Jumaat, 21 Januari 2011

KEMAHIRAN MENGUASAI BAHASA KREATIF

BAGAIMANAKAH keupayaan bahasa saudara sebelum menulis? Adakah saudara sudah berupaya menguasai bahasa dengan baik sebelum menghasilkan sesebuah novel umpamanya?

Ramai penulis menganggap novel Bumi Manusia, Rumah Kaca dan Anak Semua Bangsa karya Pramoedya Ananta Toer memiliki keupayaan bahasa yang mengkagumkan.

Walaupun saudara tidak memiliki keupayaan bahasa yang tinggi, itu bukanlah satu masalah besar jika saudara mahu menulis novel. Pengalaman menulis lama kelamaan akan memberikan input keupayaan dan penguasaan bahasa saudara supaya lebih baik.

Oleh kerana menulis memerlukan daya ingatan yang kreatif, penguasaan bahasa yang kreatif juga perlu kerana penulisan kreatif berbeza dengan penullisan deskreatif. Penulisan kreatif memerlukan penguasaan bahasa yang baik kerana ia juga akan menghasilkan karya yang baik.

Penilaian sesebuah novel bukan sahaja bergantung kepada cerita, plot, tema dan sebagainya tetapi penguasaan bahasa juga penting. Sesiapa yang mendalami dunia penulisan kreatif akan merasai kelainan penguasaan bahasa yang digunakan di dalam bilik darjah.

Ia amat berbeza dengan cara penulisan bercorak akademik atau keagamaan. Bagaimanapun, ini bukan bermakna penulisan kreatif mengenepikan hukum hakam akademik dalam bahasa.

Cuma apa yang penting, teknik pernulisan kreatif dan bukan kreatif mempunyai perbezaan yang dapat dikesan. Kebijaksanaan penulis memanipulasi bahasa bukan bermakna merosakkan bahasa tetapi bahasa akan menjadi lebih indah kerana kreatifnya penulis untuk menggambar sesuatu berbeza dengan bukan penulis.

Sebagai contoh.
Bukan kreatif. Matahari telah terbit dari sebelah timur dan sinarnya tidak begitu panas. Embun sudah lama kering.

Penulisan kreatif: Sinar mentari menguak dari sebelah timur. Cahayanya perlahan menembusi pohonan menghijau yang bertenggek di celah perbukitan. Titis embun sudah lama melangkah pergi sebaik sahaja mentari perlahan-lahan menumpahkan sinarnya.

Tiada ulasan: