Sabtu, 4 Disember 2010

EMOSI DALAM NOVEL

BAGAIMANAKAH caranya untuk menimbulkan kesan emosi ketika menulis novel? Di antara kesan emosi yang ada di dalam diri manusia ialah marah, sedih, benci, geram, ego, sombong dan banyak lagi. Kesan emosi seperti ini sememangnya amat penting sama ada dituturkan di dalam dialog, monolog atau dalam ayat penerangan.

Untuk lebih berkesan ketika menuliskan babak marah misalnya, perlukah penulis mesti ada perasaan marah kmenulis novel itu? Bagaimanakah hasil tulisannya kerana ketika menulis, dia dalam keadaan santai? Tidak marah atau sedang ketawa.

Walaupun ketika itu penulis tidak dalam keadaan marah, sudah tentu sebelum ini penulis pernah merasai keadaan marah, contohnya marah kepada kawan, kepada isteri, anak-anak atau sesiapa sahaja. Dalam hal ini menjiwai perasaan watak adalah penting.

Pengalaman marah itu tentu sahaja boleh diaplikasi ketika menulis novel. Kata-kata atau dialog ketika seseorang sedang marah biasanya pendek-pendek, bernada keras di samping raut muka yang tegang berselirat.

Begitu juga dengan perasan lain. Penulis sudah tentu pernah mengalami detik romantik, sedih, geram, mencemaskan dan sebagainya. Ketika dalam suasana romantik, penulis sudah tentu dapat membayangkan apakah kata-kata yang wajar dilafazkan.

Bagaimanapun mungkin kesan emosi itu akan lebih ‘real’ jika ketika sedang menulis novel, pengarang benar-benar sedang dalam situasi marah, sedih, geram dan sebagainya.

Tetapi bagi sesetengah pengarang, bolehkah dia menulis ketika perasan marah sedang melanda jiwanya, begitu juga dengan emosi-emosi lainnya? Sesetengah pengarang hanya akan menulis ketika suasana tenang kerana ketika itu emosi boleh dibentuk dengan mudah, tetapi tidak mampu berkarya ketika fikiran sedang berserabut.

Sekiranya ingin menulis babak marah, pengarang akan membayangkan bagaimanakah perilakunya ketika dia sedang memarahi seseorang.

Sebagai kesimpulannya, boleh menulis ketika emosi seseorang sedang bergolak seandainya pengarang memang pernah melakukannya. Tetapi bagi pengarang yang tidka pernah melakukannya, kesan emosi dalam penulis boleh dilakukan dengan lebih penghayatan mata dan fikiran.

Tiada ulasan: