Jumaat, 19 November 2010

NOVELOG SEMENJAK KAU DATANG (SKD)

NOVELOG?

Tak pernah mendengar perkataan itu sebelum ini. Tetapi TRAVELOG pernah mendengarnya. Travelog merupakan satu catatan perjalanan ke sesuatu tempat yang disampaikan dalam bentuk kretaif tetapi masih berpandukan kepada fakta dan buka disampaikan secara imaginasi.

Manakala Novelog pula merupakan sebuah novel yang disampaikan hasil gabungan imaginasi dan fakta. Nama-nama tempat di mana sesuatu peristiwa itu berlaku adalah benar sementara ceritanya pula boleh juga berdasarkan kisah benar atau kisah rekaan.
Saya baru sahaja menyiapkan sebuah Novelog yang bakal diterbitkan oleh Prima Buku.

Jika tidak ada aral melintang Novelog berkenaan akan terbit selewatnya tahun ini atau awal tahun hadapan. Pada pengamatan saya, inilah pertama kali sebuah novelog diterbitkan. Sebuah novel yang menggabungkan catatan perjalanan daripada kisah benar.

Sebuah novelog yang bertajuk Semenjak Kau Datang merupakan kisah benar bagaimana seorang gadis remaja dilarikan oleh jejaka dari Pulau Lombok dan bernikah di sana. Novel ini bermula dari kisah perkenalan sehinggalah detik-detik perjalanan yang mengharungi pelbagai dugaan di lautan dan kembali semula ke Malaysia.

Jika ingin mengetahui cara penyampaiannya dan apakah yang dikatakan novelog itu, tunggulah kemunculannya nanti dalam masa terdekat.

KETAJAMAN IMAGINASI DAN ILMU

DI DALAM konteks penulisan imaginasi merupakan ketajaman fikiran seseorang penulis untuk mewujudkan suatu suasana di dalam karya tanpa berada di tempat yang sedang digambarkan.

Sebagai contoh seorang penulis menggunakan imaginasinya sedang mengambarkan suatu keadaan di balai ketibaan sebuah lapangan terbang sedangkan ketika menulis itu dia sedang berkarya di dalam biliknya.

Selain menggunakan imaginasi (sebaik-baiknya penulis pernah berada di mana situasi itu sedang digambarkan), penulis boleh menggunakan gambar rakaman video, gambar-gambar dan medium lain yang berkaitan.

Sesudah memperolehi medium untuk menggambarkan suasana sedemikian, ilmu bagaimana untuk memindahkan di dalam bentuk tulisan amat penting. Jika diberikan tugasan kepada 10 orang untuk menggambarkan bagaimanakah keadaan balai ketibaan di seuah lapangan terbang, sudah pasti akan melahirkan 10 gambaran yang berbeza.

Untuk menjadi seseorang penulis yang berilmu di dalam berimaginasi, mereka sewajarnya luas pengalaman, banyak membaca, banyak mengkaji, rajin mengembara, berkomunikasi dengan ramai orang dan sebagainya.

Tidak semestinya seseorang penulis mesti berada di tempat di mana suatu gambaran hendak dituliskan di dalam novelnya, tetapi jika pernah berada di tempat berkenaan, itu adalah sebaik-baiknya.

Tetapi jika tidak pernah, selain menggunakan medium yang disebutkan di atas, penulis juga tajam pendengaran, tajam pemerhatian. Seseorang penulis akan dilihat ketajaman imaginasinya apabila dapat menggambarkan suatu keadaan dengan begitu ‘real’ sekali meskipun tidak pernah berada di tempat berkenaan.

BAKAT DAN MINAT DUA PERKARA BERBEZA

ADA orang minat menulis tetapi sesudah mencuba berkali-kali masih juga gagal. Ini kerana mereka tidak ada bakat. Minat dan bakat, dua perkara yang berbeza. Ada minat tidak semestinya ada bakat menulis.

Contohnya, daripada sekian banyak mereka yang menghadiri bengkel penulisan novel contohnya, hanya beberapa orang sahaja yang mampu menghasilkan novel. Yang lain kerana mempunyai minat tetapi tidak berkebolehan menulis kerana tidak ada bakat.

Bagaimanapun, jika ada bakat, minat wajib ada kepada mereka yang ingin menulis novel. Bakat boleh dipupuk, begitu juga dengan minat. Ada sesetengah orang yang tidak bemrinat dengan sesuatu perkara tetapi apabila didedahkan beberapa dengan perkara berkenaan, akhirnya mereka berminat.

Apabila sudah ada minat, bakat harus dipupuk. Ada sesetengah mereka yang tidak ada bakat tetapi apabila diberi pendedahan, akhirnya mereka berkemampuan untuk menulis.

Walaupun bakat dan minat dua perkara yang berbeza tetapi dua perkara ini boleh diletakkan di aras yang sama. Oleh yang demikian bakat dan minat harus seiringan jika ingin menghasilkan novel.

Minat ada tetapi bvakat tidak ada, novel tidak akan terhasil. Bakat ada tetapi minat tidak dipupuk selalu, akhirnya bakat akan lenyap begitu sahaja. Bayangkan di dalam satu-satu bengkel penulisan novel boleh dihadiri lebih kurang 40 orang, adakah kita yakin 40 orang ini mampu menghasilkan novel?

Jawapannya pasti tidak. Mungkin hanya beberapa orang sahaja yang betul-betul berminat dan berbakat akan muncul sebagai penulis novel yang berjaya.

PERLUNYA KETAJAMAN FIKIR PENULIS NOVEL

PERLUKAH seseorang penulis novel itu membuat rujukan atau pergi ke tempat di mana latar novel yang sedang dituliskannya supaya cara penyampaiannya lebih berkesan?

Saya sebenarnya banyak menerima soalan seperti ini daripada mereka yang bercadang menulis novel. Ada dua jawapan di sini. Pertama perlu dan kedua tidak perlu.
PERLU di sini membawa maksud, sekiranya penulis ada masa, ada sumber kewangan dan perlu membuat rujukan, ada baiknya ke tempat yang diambil sebagai latar sebuah cerita. Sebagai contohnya, peristiwa berlaku berlatar belakang Gunung Merapi di sebuah perkampungan yang teruk menerima kesan bencana itu.

Jika penulis ada peluang, ada masa, memang lebih baik pergi sendiri ke tempat berkenaan supaya latar cerita yang hendak disampaikan lebih ‘real’ seolah-olah penulis berada di tempat kejadian semasa letupan gunung Merapi berlaku.

Penulis akan dapat gambaran yang jelas, apakah sebenarnya yang berlaku dan bagaimana keadaannya setelah melihat dengan mata kepala sendiri. Tugas seperti ini sudah tentu memerlukan perbelanjaan yang tinggi. Jika penulis ada kemampuan, apa salahnya.

TAK PERLU jika penulis tidak ada kemampuan untuk sampai ke tempat berkenaan. Rujukan boleh dibuat melalui keratan akhbar, internet dan sebagainya. Mungkin cara begini kurang ‘real’nya tetapi jika penulis tajam daya imaginasinya, sudah tentu ia akan lebih berkesan.

Ramai juga penulis yang menggambar latar sesuatu tempat tanpa pergi ke tempat berkenaan, tetapi mereka harus mencari sumber rujukan supaya tidak tersalah fakta. Sebagai contoh jika mahu menjadikan peristiwa letupan gunung berapi di kepulauan Indonesia, sekurangnya penulis mesti tahu, ada berapa jumla gunung berapi yang aktif di negara itu.

Di antara banyak gunung bereapi itu, gunung manakan yang paling tinggi dan yang paling aktif. Sebagai penulis, kita tidak wajar untuk membuat andaian tanpa berdasarkan rujukan. Jika ini dilakukan, ia akan menggambarkan bahawa penulis tidak membuat persiapan rapi sebelum mengambil satu-satu tempat sebagai latar dalam novelnya.

Isnin, 1 November 2010

MESTI BERANI LAKUKAN EKSPERIMEN

APA yang penting, karya itu menjadi sebuah novel, ada cerita, ada dialog, ada ayat penerangan dan lain-lain yang diperlukan. Begitulah kata seorang penulis yang sedang menghasilkan sebuah novel apabila ditanya sama ada berani atau tidak membuat eksperimen atau menggarap sesuatu yang baru terhadap novel yang sedang dihasilkan.

Daripada penjelasan itu, ternyata penulis berkenaan tidak berani lagi membuat eksperimen atau sesuatu yang baru di dalam karya novelnya. Apatah lagi penulis novel itu masih tidak faham, apakah yang dimaksudkan dengan eksperimen atau pembaharuan itu.

Setahunya, selama ini dia membaca novel-novel hanya sekadar ingin tahu jalan cerita dan tidak pernah mempersoalkan bagaimanakah penulis novel itu mempersembahkan ceritanya.

Eksperimen atau pembaharuan boleh disifatkan seperti menampilkan kepelbagaian teknik dan penulisan untuk mempertingkatkan kesan dan mesej yang hendak disampaikan.

Kepelbagaian teknik yang dimaksudkan ialah dengan memasukan unsur-unsur imbas kembali, imbas muka, monolong, monolog dalaman dan sebagainya sementara meleraikan cerita dengan satu kejutan, lain daripada kebiasaan yang dijangkakan.

Ketidakberanian untuk mencuba kepelbagaian teknik menulis novel itu kerana bimbang akan menemui kegagalan dan ilmu yang kurang mencukupi untuk meredah belantara eksperimen yang lazimnya hanya berani diterokai penulis novel yang sudah mahir.

Sesebuah novel yang mampu mencuit hati pembaca harus ada nada penceritaan yang pelbagai. Mungkin ia lebih berbentuk ironis, satira atau melodrama. Semua ini sememangnya memerlukan kemahiran yang hanya mampu diperolehi dengan melakukan percubaan dan penulis mesti berani melakukannya.

