Rabu, 15 September 2010

TEKNIK MENULIS DIALOG DALAM NOVEL

“SAYA hanya akan datang apabila dijemput,” kata Hazifah sambil menggaru-garu keningnya ketika ditanya mnenai keinginannya untuk menghadiri majlis perjumpaan itu .

Hazifah mengggaru-garu keningnya lalu berkata, “Saya hanya akan datang apabila dijemput.”

Cuba bezakan kedua-dua ayat tersebut. Bezanya hanyalah, ayat pertama, dialog dahulu dituturkan kemudian barulah dijelaskan siapa yang menuturkan. Manakala ayat kedua pula, orang yang berkata dulu dijelaskan, kemudian barulah dialog dituturkan.

Di dalam istilah penulisan novel, orang yang berkata disebut ‘pekata.’ Contoh ayat pertama di atas, biasa kita temui di dalam penulisan novel masa kini, di mana dialog dahulu dituturkan kemudian barulah dijelaskan siapa yang menuturkan.

Bagaimanapun contoh ayat kedua amat jarang dilakukan oleh penulis dalam penulisan novel masa kini. Kemungkinan mereka tidak biasa menggunakan teknik seperti ini. Tetapi jika kita mengkaji cerita-cerita di dalam al-Quran, kebanyakkan ‘pekata’ disebutkan dahulu kemudian barulah diikuti dengan dialog yang dituturkan.

Contohnya: Lalu Zulaikha berkata kepada Yusuf ,”Keluarlah! Temui perempuan-perempuan itu.” (Merujuk surah Yusuf ayat 31).

Contoh lain: Berkata Yusuf, “Dialah yang mengajak saya.” (Merujuk surah Yusuf ayat 26).

Teknik seperti ini juga berlaku kepada cerita-cerita lain di dalam al-Quran.

Apa yang membezakan di antara kedua-dua contoh ayat 1 dan ayat 2, hanya teknik sahaja manakala maksud yang disampaikan masih sama.

Tujuan perbezaan penyampaian ini ditonjolkan kerana penulis wajar untuk mencari pembaharuan atau variasi penulisan supaya pembaca tidak terasa jemu dengan teknik penulisan yang sama. Jika ditanya mengapa di dalam al-Quran, pekata diletakkan di hadapan dan dialongnya dibelakangnya, hanyalah Allah yang tahu.

Kita sebagai penulis sememangnya wajar untuk mengikuti dan mematuhi apa yang terkandung di dalam al-Quran tetapi jika dapat menggunakan teknik penulisan dalam al-Quran itu juga satu kewajaran.

Kita bukan sahaja mematuhi isi yang terkandung di dalam al-Quran tetapi juga mengikuti cara penulisan al-Quran. Jika kita sebagai penulis mampu untuk melakukan perubahan di dalam penulisan, maka kitalah yang akan menjadi pelopornya.

KEPERLUAN MENULIS DIALOG DALAM NOVEL

UNTUK satu-satu babak atau adegan di dalam novel, manakah yang lebih mudah menulis menggunakan dialog atau menulis secara naratif? Persoalan ini walaupun nampak remeh dan kecil tetapi mempunyai kesan terhadap pembacaan.

Daripada kajian yang dilakukan, pembaca lebih gemar kepada novel yang ditulis dengan dialog kerana ia lebih cepat faham dan lancar serta cepat jalan cerita berbanding dengan penulisan secara naratif yakni berbentuk karangan.

Bagaimanapun ia bergantung kepada adegan yang dipaparkan. Jika sesuatu adegan itu berbentuk pertemuan, perbincangan, pergaduhan, perdebatan dan yang seumpamanya di mana lazimnya diselang-selikan dengan aksi, lebih baik ditulis dengan dialog. Ketika dialog dituturkan, penulis boleh menggambarkan apakah reaksi atau aksi watak yang terbabit.

Berbanding ketika penulis sedang membayangkan atau menuliskan mengenai isi dalaman watak yang tidak berkomunikasi dengan sesiapa, tentulah tidak wajar dituliskan dialog kerana watak berkenaan tidak bercakap dengan sesiapa kecuali jika bercakap dengan dirinya sendiri.

Sebagai contoh adegan yang tidak melibatkan watak lain kecuali watak utamanya.

Ketika Ulfah meninggalkan rumah itu, tidak ada yang difikirkan kecuali untuk mencari rumah sepupunya di sebuah taman perumahan yang tidak jauh dari situ. Tetapi masalahnya, dia sendiri tidak tahu apakah alamat rumah sepupunya itu dan dia sendiri tidak ada nombor telefon untuk dihubungi.

Ketika fikirannya berkecamuk, barulah dia menyesal kerana selama ini dia tidak pernah berniat untuk meminta nombor telefon dan alamat tempat tinggal sepupunya itu. Peristiwa yang menimpanya juga tidak pernah terlintas di fikirannya akan berlaku.

Hanya setelah dihalau keluar dari rumah itu, barulah dia teringat untuk menghubungi sepupunya. Oleh kerana tidak ada cara lain, dia hanya berpandukan nama taman tempat tinggal sepupunya. Mujur juga dia tahu nama taman tempat sepupunya tinggal, jika tidak, dia sendiri tidak tahu ke mana hendak mengadu nasib.

Sebaik sahaja sampai di jalan besar, dia segera menahan teksi dan meminta pemandu teksi itu menghantar ke Taman Seri Puteri tempat sepupunya itu tinggal. Sesampai sahaja di taman itu, Ulfah turun dari teksi dan termangu-mangu sendirian.

Dia terpaksa bertanyakan penghuni rumah di taman itu sama ada mengenali sepupunya atau tidak. Lebih daripada enam orang ditemui tetapi mereka memberitahu tidak mengenali sepupunya itu. Tetapi Ulfah tidak berputus asa. Dia akan bertanya kepada lebih ramai orang selagi tidak bertemu dengan rumah sepupunya itu.

Adegan di atas tidak banyak memerlukan dialog. Jika ada pun dialog dengan pemandu teksi atau orang-orang yang ditemui tetapi dialog seperti itu tidak perlu kerana ia akan habis di situ dan tidak akan wujud lagi pada adegan lain.

Adegan atau babak di atas tidak memerlukan dialog kerana watak tidak berkomunikasi dengan sesiapa. Manakala jika watak berkomunikasi dengan watak lain, sebaiknya gunakan menulis dengan dialog sahaja.

Isnin, 13 September 2010

SEDIAKAN GARIS PANDUAN SEBELUM MENULIS NOVEL

RAMAI di kalangan calun penulis novel bertanyakan kepada saya, betapa mereka berminat menulis novel tetapi tidak tahu di mana harus bermula kerana di dalam satu masa banyak perkara yang hendak ditulis. Menurut mereka, jika hendak diturutkan, keseluruhan cerita hendak ditulis di dalam bab permulaan.

Hal ini berlaku kerana penulis tidak mempunyai garis panduan atau ‘guide line’. Apabila tidak ada garis panduan, penulis tidak ada arah mana satu yang hendak dtuls dahulu dan bahagian mana yang hendak ditulis kemudian.

Cara paling mudah ialah, tuliskan cerita anda itu bermula daripada mula sehingga akhir atau dari A ke Z. Ketika di bangku sekolah, anda sudah tentu diajar menulis karangan berdasarkan kepada pengalaman atau cerita yang diberi. Pengalaman asas itu boleh dijadikan panduan.

Kemudian pecahkan cerita itu kepada tiga bahagian.
Pertama: Bahagian permulaan.
Kedua: Bahagian tengah atau isi cerita.
Ketiga: Bahagian akhir cerita.

Bahagian permulaan, pecahkan pula kepada beberapa bab. Sebagai contoh, cerita bermula dari A sehingga J. Kemudian bahagian kedua bermula dari K sehingga R dan bahagian ketiga bermula S sehingga Z.

Kebiasaannya, bab permulaan hanya menceritakan tentang watak-watak yang akan muncul sepanjang novel itu kemudian dikembangkan sedikit demi sedikit, selain memperkenalkan siapakah watak-watak utama dan watak pembantunya.

Pada bahagian kedua penulis perlu menceritakan perjalanan cerita secara mendalam di samping mencetuskan konflik kemudian menyelesaikan secara perlahan-lahan.

Manakala pada bahagian ketiga dan terakhir, penulis perlu menyelesaikan konflik yang timbul sepanjang perlajanan novel itu. Mana-mana ada konflik dan persoalan harus diselesaikan dengan baik dan jangan ada yang tergantung kecuali jika novel itu ada lanjutannya.

Panduan rigkas ini diharapkan dapat membantu mereka yang masih teraba-raba untuk menulis novel. Jika masih kurang faham, mereka boleh mendapatkan ebook CARA MUDAH MENULIS NOVEL. Cara untuk mendapatkan ebook berkenaan boleh di dapati di dalam blog ini atau menulis emel ke : mnasd_326@yahoo.com.

SEIMBANGKAN WATAK JAHAT DALAM NOVEL

SEBAGAIMANA tema di dalam drama dan filem, tema di dalam novel juga terdapat watak hitam atau watak jahat di samping putih atau watak baik. Apa yang menjadi persoalannya, sejauh manakah kejahatan watak-watak hitam ini perlu ditonjolkan sebelum ia dikalahkan oleh watak baik?

Menjadi kebiasaan di dalam mana-mana cereka, watak jahat semestinya akan dikalahkan oleh watak baik ketika pengakhiran cerita. Ini untuk menunjukkan konsep yang benar tetap benar dan yang salah tetap salah.

Untuk memantapkan sesebuah cerita d dalam novel, berapa kalikah watak-watak jahat ini memainkan peranan sebelum berjaya dikalahkan oleh watak baik? Sebagai contoh, seorang perogol, perlukah ia melakukan perbuatan seumpama itu tiga atau empat kali atau cukup sekali di samping melakukan perbuatan kejahatan yang lain, seperti merompak, menipu, memeras ugut, rasuah dan sebagainya?

Penonjolan perbuatan jahat yang berulang-ulang sebelum watak itu menyedari kesilapan adakalanya perlu dan ada kalanya tidak perlu. Ia bergantung kepada jalan cerita dan keperlan perbuatan jahatnya itu dalam cerita.

Mungkin cukup sekali watak berkenaan melakukan kejahatan seperti pembunuhan kemudian ditangkap, di penjara selepas itu insaf dan dibebaskan. Selepas dibebaskan, perlukah watak berkenaan melakukan kejahatan yang lain?

Kalau kita mengkaji cerita-cerita di dalam al-Quran kebanyakan kejahatan yang dilakukan oleh pelakunya hanya dilakukan sekali sahaja. Di dalam novel, mungkin tidak cukup dengan sekali melakukan kejahatan kemudian watak itu di cop sebagai penjenayah. Bagaimanapun di dalam dunia realiti, kejahatan banyak dilakukan berulangkali oleh pelakunya sebelum dia insaf dan menjadi ahli masyarakat yang berguna.

Bagaimanapun di dalam penulisan novel, jangan terlalu menggambarkan kejahatan yang terlampau seolah-olah kita menggalakan perbuatan kejahatan walaupun sebenarnya tujuan penulis hanya mahu menggambarkan betapa watak berkenaan memang terlalu jahat.

Sebagai penulis, kita wajar untuk menseimbangkan keperluan watak jahat supaya jangan berlebihan sebaiknya tonjolkan perbuatan kebaikan kerena novel diibaratkan sebagai mendidik dan bukan pendorong kepada perlakuan kejahatan.

FUNGSI BAB AKHIR NOVEL

KEPENTINGAN bab-bab akhir atau klimaks novel rasanya tidak perlu untuk diperkatakan lagi kerana mereka yang sudah mengenali ciri-ciri sesebuah novel pasti tahu apakah fungsinya. Bagaimanapun ada baiknya, kita imbas semula perlajaran ini supaya kita tidak terlepas mengetahui kepentingan bahagian bab-bab akhir sesebuah novel.

Bahagian akhir novel merupakan benteng terakhir plot sesebuah novel. Sebelum menghampiri ke bab-bab akhir, pastikan dahulu segala persoalan dan konflik pada bab-bab yang lepas diselesaikan satu persatu, jangan sampai ada yang tertinggal.

Sekiranya ada konflik atau persoalan yang tidak terjawab, ini akan menyebabkan pembaca kurang berpuas hati. Pihak editor yang penyunting manuskrip ini pasti akan dapat mengesan ada konflik atau persoalan yang tidak diselesaikan kecuali sengaja dibiarkan dengan niat novel itu akan bersambung.

Oleh kerana bahagian akhir juga merupakan jambatan di antara bab tengah dengan bab akhir, pastikan tidak ada lubang-lubang yang sengaja dibiarkan. Ini akan mencacatkan plot cerita.

Bagaimana cara penulis menyelesaikan novelnya, itu bergantung kepada kebijaksanaan penulis. Ada sesetengah penulis sengaja mahu menggantung cerita dengan harapan, pembaca akan berfikir sendiri mencari jawapannya.

Ada juga juga penulis yang mengakhiri novelnya dengan ‘happy ending” di mana segala konflik dan persoalan dijawab dengan sebaik mungkin. Manakala watak hitam pula menerima pembalasan akibat perbuatannya sementara watak putih yang pada mulanya menerima tekanan akhirnya mencapai kemenangan.

Ada juga penulis yang mengakhiri cerita dengan babak kesedihan dengan harapan mendapat simpati pembaca. Bagaimana pun semua itu bergantung kepada cerita novel itu sendiri, adakah ia wajar ditamatkan dengan cara yang sudah diduga oleh pembaca atau sebaliknya.

FUNGSI BAB TENGAH NOVEL

SEBAGAIMANA bab awalan, bab-bab pada bahagian tengah novel juga ada kepentingannya. Apakah kepentingan itu? Kita cuba kaji satu persatu.

Sama ada disedari atau tidak, kebanyakan penulis mengabaikan kepentingan bab tengah novel kerana memberi lebih tumpuan kepada awalan dan klimaks (akhir) novel.

Perlu diingatkan, kepentingan cerita pada bab-bab tengah bukanlah hanya sekadar sebagai pelengkap novel yakni ada awal, tengah dan klimaks sahaja. Ia sama pentingnya dengan bahagian depan dan belakangnya.

Sebagai contoh jika novel berkenaan mempunyai 30 bab. Bab 1 -10 merupakan bab awal. Manakala bab 11 – 21 merupakan bab pertengahan sementara bab 22 – 30 merupakan bab akhir atau klimaks.

Secara amnya bahagian tengah novel diumpamakan sebagai puncak konflik yang sering membawa keregangan di mana bermula dari sini, tolakan akan berlaku kepada bab-bab seterusnya sehingga klimaks.

Pada bahagian pertengahan ini perkembangan watak utama sudah nampak jelas sama ada dari segi sikap dan tindakannya. Manakala bab-bab seterusnya akan mendedahkan keseluruhan perkembangan watak dan perkembangan isi cerita.

Watak-watak sampingan pada peringkat ini juga perlu selaras dengan perkembangan watak utamanya.

Jika pada bab awalan, tetamu dibawa untuk singgah di ruang tamu, pada bab pertengahan ini tuan rumah (pengarang) akan membawa tetamu (pembaca) masuk lebih dalam ke seluruh isi rumah, bahagian tengah, bilik mandi dan bahagian dapur.

Membawa pembaca menyelami isi cerita sebelum ke bahagian akhir, ibarat mambawa tetamu melihat sekitar isi ruang rumah. Seandainya tetamu berasa teruja dan berasa dihargai oleh tuan rumah, sudah tentu tetamu kemungkinan akan bermalam di rumah itu.

FUNGSI BAB AWAL NOVEL

IBARAT pentingnya pintu di dalam sesebuah rumah, begitulah juga pentingnya bab permulaan bagi sesebuah novel. Oleh kerana pintu merupakan tempat untuk tetamu masuk ke dalam rumah, bab permulaan juga ibarat pembaca yang mahu membaca novel itu.

Secara ironinya bab awalan lebih merupakan daya tarikan pembaca untuk terus membaca novel berkenaan sehingga ke akhirnya. Ia juga lebih merupakan dekorasi ruang tamu untuk sesebuah rumah. Jika ruang tamu kemas, bersih, cantik, harum dan susuan perabot tersusun rapi sudah tentu tetamu yang datang akan duduk lama di ruang tamu.

Tetapi jika ruang tamu berselerak, kotor, tidak pernah dikemas, perabot berhabuk, sudah tentu tetamu yang datang akan segera beredar kerana situasi begitu tidak menyenangkan.

Dekorasi di ruang tamu yang kemas juga akan menggambarkan keseluruhan isi rumah berkenaan di mana sudah tentu setiap ruang rumah itu dalam keadaan bersih, cantik dan sedap mata memandang.

Tetapi jika melihat setting di ruang tamu yang kotor dan berselerak, tetamu akan beranggapan tuan rumah tidak begitu mementingkan kebersihan.

Begitu juga apabila membaca bab awalan novel, tidak ada satu daya tarikan, sudah tentu pembaca tidak berminat untuk meneruskan pembacaan sehingga akhir novel itu. Kita harus ingat, pembaca mengeluarkan modal untuk memiliki novel tersebut tetapi apabila membacanya, seolah-olah tidak ada apa yang menarik dan berasa tertipu.

Sama juga halnya dengan kita yang ingin menginap di hotel, kita mengeluarkan belanja untuk bermalam di hotel dengan harapan bilik hotel kemas, cantik, bersih, harum bilik mandi serta cukup dengan kelengkapan.

Perlu diingatkan apabila membaca bab awalan sesebuah novel, pastikan apakah yang hendak disampaikan oleh pengarangnya. Adakah pengarangnya mahu memperkenalkan watak-wataknya atau mahu memperkenalkan konflik di dalam novel itu?

Gambaran yang diberikan itu dapat dibuat kesimpulan bahawa pengarangnya akan menonjolkan salah satu daripada yang disebutkan itu. Oleh yang demikian, pengarang perlu memberikan gambaran awal supaya pembaca dapat dipandu, ke arah mana pengarang mahu membawa pembaca menyelami isi novel.

Jangan biarkan pembaca tercari-cari apakah sebenarnya yang mahu disampaikan oleh pengarang. Ada beberapa cara pengarang memulakan menulis novel. Ada yang terus dengan prolog, monolog dan imbas kembali.

Tidak salah pengarang menggunakan cara seperti itu tetapi sebaik-baiknya biarlah pengarang itu mahir. Bagi mereka yang baru hendak menulis novel, ada baiknya menggunakan cara yang biasa. Menulis mengikut kronologi.

Prolong lazimnya ditulis sebagai permulaan cerita yang tidak mengikut susunan keseluruhan cerita. Imbas kembali pula ditulis pada awalan cerita, di mana bab-bab seterusnya ditulis mengikut cerita yang telah berlaku.

Sebagai contoh, bab awalan, watak A sedang menaiki keretapi menuju ke satu destinasi jauh untuk membawa diri. Sepanjang perjalanan di dalam keretapi, watak A terkenangkan apa yang telah berlaku sehingga menyebabkan dia membawa diri.

Kemungkinan watak A kecewa dengan sikap orang-orang di sek ekeliling apabila menyedari dia bekas banduan yang ingin memulakan hidup baru di kampung halamannya. Walaupun sudah insaf, penerimaan masyarakat sekeliling membuatkannya terpaksa berhijrah ke tempat lain.

Kebiasaannya novel seperti ini ditulis oleh mereka yang sudah mahir menulis novel dan ingin kepelbagaian teknik dalam penulisan novelnya. Kemahiran adalah penting untuk mengolah cerita seperti ini supaya pembaca tidak berasa keliru dan bingung.