Sabtu, 22 Oktober 2011

NOVELIS PERLU PELAJARI MENULIS SKRIP CEREKA TV

KEBELAKANGAN ini banyak novel sudah diadaptasi menjadi cereka tv sama ada telemovie atau drama bersiri. Ini satu perkembangan baik dan lebih banyak lagi novel-novel bermutu dapat diadabtasi menjadi cereka tv. Bagaimanapun untuk memindahkan novel menjadi cereka tv bukanlah satu kerja mudah. Hanya penulis skrip yang mahir dapat memindahkan cerita novel ke kaca tv dengan baik dan dapat memuaskan hati penulis novel.

Jarang ada penulis novel yang mampu untuk memindahkan novelnya menjadi skrip cereka tv. Alangkah baiknya jika penulis novel itu sendiri menulis skrip cereka tv itu untuk novelnya sendiri bagi mengelakkan tidak puas hati jika mesej yang hendak disampaikan tidak kesampaian.

Penulis novel masih berpeluang mengolah novel supaya mudah disesuaikan untuk skrip cereka tv seandainya mahu novelnya itu diadaptasi ke drama tv atau filem. Oleh itu tidak perlulah menggunakan penulis lain untuk mengolah novel itu untuk dijadikan skrip cereka tv jika penulis novel itu berkemampuan mengadaptasi novelnya sendiri.

Sebagai penulis novel pula, .mereka perlu mengorak langkah tidak hanya menjadi penulis novel sahaja, sebalik berusaha untuk menjadi penulis skrip cereta tv kerana perkara ini boleh dipelajari. Mempelbagaikan genre penulisan adalah baik bagi penulis supaya karya mereka lebih meluas untuk dinikmati masyarakat.

Perlu diingat, tidak semua orang mempunyai masa untuk membaca novel. Malah kebanyakan kita lebih banyak masa untuk menonton tv. Jika ramai penulis novel berkemampuan menulis skrip cereka tv berdasarkan novel sudah tentu banyak novel-novel bermutu di negara ini boleh diadaptasi menjadi cereka tv.

Menurut kajian, sesebuah novel biar pun sudah lama diterbitkan tetapi apabila dijadikan cereka tv terutamanya cereka yang bersiri akan cari oleh pembaca. Secara tidak langsung jualan novel yang diadaptasi menjadi cereka tv akan melonjak jualannya. Begitulah kesannya, di mana penulis akan mendapat dua sumber bayaran iaitu royalti jualan novel dan skrip cereka tv yang dihasilkannya.

MASALAH MENGHANTAR MANUSKRIP TEBAL

JIKA satu ketika dahulu ketebalan sesebuah novel sekitar 200 – 250 halaman tetapi sekarang selera pembaca sudah berubah. Ketebalan novel seperti itu sukar ditemui. Jika kita rajin ke kedai buku, novel berbahasa Melayu sudah melebihi ketebalan sehingga 500 halaman malah ada novel setebal 700 halaman.

Semakin tebal novel diterbitkan, semakin mahal pula harganya dan sudah tentulah royalti untuk penulis bertambah. Cuma apa yang menjadi masalah, bagi penulis ialah ketika menghasilkan novel setebal itu. Bagi penulis novel yang sudah biasa menulis manuskrip setebal itu mungkin tidak menjadi masalah.

Masalah hanya dapat dirasakan kepada mereka yang baru belajar menghasilkan manuskrip novel. Apakah cerita yang hendak ditulis dalam novel setebal itu? Untuk menghasilkan manuskrip itu sudah tentu memakan masa yang lama untuk disiapkan.

Masalah lain timbul pula apabila manuskrip novel itu siap. Masih ada penulis yang bertanya bagaimanakah mahu menghantar novel setebal itu kepada pihak penerbit? Masalah mungkin tidak timbul sangat jika penulis sudi untuk menghantar secara ‘by hand’ kepada penerbit. Tetapi bagaimana jika penulis jauh dari pihak penerbit? Sebagai contoh, mereka tinggal di Sabah atau Sarawak.

Mahu atau tidak mahu, mereka terpaksa menghantar melalui pos kepada penerbit di semenanjong. Ada penulis yang bimbang dengan keselamatan manuskrip novel mereka. Maklum sahajalah, hendak menyiapkan sebuah manuskrip novel memakan masa yang lama lebih kurang enam bulan atau setahun. Jika manuskrip tidak sampai ke tangan penerbit, tentulah manuskrip ‘sesat’ dalam perjalanan.

Bagi mengatasi masalah ini, penulis mesti menyimpan satu salinan manuskrip untuk rujukan. Penulis juga boleh menghantar mansukrip melalui CD tetapi untuk lebih selamat. Boleh menghantar mansukrip melalui emel sahaja. Cuma mungkin menjadi masalah kepada editor terpaksa mencetak semula manuskrip itu untuk memudahkan membuat penilaian sama ada boleh diterbitkan atau tidak.

Bagaimanapun jika masalah ini timbul, penulis disaran berhubung dahulu dengan editor atau pihak penerbit sebelum menghantar manuskrip mereka. Jika pihak bersedia menerima manuskrip melalui emel, lebih baiak menggunakan emel sahaja. Tetapi jika penerbit mahukan manuskrip asal dihantar, terpaksalah penulis menghantar mansukrip asal dalam bentuk cetakan kertas A4 dan ditaip dengan jarak dua spacing.