Rabu, 22 Mac 2017

EBOOK CARA MUDAH MENULIS NOVEL DITERBIT MENJADI BUKU





DI KALANGAN penulis novel remaja, pasti ramai kenal KHAIRUDDIN AYIP. Dia sifu saya ketika mula-mula menulis novel pada awal tahun 90-an  selain Allahyarham Ismail Sarbini, Allahyarham Zailiani Taslim, ( Dua Allahyarham ini satu kelas dan satu sekolah ketika di sekolah menengah). Allahyarham Abdul Ahmad, Allahyarham Dr. Othman Puteh dan beberapa orang lagi.

Khairuddin Ayip tidak lokek dengan ilmu untuk diturunkan kepada sesiapa yang mahu jadi anak muirdnya. Kalau orang lain mendapat sekarung ilmunya, saya bertuah kerana saya dapat berguni-guni ilmunya. Sebab,  saya tinggal serumah dengannya ketika zaman bujang selama beberapa tahun.

Bayangkan kalau sehari saya dapat sekilo ilmunya, kalau sudah bertahun, berapa banyak saya dapat ilmunya? Sifu Khairuddin Ayip memang terkenal dengan novel remajanya yang mampu mencairkan  jiwa pembaca terutamanya gadis-gadis remaja.

Ramai gadis remaja yang cuba ‘mendekatinya’ kerana terpikat dengan gaya bahasa dan lenggok pengolahan novelnya. Ilmu yang saya dapat, saya praktikkan dan hasilnya saya mampu menghasilkan banyak novel serta pernah memenangi sayembara menulis novel.

Sekarang Khairuddin Ayip sudah jarang menulis novel remaja  sebab dia pun bukan remaja lagi. Tetapi ilmu yang saya perolehi itu kalau saya simpan pun rugi juga. Pada mulanya saya hasilkan sebuah ebook berjudul Cara Mudah Menulis Novel dan saya jual di blog saya.

Oleh kerana sambutan menggalakan, ramai menyarankan supaya saya terbitkan menjadi buku supaya senang hendak dibawa kemana-mana. Nah! Sekarang  saya sudah terbitkan ebook itu menjadi buku.

Saya hasilkan buku CARA MUDAH MENULIS NOVEL (CMMN) sebagai kelansungan menyebarkan sedikit ilmu yang saya ada untuk dimanfaatkan kepada orang lain. Alhamdulillah beberapa orang penulis yang mendapat tunjuk ajar daripada saya sudah mampu melahirkan novel seperti Ramlah Rashid penulis novel Buku Prima,  Zamzam Khan dengan novel yang baru terbit Jayn Jannah dan beberapa orang penulis novel lain.

Menariknya buku ini ditulis prakatanya oleh Prof. Madya Dr. Mawar Safei, Pensyarah Pusat Penyelidikan Bitara Melayu, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan,Universiti Kebangsaan  Malaysia, Bangi, Selangor.

Buku CMMN boleh dimiliki  dengan harga RM 25.00. Pos percuma dan tidak dijual di mana-mana kedai buku. Mereka yang berminat boleh whatsApp terus kepada saya di No. HP:  013-3635560 untuk mendapatkannya.

Ahad, 5 Mac 2017

KECEWA MANUSKRIP NOVEL DITOLAK

KETIKA  mula-mula hasilkan novel, memanglah sudah berangan-angan, satu hari nanti sebaris nama kita akan tercatat di kulit novel. Kemudian novel itu pulak ada di dalam rak buku di kedai. Tetapi impian itu terkubur apabila manuskrip yang dihantar ke penerbit dikembalikan. Tidak ada alasan diberikan hanya sepucuk surat mengatakan 'Dukacita manuskrip tuan tidak dapat diterbitkan."

Siapa yang tidak 'frust' manuskrip novel yang dihantar ke penerbit dipulangkan tanpa sebarang makluman? Dahlah nak tulis novel berbulan-bulan baru nak siap. Hantar ke penerbit pulak kena 'reject'....

Cerita di atas adalah pengalaman saya menulis novel. Tapi adakah kerana manuskrip novel pertama tidak diterbitkan, saya terus tidak menulis? Tidak saya menulis dan terus menulis. Kemudian hantar ke penerbit. Ada yang diterima dan ada yang ditolak.

Pujuklah. Manuskrip novel ditolak, bukan pelemah semangat tetapi sebagai cabaran bahawa satu hari nanti akan kubuktikan, novelku juga dapat diterbitkan. Nah! Hasilnya sekarang!
 
Ya, jangan mudah salahkan penerbit. Mungkin anda tidak menulis novel gunakan format yang betul. Mungkin anda tulis novel ikut apa yang terlintas difikiran ketika itu.

Ada cara menulis novel ikut cara dan format yang betul, bukan main tulis saja. Jangan risau, saya akan tunjukkan bagaimana dan cara yang betul supaya novel anda tidak di 'reject'.

Dalam ebook edisi kemaskini saya ada terangkan bagaimana mahu menulis ikut format yang betul.

Tiga ebook saya sediakan untuk anda.
1. CARA MUDAH MENULIS NOVEL
2. 50 TIP MENULIS NOVEL
3. MENULIS NOVEL BERPANDUKAN KISAH BENAR.

Sudah ramai memiliki ebook ini dan ramai yang sudah menghasilkan novel. Anda bila lagi?

BERTINDAK SEGERA!

Tiga ebook hanya RM 50.00 sahaja. Promosi sehingga April 2017.
Anda boleh bank in bayaran ke akaun Maybank saya: 16211-5876-283
Jangan lupa WhatApp slip bayaran ke No. HP 013-3635560.
Sertakan juga alamat emel dan alamat penuh untuk tujuan Database.

Ebook akan dihantar sebaik sahaja pengesahan diterima.

Khamis, 2 Mac 2017

SUKA DUKA MENULIS NOVEL (1)



SEINGAT saya sepanjang lebih 30 tahun dalam dunia penulisan, saya tidak pernah cerita atau tuliskan mengenai pembabitan saya dalam penulisan novel. Bermula dengan menulis sajak di radio sehingga kini saya lebih tumpukan penulisan buku motivasi Islamik dan penulisan di blog.

Untuk kali ini, saya ingin kongsi dengan pembaca bagaimana saya perjalanan penulisan saya, semoga ia boleh dijadikan panduan kepada mereka yang mahu menjadi penulis novel atau buku-buku lain dari pelbagai genre.

Jika ada para pembaca yang ingin memberikan komentar atau pandangan, boleh tuliskan di ruangan ulasan di blog ini. Kita boleh berkongsi maklumat dengan pembaca lain. 

Baiklah. Sebagai penulis, saya sudah menetapkan matlamat sejak awal pembabitan. Jika saya menulis sajak pada hari ini, sepuluh atau dua puluh akan datang, mana mungkin saya hanya menulis sajak sahaja?

Saya tidak mahu hanya dikenali sebagai penulis sajak tetapi dalam genre yang lain juga. Banyak cabang dalam dunia penulisan sebenarnya dan kita perlu terokai.

Saya mula menulis sajak sejak di bangku sekolah menengah lagi. Di radio waktu itu ada satu ruangan ‘Bunga Bangsa’ yang disiarkan di Rangkaian Nasional RTM. Dalam ruangan itu banyak diceritakan mengenai kegiatan para pelajar sekolah menengah. Waktu itu saya dalam tingkatan 5, 1976.

Pada akhir rancangan itu akan disiarkan sebuah sajak oleh para pendenar, pastinya ramai di kalangan pelajar. Sajak sajak saya,  tajuk tak ingat banyak kali disiarkan di ruangan itu. Saya juga lupa nama penerbit rancangan itu.

Masa itu tulis sajak dengan pen dan kertas kajang, kemudian hantar. Alhamdulillah dapat perhatian.

Bermula dari situ, minat menulis mula membara. Mana-mana rancangan radio yang ada siarkan sajak, saya akan hantar. Alhamdulillah saya sudah mula mencipta nama.

Tidak saja menulis di radio, saya juga menulis sajak di akhbar untuk pelajar. Waktu itu ada ‘Utusan pelajar’ dalam bentuk tabloid terbitan Utusan Melayu (M) Sdn. Bhd. Terbit setiap hari Khamis dan harganya RM 20.00. saya kenal Utusan Pelajar semasa di sekolah rendah lagi. Saya sebenarnya berlanggan dengan guru sekolah setiap minggu. Cikgu akan beli di pekan dan dibawa ke sekolah.

Bila sudah masuk sekolah menengah, saya cuba menulis sajak di akhbar berkenaan, akhirnya hasil usaha saya beberapa buah sajak dan cerpen saya disiarkan. Waktu itu betapa gembiranya, sukar hendak dibayangkan apabila sebaris nama tertera dalam akhbar pelajar yang ditatap oleh semua pembaca di Malaysia.

Apabila sudah mula mendapat tempat, saya mula menulis sajak di akhbar-akhbar seperti Mingguan Malaysia, Berita Minggu dan majalah-majalah tempatan. Tetapi nampaknya peluang sajak saya tidak menyerlah. Tak boleh pergi jauh…

Hanya beberapa buah sahaja sajak saya yang sudah disiarkan. Kalau hendak dihitung, mungkin tidak 10 buah sajak yang disiarkan.

Lalu apa saya buat, bila menulis sajak kurang menyerlah?

Bersambung…..

SUKA DUKA MENULIS NOVEL (2)




SEBENARNYA sekitar tahun 70-an peluang penulis terbuka luas. Selain menulis di akhbar, saya menulis skrip untuk rancangan radio. Rancangan yang popular ketika itu untuk penulis mengasah bakat ialah Rancangan Kenangan (Hari Isnin) Melodi Romantika (Selasa) Alam Sentimental (Rabu) Kenangan Mengusik Jiwa (Khamis) dan Bisikan Kalbu (Jumaat). 

Semua rancangan itu disiarkan pada waktu malam jam 10.32 malam. Rancangan itu berbentuk kata-kata romantik yang diselang-selikan dengan lagu ke udara selama setengah jam. Boleh dikatakan pada semua rancangan itu saya tulis skrip.

Di situlah saya membina nama. Dua tiga hari disiarkan, saya banyak menerima surat daripada peminat rancangan itu. Sehingga akhirnya apabila rancangan itu ditiadakan, saya mula menulis Skrip Panggung Drama disiarkan setiap hari Ahad jam 1.15 petang sehingga jam 2.00 petang.

Kemudian menulis pula drama yang ke udara selama setengah jam dan 15 minit. Pada masa yang sama saya menulis rencana di majalah dan akhbar. Majalah yang selalu memberikan ruang ketika itu ialah Balai Muhibbah terbitan Jabatan Perpaduan Negara, akhbar Watan, Bintang Timur, Berita Minggu dan majalah lain.

Selain menulis rencana, saya mula menulis cerpen pula. Menulis cerpen, saya tidak belajar dengan sesiapa. Mungkin memang bakat yang ada, hasil penulisan cerpen saya tidak mengecewakan. Hampir kesemua cerpen yang saya tulis dapat menembusi kebanyakan majalah ringan.

Cerpen pertama saya yang berjaya menembusi akhbar perdana ketika itu ialah ‘Cinta Murah’ disiarkan di Berita Minggu sekitar tahun 1980. Selepas itu barulah banyak cerpen saya menembusi Mingguan Malaysia, Dewan Sastera, Dewan Budaya, Dewan Masyarakat dan akhbar Watan. Kebanyakan cerpen yang disiarkan itu ada diterbitkan dalam sebuah antologi cerpen persendirian, terbitan DBP berjudul ‘Purbawisesa.’

Manakala banyak cerpen saya yang disiarkan di Mingguan Malaysia beberapa kali memenangi hadiah utama atau saguhati dalam sayembara anjuran Utusan Melayu dan Public Bank ketika itu.

Kalau hendak dihitung mungkin lebih 100 cerpen saya disiarkan di pelbagai akhbar dan majalah. Boleh dikatakan saya sudah berasa puas menulis cerpen dan beberapa kali memenangi sayembara.

Ya, bermula menulis sajak, saya menulis cerpen kemudian skrip di radio, rencana di pelbagai akhbar dan majalah. Adakah saya sudah berasa puas?
Belum lagi. Banyak lagi ruang menulis yang belum diterokai.

Kepada mereka yang mula menulis sajak, cubalah menulis cerpen, rencana, berita atau skrip drama tv atau radio.

Proses membina nama dalam penulisan bukan memakan masa sehari dua tetapi bertahun…

Bersambung…