Khamis, 5 November 2009

PERSEDIAAN MENULIS NOVEL

ORANG zaman dahulu sering berpesan kepada sesiapa yang ingin merantau supaya penuhkan ilmu di dada terlebih dahulu. Setelah penuh ilmu di dada, pergilah merantau di ceruk mana sekali pun. Tujuan mereka sekadar mengingatkan kerana sepanjang perjalanan merantau mereka akan berhadapan dengan pelbagai halangan.

Bagaimanakah hendak berhadapan dengan halangan itu jika kita tidak ada ilmu atau kepakaran untuk menghadapinya. Sebagai contohnya, apakah yang harus dilakukan jika ditahan musuh pertengahan jalan? Jika tidak ada ilmu mempertahankan diri, bagaimanakah mahu menghadapinya?

Begitu jugalah halnya dengan saudara yang mahu menulis novel. Walaupun ilmu tidak penuh di dada tetapi sekurang-kurangnya ada ilmu sebagai bekalan menulis novel. Usah menulis novel dengan dada yang kosong, saudara akan terkapai-kapai nanti.

Banyak persediaan boleh dilakukan jira ingin menulis novel. Saudara boleh mengikuti bengkel-bengkel penulisan novel yang diadakan secara percuma atau berbayar. Saudara boleh juga mendapatkan buku-buku panduan menulis novel dan bertanya kepada mereka yang arif dalam penulisan novel.

Sekarang ini calun-calun penulis novel lebih beruntung kerana banyak syarikat penerbitan novel mengadakan bengkel penulisan untuk mereka yang mahu menghasilkan novel. Mereka akan dibimbing dan peluang untuk novel diterbitkan sangat cerah.

Penuhkan ilmu di dada dengan ilmu penulisan novel, setelah itu mulakan lakukan praktikal menulis sebuah novel. Nescaya perjalanan saudara untuk menghasilkan sebuah novel tidak akan berhadapan dengan banyak kesukaran.

Tanpa persediaan menulis novel, bukan bermakna tidak boleh menghasilkan novel. Saudara masih boleh menghasilkan novel tetapi hasilnya ibarat masakan yang tidak cukup resepi. Ia masih boleh dimakan tetapi mungkn sesuai untuk hidangan sendiri sahaja.

Cuba fikirkan contoh ini.
Seseorang yang ingin masuk ke gelanggang persilatan tetapi tidak pernah belajar bersilat dengan betul, tidakkah langkahnya akan sumbang berada di gelanggang. Orang yang tidak tahu ilmu persilatan mungkin tidak nampak di mana sumbangnya. Tetapi bagi mereka yang bersilat, sudah tentu dapat mengesan di manakah kesilapannya. Begitulah analoginya jika menulis novel tanpa ilmu dan persediaan.

Di sini disertakan beberapa tip-tip sebagai persediaan jika ingin menulis novel.

1. Mesti memiliki minat untuk menulis novel.
2. Sebelum menulis novel ádalah lebih baik melatih diri menulis cerpen.
3. Banyak membaca novel-novel dari pelbagai kategori seperti novel kanak-kanak,
remaja, dewasa, novel seram, novel cinta, novel sejarah dan sebagainya.
4. Dapatkan panduan menulis novel sama ada dari buku-buku atau bengkel penulisan.
5. Berkongsi pengalaman dengan mereka yang sudah berjaya menulis novel.
6. Yakinkan diri saudara mampu menghasilkan novel.

Tip di atas adalah sebahagian persediaan yang penting tetapi jika ada peluang untuk mendalami ilmu mengenai penulisan novel jangan lepaskan peluang mengikutinya.

Bukan mustahil jika saudara ada nama di dalam penulisan novel, saudara tidak perlu mengemis kepada penerbit untuk menerbitkan novel saudara. Malah pihak penerbit novel sendiri mempelawa saudara menulis novel untuk syarikat mereka.

Apa yang penting sekarang, buktikan saudara mampu melakukannya.

Tiada ulasan: