Jumaat, 8 Oktober 2010

KEPENTINGAN BAB AWAL NOVEL

JIKA anda berhajat ingin menyertai mana-mana sayembara menulis novel, jangan abaikan kepentingan bab-bab awal novel. Bab-bab awal novel seperti bab 1,2,3,4 dan 5 perlu diberi perhatian. Ini kerana bab awal merupakan magnet atau daya penarik untuk ahli panel membaca keseluruhan cerita.

Bayangkan jika bab 1 sehingga bab 4, ahli panel masih tidak dapat menangkap apa yang hendak disampaikan oleh penulis dalam novelnya. Kegagalan penulis akan menyebabkan ahli panel tidak meneruskan pembacaan kerana merasa bosan dan penulis lambat hendak menyampaikan mesej.

Perlu diingatkan setiap ahli panel bukan hanya membaca sebuah novel sahaja, mungkin lebih daripada 10 manuskrip. Untuk menjimatkan masa, hanya novel-novel yang menarik sahaja akan mendapat perhatian.

Sekira pada bab pertama, ahli panel sudah dihidangkan dengan kejutan, suspen dan mendebarkan sudah tentu ahli panel akan tertarik untuk mengetahaui apakah yang akan berlaku seterusnya.

Bagaimanapun untuk memastikan bab-bab awal mengandungi mesej dan kejutan, ia memerlukan kemahiran penulis mengolah cerita di mana setiap bab akan diakhiri dengan persoalan. Persoalan itu pula akan dijawab pada dua atau tiga bab selepas itu.

Untuk memahirkan diri mengetahui teknik seperti ini, penulis disarankan agar membaca novel-novel yang pernah memenangi sayembara. Kaji gaya penulisan, pengolahan, bahasa dan sebagainya.

Di dalam satu-satu sayembara pihak penganjur akan menerima puluhan manuskrip. Sekiranya manuskrip anda berjaya termasuk dalam sepuluh yang terbaik, di peringkat akhir, itu sudah cukup membanggakan.

Oleh yang demikian kepada yang berniat ingin menyertai mana-mana sayembara penulisan novel, pastikan bab-bab awal novel anda itu mampu memikat ahli panel untuk membaca sehingga ke akhir.

Tiada ulasan: