Isnin, 24 Januari 2011

CARA MEMPERKAYA PENGALAMAN

MANAKAH yang penting bagi seseorang yang hendak menulis novel, kaya imaginasi atau kaya pengalaman?

Kedua-duanya memang penting tetapi yang lebih penting ialah kaya pengalaman, kedua intelektual dan ketiga barulah kaya imaginasi. Bayangkan, jika kaya imaginasi tanpa pengalaman, bagaimana seseorang hendak menulis?

Jika kaya imaginasi pula, pengarang akan menulis perkara yang berulang-ulang kerana imaginasinya tidak tajam. Bagaimanapun, asas penulisan itu sendiri harus bermula daripada pengalaman.

Pengalaman akan digaul dengan imaginasi dan intelektual akan menghasilkan satu
bentuk pengalaman yang baru.

Tetapi bagaimanakah caranya untuk memperkayakan pengalaman?
Memperkayakan pengalaman ada dua cara. Pertama pengalaman secara langsung dan tidak secara langsung. Pengalaman secara langsung ialah pengalaman yang dilalui atau dilakukan berulangkali. Contohnya seperti pengalaman bekerja, melancong dan sebagainya.

Pengalaman secara tidak langsung ialah pengalaman yang berlaku tanpa diduga, ia mungkin berlaku sesekali atau dua kali. Contohnya seperti pengalaman terlibat dalam kemalangan, pengalaman dirompak, diculik atau peristiwa-peristiwa yang tidak pernah diduga akan dialami.

Pengalaman tidak secara langsung amat berharga sekali kerana tidak semua orang akan merasai seperti merasai pengalaman bekerja. Pelbagai bentuk pengalaman yang hanya sesekali dialami wajar untuk dicatat kerana ia amat berguna jika saudara berniat untuk menulis novel.

Sebagai contoh jika saudara pernah diculik, sudah tentu saudara sendiri dapat menceritakan secara lebih terperinci berbanding dengan penceritaan secara imaginasi.

Tiada ulasan: