Isnin, 24 Januari 2011

MENULIS DI LUAR PENGALAMAN

SAYA percaya ramai di antara kita menulis novel bergantung kepada pengalaman yang tidak dialami sendiri. Ia mungkin pengalaman orang lain atau hasil daripada kajian atau pembacaan sendiri.

Pengalaman sendiri sebenarnya memudahkan proses kreatif seseorang penulis manakala pengalaman yang tidak dialami mungkin akan lebih memaksa pengarang bekerja keras untuk mengimaginasi keadaan.

Contohnya, bagaimanakah kita hendak menuliskan latar ketika zaman pendudukan Jepun di Tanah Melayu sedangkan kita sendiri belum lahir ketika itu? Caranya ialah dengan membuat kajian, selidikan, wawancara dengan mereka yang pernah hidup pada zaman itu dan mendapatkan pelbagai sumber lagi.

Ini lebih sukar dan mengambil masa yang panjang dan tidak semua penulis sanggup melakukannya, lebih baik menulis sahaja apa yang penulis itu tahu dan pernah dialami.

Pada masa sekarang ini, bukanlah sukar sangat hendak menulis sesuatu yang berada di luar pengalaman, asalkan kita sanggup bekerja lebih sedikit mencari maklumat. Semua bergantung kepada kemampuan penulis itu sendiri.

Malah ada sesetengah penulis, walaupun memiliki pengalaman yang pernah dialami tetapi tidak mampu untuk menuliskan kembali. Dalam hal ini, tiga unsur seperti pengalaman, intelektual dan imaginasi sangat penting untuk digabungkan.

Jika ketiga-tiga ini dapat digabungkan ketika menulis sesebuah novel, sudah pasti pembaca akan percaya bahawa apa yang diceritakan oleh penulis itu sendiri memang benar-benar dialami walaupun ia sebenarnya campuran imiginasi dan pengalaman.

Tiada ulasan: