Sabtu, 9 Oktober 2010

DIALOG DALAM NOVEL ADALAH ISI HATI PENGARANGNYA

APA jua dialog yang dihasilkan oleh penulis, kesemuanya adalah hasil dari hati nurani penulisnya. Jika dialog itu dituturkan oleh seorang pengemis, seorang pelacur, seorang tokoh agama dan sebagainya, semuanya dihasilkan dari hati nurani penulisnya. Penulis boleh menjadi watak apa sahaja di dalam novelnya.

Oleh yang demikian penulis wajar memiliki batasannya ketika menyelami watak-watak yang ditulisnya. Itulah kelebihan penulis yang jarang ada pada orang lain. Penulis boleh menjadi sepuluh watak atau lebih di dalam novelnya.

Sempadan atau batasan tidak wajar dicampur adukan. Sebagai contoh adegan seorang guru agama sedang menasihati seorang pelacur supaya bertaubat. Pada masa yang sama penulis menyelami watak guru agama. Ketika menyelami watak guru agama, penulis harus menjadi seorang guru agama dan bukannya seorang pelacur untuk menyampaikan tazkirahnya.

Selesai menyampaikan tazkirahnya, penulis juga kemudian menyelami watak seorang pelacur yang ingin kembali ke jalan yang benar. Pada ketika ini, penulis akan meletakkan dirinya sebagai pelacur.

Kadang-kadang tanpa disedari, pelacur pula yang memberi nasihat kepada guru agama untuk kembali ke jalan yang benar. Begitu juga sebaliknya. Bagaimanapun hal seperti ini jarang-jarang berlaku kerana sebagai penulis, mereka harus bijak meletakan dirinya pada pihak yang mana ketika berdialog.

Sebab itulah ketika menuturkan dialog harus ada pro dan kontra. Siapa yang pro dan siapa yang kontra, penulis juga yang menetapkan wataknya. Jika watak A yang kontra, watak B yang pro, jangan pula pada adegan selepasnya berlaku keterbalikan. Pembaca akan menjadi keliru. Bagaimanapun, hal-hal seperti ini akan dapat diperbetulkan setelah manuskrip siap, dan kerja-kerja membaca semula atau mengedit dilakukan sebelum manuskrip dihantar ke penerbit.

Tiada ulasan: