dua kali. Contohnya seperti pengalaman terlibat dalam kemalangan, pengalaman dirompak, diculik atau peristiwa-peristiwa yang tidak pernah diduga akan dialami.

Pengalaman tidak secara langsung amat berharga sekali kerana tidak semua orang akan merasai seperti merasai pengalaman bekerja. Pelbagai bentuk pengalaman yang hanya sesekali dialami wajar untuk dicatat kerana ia amat berguna jika saudara berniat untuk menulis novel.

Sebagai contoh jika saudara pernah diculik, sudah tentu saudara sendiri dapat menceritakan secara lebih terperinci berbanding dengan penceritaan secara imaginasi.

Jumaat, 21 Januari 2011

KEMAHIRAN MENGUASAI BAHASA KREATIF

BAGAIMANAKAH keupayaan bahasa saudara sebelum menulis? Adakah saudara sudah berupaya menguasai bahasa dengan baik sebelum menghasilkan sesebuah novel umpamanya?

Ramai penulis menganggap novel Bumi Manusia, Rumah Kaca dan Anak Semua Bangsa karya Pramoedya Ananta Toer memiliki keupayaan bahasa yang mengkagumkan.

Walaupun saudara tidak memiliki keupayaan bahasa yang tinggi, itu bukanlah satu masalah besar jika saudara mahu menulis novel. Pengalaman menulis lama kelamaan akan memberikan input keupayaan dan penguasaan bahasa saudara supaya lebih baik.

Oleh kerana menulis memerlukan daya ingatan yang kreatif, penguasaan bahasa yang kreatif juga perlu kerana penulisan kreatif berbeza dengan penullisan deskreatif. Penulisan kreatif memerlukan penguasaan bahasa yang baik kerana ia juga akan menghasilkan karya yang baik.

Penilaian sesebuah novel bukan sahaja bergantung kepada cerita, plot, tema dan sebagainya tetapi penguasaan bahasa juga penting. Sesiapa yang mendalami dunia penulisan kreatif akan merasai kelainan penguasaan bahasa yang digunakan di dalam bilik darjah.

Ia amat berbeza dengan cara penulisan bercorak akademik atau keagamaan. Bagaimanapun, ini bukan bermakna penulisan kreatif mengenepikan hukum hakam akademik dalam bahasa.

Cuma apa yang penting, teknik pernulisan kreatif dan bukan kreatif mempunyai perbezaan yang dapat dikesan. Kebijaksanaan penulis memanipulasi bahasa bukan bermakna merosakkan bahasa tetapi bahasa akan menjadi lebih indah kerana kreatifnya penulis untuk menggambar sesuatu berbeza dengan bukan penulis.

Sebagai contoh.
Bukan kreatif. Matahari telah terbit dari sebelah timur dan sinarnya tidak begitu panas. Embun sudah lama kering.

Penulisan kreatif: Sinar mentari menguak dari sebelah timur. Cahayanya perlahan menembusi pohonan menghijau yang bertenggek di celah perbukitan. Titis embun sudah lama melangkah pergi sebaik sahaja mentari perlahan-lahan menumpahkan sinarnya.

USAH BERHARAP PADA BAKAT SEMULA JADI SEMATA-MATA

SAUDARA berminat ingin menjadi penulis novel? Adakah saudara menyedari saudara mempunyai bakat semula jadi?

Pada asasnya semua orang memiliki bakat untuk menulis. Mereka boleh menulis sebagaimana apa yang mereka tulis ketika belajar di bangku sekolah atau universiti. Tetapi teknik penulisan yang saudara pelajari itu bukan untuk membolehkan saudara menjadi penulis.

Untuk menjadi penulis, selain bakat semula jadi, bakat yang dipupuk dan dipelajari amat penting. Kita tidak boleh berharap bergantung semata-mata kepada bakat semula jadi.

Bakat semula jadi memang perlu kerana ia yang akan dapat membezakan kebolehan atau tidak ketidakbolehan seseorang itu mengarang. Namun pada zaman sekarang ini, bakat semula jadi tidak mencukupi, seseorang penulis perlu menggali mencari sumber ilmu daripada pelbagai sumber.

Perlu diingatkan, sesebuah karya sastera tidak hanya meladeni emosi, imaginasi dan sebagainya tetapi daya keintelektulan juga perlu dipelajari. Mereka tidak boleh terkongkong atau berada di dalam satu-satu kerangka tetapi perlu keluar dari kerangka hidup dan menjalani kerangkan hidup yang lain.

Untuk mendapatkan daya keintelektualan, seseorang penulis wajar untuk ‘menghidupkan’ bakat menulis yang ada. Seumpama pokok bunga yang mesti disiram supaya dapat meneruskan kelangsungan hidupnya.

Pokok bunya akan layu, kering dan mati. Begitu juga bakat semula jadi, perlu dipupuk dan bajai supaya sentiasa berupaya melahirkan karya yang lebih baik. Menyuntikkan bakat dengan ilmu bantu juga penting kerana bakat alam perlu juga ditambah, dibajari dan disirami supaya ia lebih subur.

Seseorang pengarang sewajarnya terus belajar dan terus belajar setiap masa dan tidak sentiasa berharap dengan ilmu yang sedia ada. Dalam hidup sehari-hari kita akan bertemu dengan banyak perkara dan benda baru. Yang baru itulah sebenarnya ilmu yang kita belum ada yang perlu menyimpannya.

MENGHARGAI IDEA YANG DATANG

ADA yang menganggap ia idea, ada juga yang menganggap ia adalah ilham. Walau apapun bentuk istilahnya, bagaimanakah caranya kita untuk menghargai idea atau ilham yang datang itu.

Adakah idea atau ilham yang dating itu ada kena mengena denganapa yang sedang kita kerjakan. Maksudnya pada ketika itu kita sedang menyiapkan satu bab dalam novel, lalu kita kekeringan idea untuk menulis.

Sama ada idea atau ilham yang dating itu ada kena mengena dengan apa yang sedang kita kerjakan, sebaik-baiknya catatkan idea itu supaya ia tidak berlalu begitu sahaja. Mungkin ia tidak kita perlukan pada ketika itu tetapi percayalah ia akan berguna kepada kita pada satu ketika yang lain.

Kadang-kadang idea itu tidak datang saepenuhnya. Ia datang secara perlahan atau seikit demi sedikit. Pada asasnya idea itu hanyalah sebagai induk, selebihnya terletak kepada kita untuk mencorak, menokok tambah idea yang datang itu.

Ada kalanya idea itu datang tidak dijemput. Adakalanya juga kita menunggu idea datang tetapi idea tidak juga menjelma. Oleh itu, apabila idea itu datang, ia merupakan satu anugerah yang tidak diberikan kepada semua orang. Terimalah anugerah itu sebagaimana kita menerima anugerah tertinggi daripada pihak berwajib.
Idea itulah nanti yang akan diterjemahkan oleh penulis dan bentuk tulisan.

Oleh kerana idea atau ilham datang tanpa diduga waktunya, wajar bagi penulis untuk mengolah idea itu dan bukan menerima bulat-bulat lalu diterjemahkan dalam penulisan. Pengumpulan banyak idea kemudian disatukan dalam bentuk penulisan akan menghimpunkan daya kreatif yang berkesan.