Isnin, 15 Disember 2014

LATIHAN SEBELUM MENULIS NOVEL



ANDA baru belajar berjinak-jinak menulis novel?  Yang tidak biasa menulis novel, sememangnya sukar untuk menulis meskipun  hanya untuk sehelai muka surat sahaja, inikan pula hendak menyiapkan novel yang beratus-ratus muka surat.

            Bagi mereka yang tidak tahu dan tidak faham dengan bermacam-macam istilah  dalam penulisan novel, jangan terlalu risau. Untuk permulaan dan sebagai pembakar semangat, sila ikuti cara-cara yang diterangkan ini.  Ini mungkin dapat membantu anda sebelum anda meneroka  lebih jauh lagi mengenai penulisan novel.

PERTAMA:
Tulislah apa yang anda tahu. Anda tentu ada pengalaman. Tulislah apa juga pengalaman itu dalam satu atau dua helai muka surat. Jika banyak lagi bagus. Jika ada nostalgia atau kisah-kisah yang anda ingat, tuliskan sekali. Jika ada dialog-dialog yang masih anda ingat, juga tuliskan sekali.

            Tulislah bagaimana ia bermula dan bagaimana ia berakhir.  Ingat! Tulis apa yang anda tahu sahaja. Jika anda masih ingat, tarikh dan masa ia berlaku, juga boleh tuliskan sekali biar orang yang membaca dapat membayangkan  suasana dan kejadian itu berlaku.

            Apabila sudah selesai menulis. Baca semula dan perbaiki mana-mana peristiwa yang tertinggal sehingga ia menjadi sebuah cerita yang menarik. Sesudah siap, sila berikan kepada rakan anda untuk membacanya dan mintalah komen, apa yang perlu ditambah lagi untuk menyedapkan cerita.

            Itu sebenarnya langkah pertama, anda belajar menulis novel. Selepas itu buat kisah yang lain pula sama ada ia ada kaitan dengan cerita yang pertama anda tulis atau tidak. Buat perkara yang sama sehingga selesai.

KEDUA:
Jika yang pertama, ditulis berdasarkan pengalaman sendiri. Apa kata yang kedua ini kisah pengalaman orang lain atau kawan baik anda  yang pernah diceritakan kepada anda. Anda hanya menulis semula apa yang diceritakan kepada anda tanpa anda  terbabit dalam cerita itu.

            Caranya sama. Jika ada dailog atau di mana serta waktu peristiwa itu berlaku, anda wajar menulisnya. Atau apabila anda siap menonton sesebuah cerita drama di kaca tv, anda tuliskan semula ceritanya sebagaimana yang anda ingat. Tuliskan cerita itu dari awal sehingga selesai.

            Anda ibarat orang luar yang mengetahui cerita ini dan anda tuliskan semula. Setelah siap, minta sahabat anda itu membaca semula apa yang anda tuliskan. Jika ada yang tertinggal, minta sahabat anda itu menceritakan semula.

            Apa yang anda tuliskan itu sebenar salah satu bab dalam novel sebagai persediaan anda menghasilkan satu bab daripada sekian banyak bab yang ada. Jika ada kisah yang lain pula, tuliskan dalam satu bab yang lain. Jika ceritanya panjang, boleh pecah-pecahkan menjadi banyak bab. Yakinlah akhirnya ia akan menjadi sebuah cerita. Anda boleh olah semula menjadi sebuah novel yang baik.

 KETIGA:
Jika ada berlaku sesuatu peristiwa. Jangan hanya menyebutkan sahaja. Sebagai contoh sahabat anda itu bertemu dengan rakannya yang berhutang dan sahabat anda itu menagih hutangnya. Tuliskan dialog yang digunakan ketika sahabat anda itu menagih hutangnya. 

            Jika ada pertengkaran, tuliskan bagaimana gerak geri dan reaksi kedua belah pihak. Ini sebenarnya sebagai satu latihan anda menulis dialog dalam novel. Tulis juga jika ada adegan lain selepas ini.

EMPAT:
Untuk peringkat permulaan mungkin cerita anda ini kurang kemas, tidak tersusun dan tunggang terbalik tetapi tidak mengapa, ini hanyalah satu latihan. Apabila anda kerapkali menulis perkara yang sama, sudah pasti anda akan melakukan perubahan apatah lagi selepas anda membandingkan novel lain yang sudah terbit. Latihan seperti ini sebenarnya perlu anda lakukan setiap masa tidak kiralah apabila anda melihat sesuatu adegan di depan mata dan anda boleh garapkan untuk menjadi sebuah cerita.

1 ulasan:

pen hijau berkata...

Tip yang baik untuk yg nk blajar tlis novel.sy tbe2 rase tringin tlis novel pasal diri saya.tp xnak npk sgt pasal sy.ade cadangan x?