Selasa, 22 Jun 2010

MUDAHKAH MENULIS NOVEL CINTA

BERDASARKAN kepada lambakan novel-novel cinta di pasaran dan banyaknya penerbit berlumba-lumba menerbitkan novel seperti itu membayangkan seolah-olah sesiapa sahaja boleh menulis novel cinta. Ini juga membayangkan tema novel cinta tidak pernah kering atau ketandusan untuk ditulis atau tema yang sama diulang tulis oleh penulis lain.

Hakikatnya tidaklah semudah itu untuk menulis novel cinta. Jika setakat menulis novel cinta yang biasa-biasa seperti putus cinta, kecewa, dendam, benci dan sebagainya sesiapa pun boleh menulis. Tetapi apakah mesej yang hendak disampaikan? Tambah menghairankan jika penulis itu sendiri tidak pernah bercinta, bagaimanakah hendak menghasilkan novel cinta yang baik?

Penulis yang bijak menulis novel cinta, hanya menjadikan tema cinta sebagai bingkai cerita sedangkan isi cerita yang sebenar bukanlah mengenai cinta semata-mata. Cinta di dalam novel hanya dijadikan sebagai penyedap ibarat cili, garam, bawang merah, bawang putih dan belacan dalam masakan.

Bayangkan jika sesuatu masakan tidak ada cili, garam, belacan dan bahan-bahan asas yang lain, apakah rasanya? Masakan akan menjadi tawar. Jika masakan tawar, siapa yang hendak menjamahnya?

Isi cerita sebenarnya mungkin mengisahkan perjuangan seorang watak untuk mengejar kejayaan dalam hidup. Untuk berjaya, watak utama menghadapi pelbagai cabaran dan kerap mengalami kegagalan. Kegagalan dalam bercinta hanyalah satu sub plot dan bukan menjadikannya sebagai plot utama.

Dari halaman pertama sehingga halaman akhir 400 halaman umpamanya, apakah penulis hendak menceritakan mengenai kisah percintaan sahaja. Tentulah tidak. Mungkin kisah percintaan watak utamanya hanyalah sebagai sampingan. Sampingan itulah yang diibaratkan sebagai ‘bingkai’ manakala gambarnya ialah isi cerita yang sebenar.

Penulis novel cinta yang baik bukan setakat bijak bermain kata-kata sahaja, tetapi bijak bermain emosi sehingga pembaca berasakan ia bernar-benar berlaku dan dialami oleh diri sendiri. Bagaimanpun semudah itukah hendak memainkan emosi sehingga pembaca terpaku?

Mampukah seorang penulis yang tidak romantik menghasilkan sebuah novel cinta yang agung? Sesiapa yang mengenali penulis dan membacanya novel cinta yang dihasilkan hanya akan tahu adakan keromantikannya atau tidak di dalam novelnya hanyalah imaginasi atau watak sebenarnya.

Tiada ulasan: