Jumaat, 8 Oktober 2010

DIALOG BERISI DAN DIALOG KOSONG

APAKAH dialog berisi dan dialog kosong?

Dialog berisi ialah dialog yang mengandungi mesej yang hendak disampaikan atau dialog yang mengandungi konflik dan perlu diselesaikan. Manakala dialog kosong ialah dialog yang tidak mempunyai mesej atau konflik yang tidak perlu ditonjolkan. Dialog yang tidak penting ini kadang-kadang disebut juga ‘dialog klise’ yang tidak ada kena mengena dengan jalan cerita. Jika tiada, ia tidak menjejaskan jalan cerita.

Contoh dialog penting:

“Apakah pesakit skizofrenia ini akan mengalami kesakitan sepanjang hayatnya dan tidak boleh disembuhkan, doktor?” Encik Fairuz inginkan kepastian daripada doktor yang merawat anak gadisnya.

“Skiofrenia ialah penyakit kecelaruan mental yang serius di mana tanda-tanda seseorang itu akan mengalami kemerosotan tugas dan peranannya sebagai manusia yang produktif,” jawab Dr. Iz Taufik, doktor pakar yang merawat Iffah Filzah.

“Apakah penyakit ini boleh mempengaruhi pemikiran pesakit itu doktor?” Tanya Encik Fairuz lagi.

“Ya, pesakit yang menghidapi penyakit ini boleh mempengaruhi emosi, persepsi, tingkahlaku, personality dan pemikiran,” jawab Dr. Iz Taufik sambil memandang wajah Encik Fairuz yang resah memikirkan masa depan anak gadisnya.

Contoh dialog di atas adalah fakta yang memerlukan kesimbungan cerita apakah yang berlaku selepas itu dan apakah yang menyebabkan seseorang itu terjebak dengan penyakit itu. Kesimbangungan cerita di atas tidak semestinya berkahir pada babak berkenaan sahaja tetapi wajar juga diselitkan pada bab-bab seterusnya.

Contoh dialog kosong:

“Man, kau apa khabar, lama tak jumpa?” Idrus bertanya kepada Man ketika terserempak di sebuah pasaraya.

“Aku baik saja. Kau apa khabar? Sejak kita habis kursus setahun lepas, kau tak hubungi aku. Kerja di mana sekarang?” Man bertanya sambil bersalaman.

“Aku macam nilah. Sejak habis kursus keusahawanan dulu, aku bisnes kecil-kecilan. Tapi nasib aku malang, bisnes aku gagal,” ujar Idrus seolah-olah kecewa.

“Aku pulak masih kerja tempat lama. Jadi kerani cabuk, nak berniaga tak berani lagi, takut gagal macam kau,” balas Man.

Dialog di atas tidak ada mesej penting yang hendak disampaikan hanya sekadar bertanya khabar dan perkembangan terbaru di mana dialog seperti di atas sudah ‘klise’ atau sudah biasa.

Sebagai penulis novel cuba elakkan dialog yang tidak penting, apatah lagi tidak ada kena mengena dengan jalan cerita. Dalam erti kata lain, dialog itu tidak menjejaskan cerita jika ditiadakan tetapi jika ditulis juga, sudah tentu ia tidak memberih kesan apa-apa, hanya sekadar untuk memanjang-manjangkan cerita.

Di dalam kehidupan kita sehari-harian, kita sudah tentu dapat membezakan mana satukah perbualan kita yang ada kena mengena dengan diri kita atau perbualan kosong yang tidak memberikan faedah apa-apa.

Dalam erti kata lain, dialog penting ialah dialog atau perbualan yang jarang kita ucapkan ketika perbualan sehari-harian dan dailog itu pula mengandungi isi yang hendak disampaikan.

Manakala dialog kosong pula merupakan dia yang sudah biasa diucapkan seperti:

“Sudah makan?”

“Belum. Nak belanja?”

“Sudah minum?”

“Sudah, minum air kosong saja.”

“Dari mana?”

“Tak dari mana-mana. Saja jalan-jalan cari makan..”

Diharapkan, pembaca dapat membuat perbandingan. Cuba tuliskan dalam satu kertas perbezaan dialog penting dan tidak penting sebagai latihan.

Tiada ulasan: