Isnin, 1 November 2010

ISU CINTA HANYA SEBAGAI PERENCAH NOVEL

SEORANG penceramah di dalam satu bengkel penulisan novel yang menjalankan kajian terhadap 50 buah novel yang dipilih mendapati 68% peratus novel yang dikaji itu memaparkan tema cinta. Menurutnya, oleh kerana novel cinta mempunyia nilai komersil, membuatkan semua penerbit novel termasuk DBP menerbitkan novel seperti ini.

Apa yang menyebabkan penerbit dan penulis menghasilkan novel sedemikian, kerana permintaan daripada pembaca sendiri yang mahukan novel yang ringan, tidak membebankan fikiran mereka dengan memikirkan novel yang berat-berat.

Di antara novel-novel yang termasuk di dalam senarai kajian merupakan novel yang sudah diulang cetak sehingga lapan kali. Ini membuktikan bahawa permintaan pembaca terhadap novel-novel seperti ini sentiasa mendapat tempat.

Tema cinta yang dimaksudkan di dalam kajian itu termasuklah sama ada cinta pandang pertama, cinta terhalang, putus cinta, cinta di antara dua darjat, cinta yang tidak kesampaian dan pelbagai lagi jenis cinta yang sememangnya dialami oleh setiap orang.

Walaupun ada novel-novel yang mengungkapkan isu lain yang lebih besar, namun isu cinta masih juga digarap sebagai penambah rencah resepi novel dan tidak lengkap jika sesebuah novel tidak diselitkan dengan isu cinta walaupun hanya dikesampaingkan.

Barangkali bukan satu yang wajar untuk menghalang para penulis novel supaya tidak menulis novel yang bertemakan cinta tetapi tema cinta wajar dijadikan bingkai sementara isu yang lebih besar dijadikan sandaran utama sesebuah novel.

Ibarat sesuatu resepi makanan, garam itu ibarat cinta yang harus ada tetapi jika terlalu banyak garam sudah tentu akan menghilangkan keenakannya kerana bahan-bahan lain juga harus ada cuma kuantitinya yang perlu diambil kira.

Kesimpulannya, keseimbangan isu cinta dan isu-isu lain wajar ditetapkan kuantitinya supaya sesebuah novel itu tidak lebih berat kepada cinta tetapi hanya sebagai perencah untuk menyedapkan cerita.

Tiada ulasan: