Sabtu, 21 Mei 2011

DAYA TAHAN MENULIS MESTI SEPERTI BARA API

KETIKA anda muncul pertama kali dengan karya anda, tidak kira sama ada puisi, cerpen atau novel, pernahkan anda perhatikan siapakah di antara penulis yang ‘bersaing’ dengan anda ketika itu. Maksud saya, penulis yang sama-sama mencari tapak atau mencari nama di dalam dunia penulisan.

Ketika saya mula menulis bermula tahun 1976, saya memang perhatikan ramai yang sama-sama bersaing dengan saya ketika itu. Sehingga kini hampir 35 tahun berlalu, penulis yang sama-sama bersaing dahulu, ada yang masih menulis sehingga kini, malah ada juga yang tenggelam timbul dan ada yang hilang terus, namanya lenyap dari dunia penulisan.
Mungkin ada sebab mereka tidak mampu bertahan sehingga ke hari ini, mungkin daya tahan sudah berkurangan semangat menulis tidak membawa lagi. Justeru dalam penulisan, sememangnya ada pasang surut seperti bara api yang membakar. Jika bara api sudah hilang kepanasannya atau hampir padam, bara perlu dikipas supaya ia terus membara.

Akibat bara api yang tidak dikipas, akhirnya bakat yang sedia ada akhirnya terpadam begitu sahaja. Apakah rahsianya kerja-kerja penulisan tidak berhenti di pertengahan jalan?

Rahsianya ialah kerana menganggap dunia menulis ini bukan kerja suka-suka atau sebagai hobi atau hanya mengisi masa lapang. Kerja menulis sebaiknya anggap ia juga satu kerja sebagaimana kerja yang rutin kita lakukan setiap hari.

Jika anda bekerja sebagai guru, kerja menulis masih boleh diteruskan sehinggalah bersara. Jika anda bekerja di pejabat, tugas menulis masih boleh diteruskan meskipun adakalanya dihambat dengan kerja yang banyak.

Bagi saya, selain yang di atas, ialah jangan bawa kerja di tempat kerja di bawa balik ke rumah. Jika dibawa balik ke rumah, sudah pasti anda tidak boleh menulis. Kerja menulis sememangnya hanya dilakukan di rumah sahaja kerana ia tidak akan mengganggu tugas seharian kita.

Tetapi jika di rumah, anda dibebankan dengan tugas di tempat kerja, sebaik-baiknya memang anda berhenti menjadi penulis, kecuali jika minat menulis anda melebihi dari segala-galanya.

Sebab itulah tidak hairanlah, jika satu ketika dahulu anda pernah terbaca nama-mana penulis yang seangkatan atau tidak seangkatan tiba-tiba lenyap dari bumi penulisan. Ini kerana komitmennya sebagai penulis tidak membara lagi.

VARIASIKAN PENULISAN TIDAK HANYA NOVEL SAHAJA

ANDA memang minat menulis novel, tetapi berapa banyak manuskrip boleh anda tulis dalam masa setahun? Untuk menyiapkan sebuah manuskrip paling cepat mungkin sebuan dua sudah siap, itu pun jika sudah bersedia sejak awal dengan menyediakan rangka cerita dari bab pertama sehingga akhir. Ia mungkin tidak menjadi masalah.

Tetapi jika menulis tanpa perancangan, sudah pasti setahun dua tidak siap juga. Tidak mungkin sepanjang masa setahun atau dua tahun itu, anda hanya menulis novel sahaja.

Pada hari-hari tidak menulis novel, apakah yang anda lakukan? Untuk menjadi seorang penulis novel, kerja penulisan sebenarnya tidak pernah berhenti. Anda mesti menulis dan terus menulis. Jika tidak menulis novel, apa salahnya anda menulis novel kanak-kanak atau cerita kanak-kanak atau apa sahaja bentuk penulisan, menulis buku panduan misalnya, buku motivasi atau buku-buku bercorak keagamaan.

Sebenarnya dunia penulisan terlalu luas, bukan setakat menulis novel semata-mata. Grup Buku Karangkraf ketika mengadakan pertemuan dengan para pebulis yang pernah menulis dengan syarikat Karangkraf telah didedahkan bagaimana penulis novel atau penulis genre lain tidak bergantung dengan dunia penulisan yang sedia diceburi. Para penulis digesa supaya menceburi cabang penulisan dari pelbagai genre. Jika anda bercadang menjadi seorang penulis, jangan hadkan bakat anda untuk menulis novel semata-mata.

Bakat yang ada sebaiknya dikembangkan dengan menulis dengan pelbagai genre penulisan. Ini sebenarnya memberikan cabaran kepada penulis supaya berani meneroka lebih jauh ke dalam dunia penulisan yang versatile ini.