Sesetengah penulis novel pula mempersoalkan, mengapa perlu melakukan pelbagai eksperimen? Bukankah ia akan memeningkan pemikiran? Tulislah novel yang mudah asalkan ada permulaan cerita, ada konflik dan ada penyelesaikannya, tidak kiralah bagaimana cara menulisnya.

Jawapannya, jika anda mahu menjadi penulis novel yang mampu melonjakkan karya anda berbanding penulis novel lain, anda harus berani melakukan sesuatu yang lain dan jangan mengekori jalan yang sudah dilalui oleh penulis lain sebelum ini.

ISU CINTA HANYA SEBAGAI PERENCAH NOVEL

SEORANG penceramah di dalam satu bengkel penulisan novel yang menjalankan kajian terhadap 50 buah novel yang dipilih mendapati 68% peratus novel yang dikaji itu memaparkan tema cinta. Menurutnya, oleh kerana novel cinta mempunyia nilai komersil, membuatkan semua penerbit novel termasuk DBP menerbitkan novel seperti ini.

Apa yang menyebabkan penerbit dan penulis menghasilkan novel sedemikian, kerana permintaan daripada pembaca sendiri yang mahukan novel yang ringan, tidak membebankan fikiran mereka dengan memikirkan novel yang berat-berat.

Di antara novel-novel yang termasuk di dalam senarai kajian merupakan novel yang sudah diulang cetak sehingga lapan kali. Ini membuktikan bahawa permintaan pembaca terhadap novel-novel seperti ini sentiasa mendapat tempat.

Tema cinta yang dimaksudkan di dalam kajian itu termasuklah sama ada cinta pandang pertama, cinta terhalang, putus cinta, cinta di antara dua darjat, cinta yang tidak kesampaian dan pelbagai lagi jenis cinta yang sememangnya dialami oleh setiap orang.

Walaupun ada novel-novel yang mengungkapkan isu lain yang lebih besar, namun isu cinta masih juga digarap sebagai penambah rencah resepi novel dan tidak lengkap jika sesebuah novel tidak diselitkan dengan isu cinta walaupun hanya dikesampaingkan.

Barangkali bukan satu yang wajar untuk menghalang para penulis novel supaya tidak menulis novel yang bertemakan cinta tetapi tema cinta wajar dijadikan bingkai sementara isu yang lebih besar dijadikan sandaran utama sesebuah novel.

Ibarat sesuatu resepi makanan, garam itu ibarat cinta yang harus ada tetapi jika terlalu banyak garam sudah tentu akan menghilangkan keenakannya kerana bahan-bahan lain juga harus ada cuma kuantitinya yang perlu diambil kira.

Kesimpulannya, keseimbangan isu cinta dan isu-isu lain wajar ditetapkan kuantitinya supaya sesebuah novel itu tidak lebih berat kepada cinta tetapi hanya sebagai perencah untuk menyedapkan cerita.

NOVEL YANG BAIK HARUS MEMILIKI NILAI

SEBUAH novel yang baik harus mempunyai nilai. Begitu di antara yang ditekankan oleh *Pengerusi laporan Panel Hakim Hadiah Sastera Exxon Mobil 2006 ada menyenaraikan beberapa nilai yang harus ada pada hasil karya yang baik. Nilai–nilai ini harus ada di dalam sesebuah karya sastera termasuklah novel.

Nilai-nilai yang dinyatakan itu ialah:
1. NILAI KOGNOTIF iaitu karya yang mampu menjana daya taakulan pembaca dan menawarkan pengalaman estetik.

2. NILAI PEMIKIRAN iaitu karya yang mampu mengemukakan karya positif, bervariasi atau sebaik-baiknya bervisi besar walaupun persoalannya berlatarbelakangkan tempatan, karya dapat juga berdialog di peringkat antarabangsa.

3. NILAI AKHLAK iaitu karya yang dapat menyumbangkan kepada pembinaan sahsiah khalayak.

4. NILAI KEPRIHATINAN iaitu karya yang peka terhadap aspirasi nasional, dinamika sosial dan isu kemanusiaan sejagat.

5. NILAI BAHASA iaitu karya yang memiliki bahasa indah, kreatif, imaginatif dan berkesan , kuat menunjang tema , bukan sahaja membawa makna cerita, bahkan bahasa itu sendiri merupakan idea, pemikiran dan ideologi.

6. NILAI KREATIVITI iaitu karya yang mengungkapkan idealisme dan pemikiran yang asli dan fasih serta berupaya membawa makna berlapis dan tafsiran yang pelbagai.

7. NILAI KESEIMBANGAN iaitu karya yang terbina secara harmonis antara subjek dan teknik dan pengolahan.

*(Warna Perang, Nor Azah Abd Aziz dan Rozlan Mohamed Noor, Utusan Publication & Distributors Sdn. Bhd, 2007).

Bagi mereka yang bercadang menulis novel untuk sayembara, boleh menjadikan nilai-nilai yang disebutkan di atas sebagai panduan asas di samping memperbaiki lagi hasil penulisan supaya lebih mantap dan berjaya menarik perhatian ahli panel sayembara.