Ahad, 8 November 2009

MENULIS NAMA DAN WATAK SEBENAR DALAM NOVEL

SEBAGAIMANA menulis nama tempat dan lokasi sebenar, menulis nama watak sebenar di dalam novel juga dibolehkan. Tetapi ada kalanya dilarang atau ditegah. Jika menulis nama watak sekadar sampingan atau sekali lalu dan bertujuan untuik perkara yang baik, memang dibolehkan.

Sebagai contoh:
Ketika Farhana bersendirian itu, dia teringatkan kata-kata Datuk Haji Mohd Fadilah Kamsah ketika mengikuti ceramah yang dihadirinya minggu lalu. Menurut pakar motivasi itu, sesuatu perkahwinan bukan hanya sekadar perkongsian dua hati untuk melayari bahtera kehidupan tetapi meliputi pelbagai perkongsian termasuk perasaan, keluarga dan sebagainya.

Menuliskan nama watak sebenar di atas adalah secara sekali lalu sahaja yang bertujuan untuk kebaikan. Tetapi jika menulis dengan menggambarkan mengenai perkara yang negatif mengenai tokoh berkenaan adalah dilarang dan ditegah.

Bagaimanapun kita dilarang untuk menuliskan watak keseluruhan tokoh berkenaan atau tokoh-tokoh lain yang wujud tidak kita sama ada tokoh politik, tokoh perniagaan atau apa sahaja atau kita mengambil watak tokoh tersebut menjadi watak penting atau sampingan di dalam novel kita.

Apatah lagi jika kita membabitkan nama tokoh-tokoh berkenaan terbabit dengan skandal di dalam novel yang kita tuliskan. Walaupun novel itu hanya rekaan semata-mata, sebaik-baik supaya tidak timbal masalah, lebih baik wujudkan watak yang tidak ada kena mengana dengan sesiapa walaupun novel yang kita tuliskan itu berkisar mengenai tokoh politik, tokoh perniagaan atau apa sahaja.

Watak itu kita wujudkan sebagai mewakili watak dan bukan sebagai orang yang ditujukan di dalam novel berkenaan.

Sebagai contoh:
Semua teman-teman rapat Ayusari tahu, gadis bermata galak itu ada menjalin hubungan dengan Datuk (disebut nama datuk itu dan kebetulan nama datuk itu memang wujud) tetapi Ayusari sering menafikannya.

“Kau janganlah nak berbohong Ayu, datuk (sebut nama datuk itu) yang kaya raya tu sendiri yang beritahu pada kami, takkan dia nak berbohong. Katanya, engkau yang teringin Sangat nak rumah banglo di tepi pantai tu…,” pintas Laila, teman serumah apabila Ayusari enggan mengaku.

Jika ingin juga menulis nama datuk itu, biarlah nama datuk rekaan yang tidak wujud di alam nyata ini atau menujukan kepada seseorang.

Sebagai penulis, anda harus menjaga nama atau maruah orang-orang tertentu terutamanya nama-nama dan watak yang anda gunakan. Jika pun perkara itu memang benar-benar berlaku, sebaik-baiknya elakkan menggunakan nama orang popular atau terkenal untuk mengelakkan kontroversi.

Seperkara lagi yang perlu diambil perhatian ialah, penggunaan nama-nama watak. Jika kita mengkaji novel-novel A, Samad Said, beliau lebih gemar menggunakan nama yang sekali digunakan oleh orang lain.

Contohnya dalam novel Daerah Zeni. Nama-nama yang digunakan ialah Hamdar, Zedi, Zirah, Dol Zaleh, Ehran, Lazri, Zeni, Raja Dabet dan banyak lagi.

Nama-nama di atas mungkin agak pelik dan nama itu jarang digunakan. Tetapi apabila sekali sebut, pembaca pantas akan teringat novel berkenaan kerana hanya dalam novel itu sahaja watak itu disebut.

Berbanding dengan novel-novel lain, penulis lazimnya menggunakan nama yang sering dan mudah diingat, seperti Ismail, Ahmad, Abu Bakar, Fauziah, Mariani, Latifah dan sebagainya.

Bagaimanapun kebelakangan ini ramai penulis generasi baru lebih suka menggunakan nama-nama yang moden seperti Kaisara, Lestari, Qalida Qaseh, Mya Zara dan banyak lagi.

Penggunaan nama apa sekalipun tidak menjadi kesalahan tetapi sebaik-baiknya biarlah nama-mana itu berpadanan dengan wataknya. Sebagai contoh watak seorang pemarah, pendendam, penipu dan seumpamanya tentulah tidak sesuai menggunakan nama-nama seperti Muslim, Hidayat, Muhammad Abduh, Syed Al-Amin dan seumpamanya.

Kadang-kadang penggunaan nama-nama juga penting untuk mencorakan sesebuah novel. Sebuah novel yang bercirikan Islami, tentulah tidak sesuai menggunakan nama watak utama atau sampingan yang membawa maksud tidak baik melainkan jika nama-nama watak yang berperwatakan yang bertentangan dengan nilai murni.

Tiada ulasan: