Ahad, 11 Mac 2012

WASPADA KIRIM NOVEL KE PENERBIT



BAGAIMANAKAH perasaan anda sebagai penulis novel, apabila manuskrip novel ditolak oleh penerbit sedangkan anda sudah mengirimkan keseluruhan manuskrip itu melalui emel atau secara pos. Jika dipos biasa, kemungkinan anda boleh meminta penerbit memulangkan manuskrip itu.

Tetapi bagaimana jika anda mengirimkan melalui emel? Sebagai penulis baru, tidak salah jika anda berasa curiga atau bimbang jika novel itu di ‘copy’ semula oleh penerbit dan kemudian diterbitkan dengan nama orang lain.

Bagaimanapun sebagai penulis yang sudah lama menceburi bidang ini, saya berharap sangat penerbit tidak melakukan perbuatan seperti ini dan fahamilah jerih payah penulis menghasilkan novel yang memerlukan banyak masa dan tenaga.

Untuk mengatasi perkara seperti ini, saya menasihatkan mereka yang baru menulis hanya perlu menulis synopsis dan dua tiga bab awal novel berkenaan sekiranya mahu menghantarkan manuskrip ke mana-mana penerbit.

Sebelum mengirimkan manuskrip novel sama ada secara bertaip atau melalui emel, pastikan dahulu anda menghubungi editor penerbit terlebih dahulu dan berbincanglah bagaimana yang sepatutnya mengirimkan manuskrip novel anda itu.

Mengikut kebiasaan, anda boleh mengirimkan manuskrip novel yang bertaip kepada penerbit. Sekiranya pihak penerbit sudah bersetuju untuk menerbitkan setelah melalui proses penilaian, kebiasaan pihak penerbit akan meminta penulis mengirimkan manuskrip novel secara email untuk memudahkan proses “type setting” , ‘Lay-Out’ dan sebagainya.

Penulis  yang baru berjinak-jinak menulis novel dan ingin mengirimkan manuskrip kepada mana-mana penerbit harus waspada dengan perkara ini walaupun ia jarang berlaku tetapi kebimbangan tetap ada kerana menulis novel memerlukan komitment yang tinggi.

Bayangkanlah berbulan-bulan anda menghasilkan sebuah novel, apabila dihantar ke penerbit, manuskrip ditolak tetapi beberapa bulan kemudian mansukrip  anda itu diterbitkan tetapi dengan nama orang lain. Tidakkah anda berasa kecewa.

Untuk memastikan novel anda diterbitkan, sila ikuti bengkel-bengkel yang diadakan oleh penerbit kerana dengan cara ini anda boleh bertanya terus kepada pihak penebit, apakah kreteria yang diperlukan sebelum menghasilkan novel bagi mengelakkan kejadian seperti ini berlaku.

Jumaat, 9 Disember 2011

TULISLAH SKRIP CEREKA TV ATAU FILEM BERDASARKAN NOVEL KARYA SENDIRI

JIKA anda sedang menulis novel pada ketika ini, terfikirkah anda satu ketika nanti novel anda itu akan didramakan di kaca tv atau diadaptasi ke layar perak sebagaimana novel Ombak Rindu karya Fauziah Ashaari dengan judul yang sama?

Saya percaya, ketika Fauziah Ashaari menulis novel Ombak Rindu itu, tidak pernah terlintas dalam fikirannya satu ketika nanti novelnya itu akan diadaptasi ke filem. Namun itulah yang sekarang.

Sebelum ini saya pernah menulis dalam blog ini mengenai penulis novel supaya menulis novel yang boleh disesuaikan dengan penulisan skrip filem atau drama. Tujuannya sekiranya novel itu diadaptasi ke drama tv atau filem, biarlah penulis novel itu sendiri yang menulis skrip drama atau filem.

Bukanlah satu masalah besar jika penulis novel itu sendiri tidak mahir menulis skrip drama tv atau filem kerana perkara itu boleh dipelajari. Mereka boleh belajar dengan mana-mana penulis skrip drama atau filem atau menghadiri bengkel berkaitan.

Namun sebagai penulis, sewajarnya mereka mampu mengembangkan genre penulisan bukan sekadar menulis novel sahaja tetapi mampu juga menghasilkan skrip drama tv atau filem.

Jika ditakdirkan sesebuah novel itu diadaptasi ke drama atau filem, penerbit atau pengarah filem wajar pula mempelawa penulis novel menghasilkan skrip filem berdasarkan novel tulisannya. Ini kerana penulis lebih tahu apa mesej yang hendak disampaikan walaupun melalui medium yang berlainan.

Menggunakan khidmat penulis skrip filem yang bukan penulis novel mungkin kurang berkesan dari segi penyampaian. Walaubagaimanapun dalam hal ini penulis novel tidak wajar dketepikan.

Saya sendiri menulis skrip drama untuk Panggung RTM berdasarkan novel saya yang memenangi sayembara Menulis Novel Remaja Berunsurkan Islam anjuran Jabatan Perdana Menteri.

Judul asal berjudul ‘Mei Hua’ dan apabila diadaptasi ke Panggung RTM menjadi ‘Panas Bara’. Alhamdulilah skrip drama itu memenangi kategori Teleplay Terbaik Anugerah Seri Angkasa pada tahun 1997.

Fenomena novel Ombak Rindu sewajar menjadi pemangkin kepada penulis novel supaya menulis novel yang boleh diadaptasi ke drama tv atau filem. Oleh itu sebelum menulis sesebuah novel bayangkan sesebuah adegan itu boleh diadaptasi ke filem. Selain penulis mendapat keuntungan royalti jika novel itu diulang cetak penulis juga akan mendapat ‘habuan’ sebagai penulis skrip jika filem itu mencapai ke tahap “pecah panggung.”

Sebagai penulis saya dapat membayangkan jika Fauziah Ashaari sendiri yang menulis skrip filem itu dan juga sebagai penulis novel, akan menikmati ‘habuan’ lumayan sebagai penulis. Tetapi itu tidak terjadi.

Penerbit hanya membayar royalti ke atas novel yang diulang cetak apabila filem itu meletup di pawagam. Selebihnya penerbit filem pula akan membayar ‘bonus’ kepada penulis novel berkenaan jika filem meletup, itu pun bergantung kepada perjanjian di antara penerbit filem dengan penulis novel (bukan penulis skrip filem).

Justeru saya menyarankan kepada mereka yang sedang atau sudah menulis novel, cuba-cubalah belajar bagaimana untuk menghasilkan skrip drama tv atau filem supaya mudah apabila novel itu diadaptasi ke filem, penulis novel tidak menggigit jari.

Fenomena novel Ombak Rindu boleh dijadikan pedoman. Penulis novel cuba menulis skrip cereka tv berdasarkan novelnya sendiri, sesudah itu majukan kepada penerbit drama. Bagaimanapun pilihlah penerbit drama yang diyakini kejujurannya dan bukan mengambil kesempatan daripada penulis.

Apa yang berlaku ke atas Fauziah Ashaari yang mendakwa tidak mendapat bayaran setimpal daripada pihak yang terbabit menerbitkan filem sebagaimana yang disiarkan di akhbar, boleh dijadikan ikhtibar. Penulis novel mesti boleh menguasai penulisan skrip filem untuk mengelak daripada dieksploitasi.



Rabu, 16 November 2011

BUKU 100 PESANAN TERAKHIR RASULULLAH MASUK CETAKAN KEDUA

PAGI yang cerah, 16 November 2011, saya menerima panggilan telefon daripada Puan Wan Rohana yang saya panggil Kak Wan, editor di Karya Bistari yang menerbitkan buku berkenaan, mengkhabarkan berita gembira buku 100 Pesanan Rasulullah akan masuk cetakan kedua.

Bagi penulis yang memerah otak untuk menghasilkan buku berkenaan, sudah tentu khabar seperti ini yang ditunggu. Buku yang diterbitkan pada pertengahan bulan Ogos 2011 ketika umat Islam berpuasa menyuntik semangat untuk menyiapkan buku seterusnya yang ini dalam proses penyiapan.

Di sini saya ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada mereka yang telah memiliki buku berkenaan. Saya seperti tidak percaya buku yang baru berusia ebih empat bulan di pasaran akan memasuki cetakan kedua.

Sesiapa pun yang bergelar penulis, apakah yang lebih membahagiakan apabila hasil tulisan anda dinikmati oleh orang lain. Penulis yang ‘berhijrah’ untuk menghasilkan buku Islami, mungkin ini satu anugerah dari ALLAH yang tidak ternilai.

Buku ini merupakan satu sumbangan kecil daripada saya kepada pembaca. Saya teringat peringatan ALLAH dalam surah al-Ashr ayat 1-3 yang bermaksud, “.Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman dan beramal shalih, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan kesabaran.

Ayat di atas, ALLAH menjelaskan kepada kita, manusia sememangnya sentiasa berada dalam kerugian kecuali mereka yang melakukan empat perkara:

1. Beriman iaitu memiliki keyakinan yang teguh terhadap ALLAH dan apa yang disyariatkan oleh-Nya.

2. Melaksanakan amal salih yang bukan sekadar solat, puasa dan zikir, tetapi meliputi semua amalan di dalam Islam seperti berbuat baik kepada ibubapa, menghubungkan silaturahim, cemerlang dalam pembelajaran , profesional dalam kerjaya dan sebagainya.

3. Berpesan-pesan kepada kebenaran yakni saling memberi nasihat, tunjuk ajar dan teguran kepada orang lain tentang apa yang benar dan apa yang salah.

4. Berpesan-pesan kepada kesabaran yakni memberi nasihat kepada orang lain agar sabar dalam menghadapi musibah serta sabar dalam melaksanakan perintah dan larangan ALLAH.

Saya bukanlah selayaknya untuk memberikan nasihat, teguran, tunjuk ajar dan sebagainya tetapi mengambil iktibar daripada ayat al-Quran di atas, di antaranya yang menyebut, “Berpesan-pesan kepada kebenaran yakni saling memberi nasihat, tunjuk ajar dan teguran kepada orang lain tentang apa yang benar dan apa yang salah.”

Dalam buku berkenaan banyak pesanan-pesanan Rasulullah s.a.w yang boleh kita kutip untuk dijadikan panduan semasa melayari bahtera hidup ini. Mereka yang ingin memiliki buku ini boleh mendapatkan di kedai buku berhampiran atau memesan terus daripada saya.

Harganya RM 18.00. Tambahan untuk pengeposan RM 2.00. Jumlah keseluruhan cuma RM 20.00. Apa yang menariknya, mereka yang memesan terus daripada saya akan mendapat tanda tangan saya.

Anda boleh melakukan pembayaran melalui akaun bank saya seperti berikut.

Nama: Muhd Nasruddin Dasuki


May Bank Akaun No: 162115976283


CIMB Bank No: 1277-0002240-20-7

Sila emal butiran pembayaran anda ke: mnasd_326@yahoo.com atau
Mesej ke nombor telefon saya: 013-3635560.







Sabtu, 22 Oktober 2011

NOVELIS PERLU PELAJARI MENULIS SKRIP CEREKA TV

KEBELAKANGAN ini banyak novel sudah diadaptasi menjadi cereka tv sama ada telemovie atau drama bersiri. Ini satu perkembangan baik dan lebih banyak lagi novel-novel bermutu dapat diadabtasi menjadi cereka tv. Bagaimanapun untuk memindahkan novel menjadi cereka tv bukanlah satu kerja mudah. Hanya penulis skrip yang mahir dapat memindahkan cerita novel ke kaca tv dengan baik dan dapat memuaskan hati penulis novel.

Jarang ada penulis novel yang mampu untuk memindahkan novelnya menjadi skrip cereka tv. Alangkah baiknya jika penulis novel itu sendiri menulis skrip cereka tv itu untuk novelnya sendiri bagi mengelakkan tidak puas hati jika mesej yang hendak disampaikan tidak kesampaian.

Penulis novel masih berpeluang mengolah novel supaya mudah disesuaikan untuk skrip cereka tv seandainya mahu novelnya itu diadaptasi ke drama tv atau filem. Oleh itu tidak perlulah menggunakan penulis lain untuk mengolah novel itu untuk dijadikan skrip cereka tv jika penulis novel itu berkemampuan mengadaptasi novelnya sendiri.

Sebagai penulis novel pula, .mereka perlu mengorak langkah tidak hanya menjadi penulis novel sahaja, sebalik berusaha untuk menjadi penulis skrip cereta tv kerana perkara ini boleh dipelajari. Mempelbagaikan genre penulisan adalah baik bagi penulis supaya karya mereka lebih meluas untuk dinikmati masyarakat.

Perlu diingat, tidak semua orang mempunyai masa untuk membaca novel. Malah kebanyakan kita lebih banyak masa untuk menonton tv. Jika ramai penulis novel berkemampuan menulis skrip cereka tv berdasarkan novel sudah tentu banyak novel-novel bermutu di negara ini boleh diadaptasi menjadi cereka tv.

Menurut kajian, sesebuah novel biar pun sudah lama diterbitkan tetapi apabila dijadikan cereka tv terutamanya cereka yang bersiri akan cari oleh pembaca. Secara tidak langsung jualan novel yang diadaptasi menjadi cereka tv akan melonjak jualannya. Begitulah kesannya, di mana penulis akan mendapat dua sumber bayaran iaitu royalti jualan novel dan skrip cereka tv yang dihasilkannya.

MASALAH MENGHANTAR MANUSKRIP TEBAL

JIKA satu ketika dahulu ketebalan sesebuah novel sekitar 200 – 250 halaman tetapi sekarang selera pembaca sudah berubah. Ketebalan novel seperti itu sukar ditemui. Jika kita rajin ke kedai buku, novel berbahasa Melayu sudah melebihi ketebalan sehingga 500 halaman malah ada novel setebal 700 halaman.

Semakin tebal novel diterbitkan, semakin mahal pula harganya dan sudah tentulah royalti untuk penulis bertambah. Cuma apa yang menjadi masalah, bagi penulis ialah ketika menghasilkan novel setebal itu. Bagi penulis novel yang sudah biasa menulis manuskrip setebal itu mungkin tidak menjadi masalah.

Masalah hanya dapat dirasakan kepada mereka yang baru belajar menghasilkan manuskrip novel. Apakah cerita yang hendak ditulis dalam novel setebal itu? Untuk menghasilkan manuskrip itu sudah tentu memakan masa yang lama untuk disiapkan.

Masalah lain timbul pula apabila manuskrip novel itu siap. Masih ada penulis yang bertanya bagaimanakah mahu menghantar novel setebal itu kepada pihak penerbit? Masalah mungkin tidak timbul sangat jika penulis sudi untuk menghantar secara ‘by hand’ kepada penerbit. Tetapi bagaimana jika penulis jauh dari pihak penerbit? Sebagai contoh, mereka tinggal di Sabah atau Sarawak.

Mahu atau tidak mahu, mereka terpaksa menghantar melalui pos kepada penerbit di semenanjong. Ada penulis yang bimbang dengan keselamatan manuskrip novel mereka. Maklum sahajalah, hendak menyiapkan sebuah manuskrip novel memakan masa yang lama lebih kurang enam bulan atau setahun. Jika manuskrip tidak sampai ke tangan penerbit, tentulah manuskrip ‘sesat’ dalam perjalanan.

Bagi mengatasi masalah ini, penulis mesti menyimpan satu salinan manuskrip untuk rujukan. Penulis juga boleh menghantar mansukrip melalui CD tetapi untuk lebih selamat. Boleh menghantar mansukrip melalui emel sahaja. Cuma mungkin menjadi masalah kepada editor terpaksa mencetak semula manuskrip itu untuk memudahkan membuat penilaian sama ada boleh diterbitkan atau tidak.

Bagaimanapun jika masalah ini timbul, penulis disaran berhubung dahulu dengan editor atau pihak penerbit sebelum menghantar manuskrip mereka. Jika pihak bersedia menerima manuskrip melalui emel, lebih baiak menggunakan emel sahaja. Tetapi jika penerbit mahukan manuskrip asal dihantar, terpaksalah penulis menghantar mansukrip asal dalam bentuk cetakan kertas A4 dan ditaip dengan jarak dua spacing.

Selasa, 19 Julai 2011

PELUANG MENULIS BUKU TERBUKA LUAS


KALI terakhir saya menulis untuk entri blog saya pada 6 Jun 2011, bermakna sudah sebulan lebih saya ‘menyepi’. Saya tidak menyepi sebenarnya kerana dalam tempoh itu saya terpaksa menyiapkan sebuah buku judulnya 100 PESANAN TERAKHIR RASULULLAH yang diterbitkan oleh Karya Bistari Sdn. Bhd di bawah label Grup Buku Karangkraf.

Saya terpaksa ‘mengerjakan’ manuskrip buku berkenaan sehingga siap kerana pihak editor mahu menerbitkan secepat mungkin, jika boleh awal bulan Ramadan ini sudah ada di pasaran.

Menyiapkan sebuah novel mungkin tidak sesukar ini kerana menulis novel bergantung kepada imaginasi dan fakta tetapi menulis buku agama wajib berpandukan kepada fakta apatah lagi jika mengandungi hadis dan petikan ayat al-Quran.

Apabila tersilap fakta dan petikan hadis atau al-Quran, ia sudah tentu akan mengelirukan pembaca. Tetapi kerana dorongan dan semangat yang diberikan oleh Puan Wan Rohana Wan Manaf (saya panggil Kak Wan – Terima Kasih Kak Wan) editor di Karya Bistari akhirnya buku itu siap ditulis dan menunggu masa untuk menjengah di pasaran.

Sudah menjadi amalan saya, apabila diberi amanah untuk menyiap manuskrip dalam tempoh tertentu, saya akan selesaikan sebaik mungkin walaupun pada ketika sama dibebani dengan pelbagai urusan kerja seharian.

Untuk menyiapkan TUGAS yang diamanahkan itu, saya ‘hentikan’ sementara untuk menulis dalam blog saya ini. Walaupun banyak yang hendak saya tulis bagi mengisi ruang sepanjang bulan Mei dan Jun tetapi hambatan untuk menyiapkan manuskrip ini terpaksa saya dahulukan.

Apabila menoleh kembali ke belakang sejak setahun lalu sehingga kini Julai 2011, saya sudah menyiapkan 3 buah buku untuk Grup Buku Karangkraf. Buku pertama, AKU SANGGUP DUHAI MUHAMMAD, terbit Ogos 2010, kemudian dua bulan kemudian terbit novel SEMENJAK KAU DATANG dan akan menyusul buku agama 100 PESANAN TERAKHIR. Ini bermakna saya telah menyiapkan tiga buah buku dalam tempoh setahun.

Lebih membanggakan saya, apabila mendapat carian dalam internet buku saya yang berjudul AKU SANGGUP DUHAI MUHAMMAD menduduki carta kedua jualan terlaris buku Bahasa Melayu kategori bukan fiksyen sepanjang bulan Februari 2011 di MPH Mid Valley Kuala Lumpur.

Saya berharap untuk buku 100 PESANAN TERAKHIR RASULULLAH akan turut menjejaki carta buku terlaris, mudah-mudahan. Untuk mereka yang ingin melihat cover buku berkenaan, saya lampirkan di sini.

Kepada mereka yang sering mengikuti blog saya ini, jangan lupa dapatkan buku ini yang akan berada di pasaran pada bulan puasa ini. Baru sahaja selesai menyiapkan buku di atas, buku yang seterusnya sudah menanti untuk ‘dikerjakan’, judulnya masih 100 juga tetapi biarlah saya akan beritahu kemudian.

Golongan penulis yang bijak mencari peluang sudah pasti tidak ada ruang atau masa untuk ‘berehat’ daripada menulis kerana ada sahaja ‘projek’ menulis buku jika rajin mengintai peluang ke meja penerbit.

Jika anda berminat untuk menjadi penulis buku, rajin-rajin mengintai peluang ke mana-mana penerbit. Jangan mengharap tuah akan datang tetapi kita perlu mencarinya. SELAMAT BERPUASA kepada yang sering mengikuti blog saya ini.

Isnin, 6 Jun 2011

DAPATKAN EBOOK PERCUMA DENGAN PEMBELIAN EBOOK CMMN ATAU 50 TIP MENULIS NOVEL



ANDA berpeluang untuk mendapatkan sebuah ebook percuma berjudul
‘PANDUAN MENULIS NOVEL’ : Berdasarkan Kisah Benar sekiranya anda membeli salah satu ebook yang berikut:

1. Cara Mudah Menulis Novel – Pakej Lengkap Berserta Contoh
berharga RM 40.00.

2. 50 TIP MENULIS NOVEL – Panduan Asas Yang Berkesan
Berharga RM 20.00.

Jika anda memilih untuk membeli kedua-dua ebook berkenaan,
Kami menawar harga promosi RM 50.00 sahaja dan
Anda juga akan mendapat sebuah ebook percuma berkenaan.


CARA PEMBELIAN

Anda boleh ‘bank in’ wang sejumlah RM 50.00 untuk kedua-dua ebook
berkenaan atau RM 40.00 untuk ebook CARA MUDAH MENULIS NOVEL
dan RM 20.00 untuk ebook 50 TIP MENULIS NOVEL
ke salah satu akaun bank berikut:

1. CIMB BANK No Akaun: 1277-00002240-207
Nama : Muhd Nasruddin Dasuki

2. Maybank No. Akaun: 162115976283
Nama: Muhd Nasruddin Dasuki

Selepas membuat bayaran sila mesejkan butiran pembayaran ke
No. Tel: 013-3635560. Penghantaran akan dilakukan setelah pengesahan bayaran dilakukan. Anda juga boleh emailkan butiran itu ke: mnasd_326@yahoo.com.

Sabtu, 21 Mei 2011

DAYA TAHAN MENULIS MESTI SEPERTI BARA API

KETIKA anda muncul pertama kali dengan karya anda, tidak kira sama ada puisi, cerpen atau novel, pernahkan anda perhatikan siapakah di antara penulis yang ‘bersaing’ dengan anda ketika itu. Maksud saya, penulis yang sama-sama mencari tapak atau mencari nama di dalam dunia penulisan.

Ketika saya mula menulis bermula tahun 1976, saya memang perhatikan ramai yang sama-sama bersaing dengan saya ketika itu. Sehingga kini hampir 35 tahun berlalu, penulis yang sama-sama bersaing dahulu, ada yang masih menulis sehingga kini, malah ada juga yang tenggelam timbul dan ada yang hilang terus, namanya lenyap dari dunia penulisan.
Mungkin ada sebab mereka tidak mampu bertahan sehingga ke hari ini, mungkin daya tahan sudah berkurangan semangat menulis tidak membawa lagi. Justeru dalam penulisan, sememangnya ada pasang surut seperti bara api yang membakar. Jika bara api sudah hilang kepanasannya atau hampir padam, bara perlu dikipas supaya ia terus membara.

Akibat bara api yang tidak dikipas, akhirnya bakat yang sedia ada akhirnya terpadam begitu sahaja. Apakah rahsianya kerja-kerja penulisan tidak berhenti di pertengahan jalan?

Rahsianya ialah kerana menganggap dunia menulis ini bukan kerja suka-suka atau sebagai hobi atau hanya mengisi masa lapang. Kerja menulis sebaiknya anggap ia juga satu kerja sebagaimana kerja yang rutin kita lakukan setiap hari.

Jika anda bekerja sebagai guru, kerja menulis masih boleh diteruskan sehinggalah bersara. Jika anda bekerja di pejabat, tugas menulis masih boleh diteruskan meskipun adakalanya dihambat dengan kerja yang banyak.

Bagi saya, selain yang di atas, ialah jangan bawa kerja di tempat kerja di bawa balik ke rumah. Jika dibawa balik ke rumah, sudah pasti anda tidak boleh menulis. Kerja menulis sememangnya hanya dilakukan di rumah sahaja kerana ia tidak akan mengganggu tugas seharian kita.

Tetapi jika di rumah, anda dibebankan dengan tugas di tempat kerja, sebaik-baiknya memang anda berhenti menjadi penulis, kecuali jika minat menulis anda melebihi dari segala-galanya.

Sebab itulah tidak hairanlah, jika satu ketika dahulu anda pernah terbaca nama-mana penulis yang seangkatan atau tidak seangkatan tiba-tiba lenyap dari bumi penulisan. Ini kerana komitmennya sebagai penulis tidak membara lagi.

VARIASIKAN PENULISAN TIDAK HANYA NOVEL SAHAJA

ANDA memang minat menulis novel, tetapi berapa banyak manuskrip boleh anda tulis dalam masa setahun? Untuk menyiapkan sebuah manuskrip paling cepat mungkin sebuan dua sudah siap, itu pun jika sudah bersedia sejak awal dengan menyediakan rangka cerita dari bab pertama sehingga akhir. Ia mungkin tidak menjadi masalah.

Tetapi jika menulis tanpa perancangan, sudah pasti setahun dua tidak siap juga. Tidak mungkin sepanjang masa setahun atau dua tahun itu, anda hanya menulis novel sahaja.

Pada hari-hari tidak menulis novel, apakah yang anda lakukan? Untuk menjadi seorang penulis novel, kerja penulisan sebenarnya tidak pernah berhenti. Anda mesti menulis dan terus menulis. Jika tidak menulis novel, apa salahnya anda menulis novel kanak-kanak atau cerita kanak-kanak atau apa sahaja bentuk penulisan, menulis buku panduan misalnya, buku motivasi atau buku-buku bercorak keagamaan.

Sebenarnya dunia penulisan terlalu luas, bukan setakat menulis novel semata-mata. Grup Buku Karangkraf ketika mengadakan pertemuan dengan para pebulis yang pernah menulis dengan syarikat Karangkraf telah didedahkan bagaimana penulis novel atau penulis genre lain tidak bergantung dengan dunia penulisan yang sedia diceburi. Para penulis digesa supaya menceburi cabang penulisan dari pelbagai genre. Jika anda bercadang menjadi seorang penulis, jangan hadkan bakat anda untuk menulis novel semata-mata.

Bakat yang ada sebaiknya dikembangkan dengan menulis dengan pelbagai genre penulisan. Ini sebenarnya memberikan cabaran kepada penulis supaya berani meneroka lebih jauh ke dalam dunia penulisan yang versatile ini.

Khamis, 28 April 2011

BUKU BAGAIMANA SAYA MENULIS WAJAR DIMILIKI CALUN CERPENIS


BUKU Bagaimana Saya Menulis: Proses Penciptaan Cerpen diselenggarakan oleh Prof Madya Dr. mawar Shafei dan Nisah Haron baru sahaja dilancar ketika Pesta Buku KL (PBKL) di PWTC baru-baru ini.

Mereka yang bercadang ingin menulis cerpen wajar untuk memiliki buku yang berharga RM 25.00 ini. Menampilkan 17 orang penulis dengan 17 proses pemciptaan cerpen yang pelbagai sudah pasti akan memberikan input kepada mereka yang berhajat menulis cerpen.

Melalui buku ini pembaca akan dapat mempelajari ilmu penulisan kreatif dengan cara mencari rahsia proses penciptaan karya pengarang terkenal yang di antara mereka telah memenangi sayembara penulisan.

Membaca buku ini juga, akan didedahkan bagaimana kegigihan pengarang membuat penyelidikan dan ilmu Bantu untuk menggarap cerpen mereka sebagai asas penghasilan cerpen. Pelbagai panduan dapat dikongsi bersama untuk manfaat mereka yang bercita-cita menghasilkan novel.

Buku ini boleh didapati di Kedai Buku DBP atau hubungi Ujana Ilmu Online dengan mengunjungi laman webnya: www.ujanailmu.com.my atau telefon: 06-7675722 atau emel: webmaster@ujanailmu.com.my.

AMANAT DALAM NOVEL

SECARA sedar atau tidak, penulis ketika mengarang sebenarnya meninggalkan amanat untuk pembaca. Apakah amanat yang dimaksudkan itu? Sesebuah novel bukanlah semata-mata sebuah angan-angan atau isi hati penulis itu sendiri. Tetapi ia lebih merupakan sebuah karya akan meninggalkan kesan biarpun sedikit.

Peranan penulis ialah untuk menyedarkan pembaca daripada melakukan kesilapan bukan mengajar pembaca untuk melakukan kesilapan. Karya kreatifnya itu akan menjadi pemangkin supaya dapat membuka mata hati pembaca .

Selain novel mesti bermesej dan meninggalkan amanat, ia harus mempunyai keseronokkan untuk membaca. Sebaik-baiknya penyampaian biarlah sederhana, tidak terlalu memberatkan meskipun mempunyai amanat.

Amanat bukan bermaksud untuk mengajar tetapi sebagai panduan ke arah menjadikan masyarakat lebih memahami susurgalurnya. Di sini disertakan contoh amanat di dalam sesebuah novel.

Di petik dari Novel LANGIT ANGSANA halaman 63.

“Kita memang digalakan mengejar kemajuan agar standing dengan bangsa lain di dunia. Tapi mkita tak boleh lupa budaya dan adapt resm. Lihat sahaja Negara Jepun dan Korea Selatan. Mereka berlumba-lumba mengejar kemajuan tetapi tidak lupa dengan adapt dan budaya seba itu mereka berjaya, tapi kita?” Datuk Had Amin memandang Hamidon. Dia sengaja meninggalkan pertanyaan itu tanpa jawapan.

“Ya Korea Selatan telah membuktikan faktor bangsa, budaya dan geografi bukan penghalang kemajuan ekonomi. Pengalaman Korea Selatan untuk menjadi sebuah Negara maju tidka bersandarkan kepada kegemilangan masa silam tetapi meninggalkan amalan lapuk dengan tidak meninggalkan akar umbi budayanya, “Tambah Hamidon menguatkan hujan Daruk Had Amin.

Diharapkan pembaca faham apakah yang dimaksudkan dengan amanat dalam novel ini.

ILMU BANTU DALAM NOVEL

APAKAH yang dimaksudkan dengan ilmu bantu dalam novel? Ketika menulis sesebuah novel seseorang penulis perlu ada ilmu bantu dalam penulisan. Tanpa ilmu bantu, sesebuah karya itu ibarat satu masakan yang tidak cukup resepi. Memang ia boleh dimakan, boleh mengenyangkan tetapi kurang sedap sebab ada resepi yang tidak dimasukkan.

Begitu juga dengan menulis novel. Novel terasa hambar kerana cara penceritaan hanyalah sekali lallu, tidak terperinci atau mendalam. Pembaca tidak akan mendapat gambaran yang sebenar apa yang ditulis oleh pengarangnya.

Sebagai contoh, cuba perhatikan petikkan novel ini. Bagaimanakah penulis begitu teliti menceritakan sesuatu.

“Memang perlu. Contohnya, ukiran kepala sampan, corak wau, hulu keris,tepak sirih, kacip pinang, batik, bunga raya, raflesia, pangkin atau serambi rumah lama, wakaf rebung buluh dan banyak lagi. Kita mesti tahu untuk apa landskap itu dibina. Jika untuk beristirehat dan melayan tetamu, ia harus menjurus kepada lima deria iaitu pandangan, rasa, pendengaran, sentuhan dan bau. Jika inginkan taman herba, kita mesti tahu apa jenis herba itu, “ tegas Puan Rosfidah dengan harapan, apa baru dihujahkan tadi dapat membeirkan ilmu baru kepada Irsyadul Aiman untuk menambahkan pengetahuan di bidang landskap. (Dipetik dari Novel Langit Angsana karya Muhd Nasruddin Dasuki terbitan DBP halaman 129)

Secara mudahnya ilmu bantu ini sebagai info atau maklumat untuk memberitahu pembaca mengenai sesuatu aspek. Sekurang-kurang pembaca akan tahu apa tujuan sesuatu landksap itu dibina bukan semata-mata untuk mencantikkan kawasan tetapi ada mesej lain yang hendak disampaikan.

Katakanlah anda sedang menulis satu babak majlis perkahwinan di dalam novel anda. Apakah anda hanya menceritakan mengenai dua mempelai yang sedang bersanding di pelamin?

Elok juga diceritakan apakah peranan bunga telor, bunga manggar, pelamin yang menampilkan ciri-ciri budaya, merenjis pengantin dan sebagainya. Jika anda penulis berilmu terangkan sedikit apakah tujuan dilakukan demikian.

Sama juga dengan adat peminangan, ada tepak sireh, daun sirih junjung, kain songket, kacip, kapur dan sebagainya. Mengapa ketika membawa sirih junjug, pembawanya mesti di hadapan sekali kemudian diikuiti oleh yang lain-lain?

Begitu juga ketika meletakkan dulang peminangan. Sirih junjung mesti diletakkan di hadapan, kemudian baru diikuti oleh dulang yang lain di belakangnya. Semua itu mempunyai maksud tertentu. Anda sebagai penulis wajar untuk menjelaskan supaya pembaca tahu sekadar sebagai info.

Selain membaca novel untuk mengetahui ceritanya, penulis akan mendapat ilmu bantu atau pengetahuan dari pembacaan novel itu.

Selasa, 19 April 2011

CERAMAH PENULISAN KREATIF DI SMK SRI ANDALAS


SEMPENA Karnival Bahasa 2011, Panitia Bahasa Melayu Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Andalas, Klang, Selangor telah menganjurkan majlis Ceramah Penulisan Kreatif bertempat di Bilik Bahasa sekolah berkenaan pada hari Sabtu 16 April 2010.

Penulis Muhd Nasruddin Dasuki telah meluangkan masa kira-kira dua jam setengah memberikan ceramah mengenai penulisan puisi, cerpen dan novel. Seramai kira-kira 50 pelajar menghadiri majlis itu.

Menurut guru penyelaras Karnival Bahasa Puan Hasmah, tujuan program itu diadakan ialah untuk mendekatkan para pelajar dengan penulisan kreatif dan memahami selok penulisan.

BAGAIMANA MAHU KEKALKAN SEMANGAT MENULIS

BUKAN satu hal yang mengejutkan apabila tiba-tiba sahaja semangat menulis menurun. Semangat seperti juga tenaga dalam tubuh kita, lama-kelamaan akan berkurangan setelah melakukan pelbagai pekerjaan seharin. Apabila tenaga berkurangan, kita perlu berehat dan mengumpulkan tenaga semula untuk hari-hari seterusnya. Begitulah yang kita lakukan.

Tidak mustahil jika semangat menulis lama-lama kelamaan akan merudum. Oleh itu bagaimanakah caranya untuk mengekalkan semangat atau ‘tenaga’ menulis sentiasa ada supaya kerja-kerja menulis novel tidak terbantut?

Kerja menulis seperti memerah idea, lama kelamaan idea akan kehabisan dan perlu diisi semula supaya idea menulis tidak kering. Tetapi bagaimanakah caranya supaya semangat atau tenaga menulis itu tidka kekeringan.

Untuk menyiapkan sesebuah novel memerlukan masa yang lama. Mungkin sebulan, dua bulan atau lebih. Jika seminggu tinggalkan kerja penulisan, sudah pasti semangat akan menurun dan akhirnya novel terbengkalai.

Ada beberapa cara untuk mengekalkan semangat menulis.

1. Sediakan ‘dateline’ menyiapkan novel. Jika mahukan siap novel dlaam masa sebulan, perlu siapkan jadual sehari berapa bab mesti disiapkan, selagi tidak siap jangan berhenti.
2. Hubungi rakan-rakan penulis untuk berbincang atau bertemu dan diskui tentang penulisan masing-masing, kata orang ‘cas bateri’ supaya tidak lemah. Bateri kereta juga pelru dihidupkan setiap hari supaya ‘power’ bateri tidak lemah. Begitu juga dengan menulis novel.
3. Hadiri bvengkel penulisan, seminar, diskusi buku, majlis berkaitan sastera dan sebagainya. Cari idea baru apabila bertemu dengan rakan-rakan penulis. Biarpun anda sudah lama menulis, ada banyak novel, sesekali perlu ‘cas’ semangat supaya tidak kekeringan idea menulis.
4. Jangan putuskan diri anda dengan dunia penulisan. Bagi anda menulis sudah menjadi darah daging. Biarpun anda gemar berman futsal, kerja menulis jangan ditinggalkan.

Perlu diingat, semangat menulis seperti air di dalam baldi yang digunakan untuk menyiram air. Lama kelamaan air dalam baldi akan berkurangan dan perlu diisi semula. Seperti juga sebilah parang walaupun diasah kemudian digunakan, apabila sudah digunakan ia akan tumpul semula dan perlu diasah lagi.

BERAPA LAMA NOVEL AKAN DITERBITKAN

ADA yang masih bertanya, apabila manuskrip di hantar kepada penerbit, berapa lama mengambil masa untuk diterbitkan?

Itu bergantung kepada penerbit. Bagi penulis baru, mungkin bersabar itulah yang lebih baik. Jika pada masa itu penerbit tidak ada manuskrip yang baik untuk diterbitkan, kebetulan manuskrip anda setelah dinilai menarik perhatian penerbit untuk diterbitkan, sudha tentu ia tidak mengambil masa yang lama untuk diterbitkan.

Bagaimanapun untuk pengetahuan penulis baru, cepat atau lambat sesebuah manuskrip diterbitkan bergantung kepada penerbit. Ada penerbit yang tidak mengambil masa yang lama diterbitkan. Ada juga penerbit yang mengambil masa berbulan-bulan untuk menerbitkan.

Pengalaman penulis, ada manuskrip memakan masa setahun lebih untuk diterbitkan, ada juga manuskrip diterbitkan dalam masa dua atau tiga bulan sahaja.

Tetapi adalah lebih baik jika penulis sentiasa berhubung dengan penerbit untuk mengetahui status manuskrip novelnya itu. Bagaimanapun perlu diingatkan, jangan menunggu manuskrip pertama diterbitkan, barulah mula menulis novel kedua dan seterusnya.

Sebaik-baiknya, selesai sahaja novel pertama dihantar ke penerbitan, jangan menunggu novel itu diterbitkab, barulah hendak menulis novel kedua. Tanpa menunggu novel pertama tadi diterbitkan, teruskan menulis novel kedua dan seterusnya.

Ahad, 20 Februari 2011

Kisah Cinta Lombok - Semenjak Kau Datang di Berita Harian

Dunia Buku: Semenjak Kau Datang
Oleh Hafizah Iszahanid
hafiza@bharian.com.my
2011/02/18


Kisah cinta Lombok yang melenakan remaja wanita Malaysia


“MUNGKIN dah nasib aku Warni” - ayat akhir Syahwati, watak utama dalam novel remaja Semenjak Kau Datang karya Muhd Nasruddin Dasuki adalah gambaran terbaik apabila akal berada di carta terakhir pertimbangan.

Syahwati adalah kisah benar yang terjadi kepada remaja perempuan di Malaysia kebelakangan ini. Jatuh cinta pada pemuda Lombok, lari ke negara orang demi mengejar warna-warni cinta suci. Namun akhirnya, kembali ke pangkuan keluarga apabila mula menyedari manusia tidak hanya boleh hidup berulit cinta.
Sejak Malaysia dibanjiri pendatang asing (halal atau haram), banyak kisah anak gadis Malaysia ‘terkorban’ dalam jerat cinta dengan pemuda warga asing dan Semenjak Kau Datang adalah satu daripada puluhan dokumentasi mengenainya.

Bezanya, kisah ini di tangan Muhd Nasruddin, ia dirakam sebagai karya kreatif menjadikan naskhahnya itu realistik dalam bercerita. Apatah lagi bauran fakta dan keratan akhbar menyebabkan Semenjak Kau Datang bagai sebuah rakaman diari kehidupan Syahwati.

Bermula dengan detik perkenalan dengan pemuda Indonesia, Hermawan, kemudian perlahan-lahan tergoda dengan ‘ayat-ayat cinta’ lelaki itu, sebelum akhirnya rela menjadi isteri semata-mata kerana terpaut pada keikhlasan dan kejujuran si lelaki.

Novel ini pantas berkembang, tidak banyak bermain bahasa, tetapi penceritaannya tetap punya tarikan tersendiri ekoran kebijaksanaan pengarang dalam menyusun plot dan penyesalan Syahwati dapat dirasai pembaca.
Benarlah bagai dipantunkan orang, nasi lemak buah bidara/sayang selasih hamba lurutkan/buang emak buang saudara/kerana kasih saya turutkan, lalu Syahwati yang masih muda tewas dengan pujuk rayu Hermawan.

Hanya bermodalkan air liur anak gadis Malaysia itu dilarikan (jika mengikut terma undang-undang kerana dia masih di bawah umur) atau melarikan diri (jika mengikut pertimbangan akal rasional) semata-mata mengejar nikmat bercinta.

Digolongkan dalam karya teen@prima, novel ini sesuai dibaca golongan remaja kerana ia sarat nasihat, penuh pengajaran dan padat persoalan, namun akhirnya diri sendiri perlu bertanya apa yang dicari dalam hidup ini?

Perkahwinan bukan hanya perkongsian cinta, tetapi timbang rasa, akal budi, kesabaran dan tentu saja wang ringgit, seperti kata watak Agussalim, “... ingat Her. Uang boleh membeli cinta, tapi cinta tidak boleh memberikan uang sama kita,” . Wang bukan segalanya namun tanpa wang, bagaimana kehidupan mampu diteruskan, kenyangkah perut dengan kata-kata sayang atau hilangkah dahaga dengan kata-kata rindu. Akhirnya, dalam apa pun tindakan akal fikiran perlu rasional menimbangkan.

Secara ringkas, Semenjak Kau Datang bercerita tentang Hermawan pemuda Pulau Lombok yang berhijrah ke Malaysia untuk mencari pekerjaan. Di Malaysia, dia berkenalan dengan Syahwati, anak gadis pemilik gerai makan tidak jauh dari tempat dia bekerja. Syahwati, sedang menunggu keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan tidak bekerja di kilang demi mengelakkan diri daripada jatuh hati kepada “Mat Bangla”.

Tanpa disedari kekerapan bertemu dengan Hermawan membuahkan rindu dan akhirnya daripada tidak mahu jatuh cinta dengan “Mat Indon”, Syahwati tertawan dengan Hermawan yang pandai mengatur kata.

Seperti kebanyakan kisah gadis Malaysia yang jatuh cinta dengan pemuda Lombok, Syahwati akhirnya melarikan diri dengan Hermawan, namun, kehidupan di negara orang yang dihimpit kemiskinan menyebabkan Syahwati akhirnya tertanya-tanya, silap dirinya dalam membuat keputusan.

Syahwati berjaya dibawa pulang oleh ayahnya, Pak Hashim dengan bantuan Migrantcare, namun ketika itu tanggungjawab dan pesan suami menyebabkan dirinya berasa serba salah untuk pulang ke Malaysia.

Walaupun dia pulang juga ke Malaysia dan dibenarkan bertemu dengan suaminya, namun dia gagal meneruskan pengajian pada peringkat lebih tinggi, walaupun keputusan SPMnya bagus kerana tidak dibenarkan suami. Meskipun sedih kerana gagal memenuhi impian peribadi bergelar mahasiswi, Syahwati akur pada statusnya sebagai isteri dan bakal ibu.

Dengan halaman 336 dan kedudukannya sebagai novel remaja, Semenjak Kau Datang tidak mengecewakan buat mereka yang gemar cerita remaja dengan sedikit kelainan daripada lambakan kisah remaja di pasaran. Apatah lagi ditangani penulis berpengalaman, Semenjak Kau Datang sebenarnya kisah serius dan penuh iktibar yang molek dibaca.


Info
Semenjak Kau Datang

Penulis: Muhd Nasruddin Dasuki
Penerbit: Buku Prima
Harga: RM15.90 senaskhah
Bintang: ****


SENTUHAN KREATIF SEORANG WARTAWAN


MUHD Nasruddin Dasuki, anak kelahiran Kampung Bukit Kerayong, Kapar, Selangor pada 26 Disember 1959, menceburi dunia penulisan sejak di sekolah dan pernah berkhidmat sebagai wartawan sejak 1984 bermula dengan akhbar Mingguan Perdana.

Pada 1985, Muhd Nasruddin dilantik sebagai pengarang akhbar mingguan tabloid, Mingguan Famili sehingga 1991, sebelum menceburi dunia penerbitan buku, selain pernah berkhidmat sebagai editor buku di Marwilis Publisher & Distributors Sdn Bhd pada 1992.

Muhd Nasruddin dikenali dengan puisi, cerpen, rencana, novel, drama radio selain drama tv, selain menceburi bidang keusahawanan dengan mengusahakan galeri buku sendiri, di samping terus giat menulis penulisan kreatif dan non-kreatif.

Banyak karyanya berupa cerpen disiarkan dalam pelbagai akhbar dan majalah seperti Mingguan Malaysia, Berita Minggu, Dewan Sastera, Dewan Budaya dan sehingga kini lebih 120 cerpen sudah disiarkan.

Dua antologi cerpen persendirian, 17 antologi cerpen bersama serta 23 novel dan tiga e-book karya Nasruddin sudah diterbitkan dan beliau antara pengarang yang kerap meraih pelbagai hadiah dalam dunia sastera.

Antara yang pernah dimenanginya ialah Hadiah Utama Cerpen Remaja Utusan-Public Bank 1990, Hadiah Utama Cerpen Dewasa Utusan-Public Bank 1992, Hadiah Ketiga Sayembara Menulis Novel Kanak-Kanak berunsurkan alam sekitar anjuran Jabatan Alam Sekitar dan Utusan Melayu, Hadiah Kedua Peraduan Menulis Novel Alaf Baru anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka, 2003 dan Hadiah Sagu Hati Sayembara menulis Novel sempena Sambutan 50 Tahun DBP. Malah, skrip dramanya pernah memenangi Anugerah Seri Angkasa 96, Kategori Teleplay Terbaik Panggung RTM.

Isnin, 24 Januari 2011

EBOOK 50 TIP MENULIS NOVEL HANYA RM 20.00 - Percuma sebuah ebook Panduan Menulis Novel



SELAIN ebook CARA MUDAH MENULIS NOVEL (CMMN), ebook 50 Tip Menulis Novel: Panduan Asas Yang Berkesan masih boleh dimiliki mulai sekarang sehingga akhir tahun.

Menariknya sesiapa yang membeli ebook ini, mereka akan mendapat percuma sebuah ebook bertajuk PANDUAN MENULIS NOVEL : Berdasarkan Kisah Benar.

Ebook ini menampilkan 50 Tip penulisan novel yang berkesan wajar dimiliki oleh mereka yang berhajat menulis novel. Artikel yang ditulis merupakan panduan yang mudah diikuti supaya tidak tersasar dalam penulisan novel.

Mereka yang berminat memiliki ebook ini boleh membuat bayaran melalui akaun bank. Mereka boleh memilih mana-mana cawangan bank yang berhampiran untuk membuat bayaran.

MAYBANK – Akaun No: 162115976283 – Muhd Nasruddin Dasuki
CIMB BANK Akaun No: 1277-0002240-207 – Muhd Nasruddin Dasuki

Setelah membuat bayaran, sila SMS butir-butir bayaran, seperti tarikh, nama penuh dan alamat, tempat dan sebagainya ke No. Tel: 013-3635560. Atau emelkan butir bayaran anda itu ke mnasd_326@yahoo.com. Ebook akan dihantar melalui emel setelah pengesahan diterima.

Jangan lepaskan peluang sementara peluang masih dibuka.

NOVEL BIAR SEDERHANA PENYAMPAIANNYA

SETIAP karya wajar memiliki keseronokkan kepada orang yang membacanya. Jika pada bab awalan sudah membosankan sudah tentu ia bukan karya yang menyeronokkan sebaliknya ia membosankan.

Kepada penulis yang mengarang cerita berkenaan mungkin tidak sedar. Ia seronok untuk diri sendiri tetapi membosankan kepada orang lain. Dalam hal ini, memanglah bukan mudah untuk memuaskan hati semua orang.

Namun apa yang penting, setiap novel itu mesti ada mesej dan cara penyampaiannya biarlah sederhana tetapi menarik, tidak terlalu serius dan bukan cara berlawak.
Setiap pembaca mempunyai persepsi sendiri terhadap novel yang dibacanya. Mungkin membosankan kepada mereka tetapi tidka kepada orang lain kerana pembaca itu sendiri terdiri daripada pelbagai peringkat, usia, pembelajaran dan sebagainya.

Majoriti pembaca novel hari ini bukanlah yang jenis suka membaca novel yang serius. Mereka membaca hanya sekadar untuk mengetahui ceritanya dan bukan untuk memikirkan sama ada novel itu bermutu atau tidak.

Mereka membaca sambil bersantai sambil memenuhi waktu yang terluang. Mereka tidak mahu memberatkan fikiran dengan persoalan yang di luar kemampuan mereka untuk memikirkannya.

Secara amnya, sesebuah novel biarlah sederhana penyampaiannya sesuai untuk semua peringkat umur yang membacanya, bersahaja, mudah bahasanya dan menarik penyampaian dan ada pengajarannya.

Pembaca yang berasa seronok sudah pasti akan mencari lagi buah tangan penulis yang sedang dibacanya kerana sudah tertarik dengan gaya penyampaian dan mampu memikat pembacanya sendiri.

PENTINGKAH JUDUL SEBELUM MENULIS NOVEL

TERDAPAT sesetengah penulis tidak boleh menulis jika tidak ada judulnya terlebih dahulu. Sama ia judul cadangan atau judul tetap, ia ibarat seperti ‘ibu’ yang akan menjadi penaung kepada apa yang bakal dituliskan.

Bagaimanakah jika tidak ada judul sebelum menulis? Jika beginilah keadaannya, sudah tentulah kerja-kerja menulis tidak boleh dilakukan dan selamanya ia akan hanya diperingkat angan-angan sahaja.

Sebaik-baiknya, usah pentingkan sangat mengenai judul. Percayalah judul akan dating apabila novel itu selesai ditulis. Tidak semestinya judul yang kita sediakan akan digunakan sepenuhnya oleh penerbit.

Adakalanya apabila novel itu layak diterbitkan, editor sendiri akan membuat penilaian sama ada judul yang disediakan itu sesuai atau tidak. Editor atau penerbit akan menukar judul yang diberi jika tidak sesuai.

Penulis pula harus menerima jika judul yang diberikan, ditukar dengan judul lain. Pihak penerbit lazimnya mempunyai perancangan kerana ia termasuk dalam soal pemasaran buku berkenaan.

Kemungkinan cerita dalam novel itu tidak bagus tetapi kerana judulnya yang lain daripada yang lain, menyebabkan novel itu ‘laku keras’ apabila di pasarkan.
Oleh yang demikian jangan terlalu bergantung kepada prinsip, tidak ada judul tidak boleh menulis. Tulislah manuskrip novel dahulu, apabila sudah siap barulah berfikir untuk mencari judul yang sesuai.

Kadang-kadang ada novel yang judulnya hebat tetapi ceritanya tidak sehebat judulnya. Namun dalam mencari judul novel, jangan sekali-kali memberikan judul novel yang sudah terbit.

Sebagai contoh, seperti Salina, Ranjau Sepanjang Jalan, Interlok, Hujan Pagi atau novel-novel lain yang pernah diterbitkan. Pembaca akan menjadi keliru apabila terbit sebuah novel lain berjudul Salina misalnya walaupun ia ditulis oleh penulis lain.

MENULIS DI LUAR PENGALAMAN

SAYA percaya ramai di antara kita menulis novel bergantung kepada pengalaman yang tidak dialami sendiri. Ia mungkin pengalaman orang lain atau hasil daripada kajian atau pembacaan sendiri.

Pengalaman sendiri sebenarnya memudahkan proses kreatif seseorang penulis manakala pengalaman yang tidak dialami mungkin akan lebih memaksa pengarang bekerja keras untuk mengimaginasi keadaan.

Contohnya, bagaimanakah kita hendak menuliskan latar ketika zaman pendudukan Jepun di Tanah Melayu sedangkan kita sendiri belum lahir ketika itu? Caranya ialah dengan membuat kajian, selidikan, wawancara dengan mereka yang pernah hidup pada zaman itu dan mendapatkan pelbagai sumber lagi.

Ini lebih sukar dan mengambil masa yang panjang dan tidak semua penulis sanggup melakukannya, lebih baik menulis sahaja apa yang penulis itu tahu dan pernah dialami.

Pada masa sekarang ini, bukanlah sukar sangat hendak menulis sesuatu yang berada di luar pengalaman, asalkan kita sanggup bekerja lebih sedikit mencari maklumat. Semua bergantung kepada kemampuan penulis itu sendiri.

Malah ada sesetengah penulis, walaupun memiliki pengalaman yang pernah dialami tetapi tidak mampu untuk menuliskan kembali. Dalam hal ini, tiga unsur seperti pengalaman, intelektual dan imaginasi sangat penting untuk digabungkan.

Jika ketiga-tiga ini dapat digabungkan ketika menulis sesebuah novel, sudah pasti pembaca akan percaya bahawa apa yang diceritakan oleh penulis itu sendiri memang benar-benar dialami walaupun ia sebenarnya campuran imiginasi dan pengalaman.

CARA MEMPERKAYA PENGALAMAN

MANAKAH yang penting bagi seseorang yang hendak menulis novel, kaya imaginasi atau kaya pengalaman?

Kedua-duanya memang penting tetapi yang lebih penting ialah kaya pengalaman, kedua intelektual dan ketiga barulah kaya imaginasi. Bayangkan, jika kaya imaginasi tanpa pengalaman, bagaimana seseorang hendak menulis?

Jika kaya imaginasi pula, pengarang akan menulis perkara yang berulang-ulang kerana imaginasinya tidak tajam. Bagaimanapun, asas penulisan itu sendiri harus bermula daripada pengalaman.

Pengalaman akan digaul dengan imaginasi dan intelektual akan menghasilkan satu
bentuk pengalaman yang baru.

Tetapi bagaimanakah caranya untuk memperkayakan pengalaman?
Memperkayakan pengalaman ada dua cara. Pertama pengalaman secara langsung dan tidak secara langsung. Pengalaman secara langsung ialah pengalaman yang dilalui atau dilakukan berulangkali. Contohnya seperti pengalaman bekerja, melancong dan sebagainya.

Pengalaman secara tidak langsung ialah pengalaman yang berlaku tanpa diduga, ia mungkin berlaku sesekali atau dua kali. Contohnya seperti pengalaman terlibat dalam kemalangan, pengalaman dirompak, diculik atau peristiwa-peristiwa yang tidak pernah diduga akan dialami.

Pengalaman tidak secara langsung amat berharga sekali kerana tidak semua orang akan merasai seperti merasai pengalaman bekerja. Pelbagai bentuk pengalaman yang hanya sesekali dialami wajar untuk dicatat kerana ia amat berguna jika saudara berniat untuk menulis novel.

Sebagai contoh jika saudara pernah diculik, sudah tentu saudara sendiri dapat menceritakan secara lebih terperinci berbanding dengan penceritaan secara imaginasi.

Jumaat, 21 Januari 2011

KEMAHIRAN MENGUASAI BAHASA KREATIF

BAGAIMANAKAH keupayaan bahasa saudara sebelum menulis? Adakah saudara sudah berupaya menguasai bahasa dengan baik sebelum menghasilkan sesebuah novel umpamanya?

Ramai penulis menganggap novel Bumi Manusia, Rumah Kaca dan Anak Semua Bangsa karya Pramoedya Ananta Toer memiliki keupayaan bahasa yang mengkagumkan.

Walaupun saudara tidak memiliki keupayaan bahasa yang tinggi, itu bukanlah satu masalah besar jika saudara mahu menulis novel. Pengalaman menulis lama kelamaan akan memberikan input keupayaan dan penguasaan bahasa saudara supaya lebih baik.

Oleh kerana menulis memerlukan daya ingatan yang kreatif, penguasaan bahasa yang kreatif juga perlu kerana penulisan kreatif berbeza dengan penullisan deskreatif. Penulisan kreatif memerlukan penguasaan bahasa yang baik kerana ia juga akan menghasilkan karya yang baik.

Penilaian sesebuah novel bukan sahaja bergantung kepada cerita, plot, tema dan sebagainya tetapi penguasaan bahasa juga penting. Sesiapa yang mendalami dunia penulisan kreatif akan merasai kelainan penguasaan bahasa yang digunakan di dalam bilik darjah.

Ia amat berbeza dengan cara penulisan bercorak akademik atau keagamaan. Bagaimanapun, ini bukan bermakna penulisan kreatif mengenepikan hukum hakam akademik dalam bahasa.

Cuma apa yang penting, teknik pernulisan kreatif dan bukan kreatif mempunyai perbezaan yang dapat dikesan. Kebijaksanaan penulis memanipulasi bahasa bukan bermakna merosakkan bahasa tetapi bahasa akan menjadi lebih indah kerana kreatifnya penulis untuk menggambar sesuatu berbeza dengan bukan penulis.

Sebagai contoh.
Bukan kreatif. Matahari telah terbit dari sebelah timur dan sinarnya tidak begitu panas. Embun sudah lama kering.

Penulisan kreatif: Sinar mentari menguak dari sebelah timur. Cahayanya perlahan menembusi pohonan menghijau yang bertenggek di celah perbukitan. Titis embun sudah lama melangkah pergi sebaik sahaja mentari perlahan-lahan menumpahkan sinarnya.

USAH BERHARAP PADA BAKAT SEMULA JADI SEMATA-MATA

SAUDARA berminat ingin menjadi penulis novel? Adakah saudara menyedari saudara mempunyai bakat semula jadi?

Pada asasnya semua orang memiliki bakat untuk menulis. Mereka boleh menulis sebagaimana apa yang mereka tulis ketika belajar di bangku sekolah atau universiti. Tetapi teknik penulisan yang saudara pelajari itu bukan untuk membolehkan saudara menjadi penulis.

Untuk menjadi penulis, selain bakat semula jadi, bakat yang dipupuk dan dipelajari amat penting. Kita tidak boleh berharap bergantung semata-mata kepada bakat semula jadi.

Bakat semula jadi memang perlu kerana ia yang akan dapat membezakan kebolehan atau tidak ketidakbolehan seseorang itu mengarang. Namun pada zaman sekarang ini, bakat semula jadi tidak mencukupi, seseorang penulis perlu menggali mencari sumber ilmu daripada pelbagai sumber.

Perlu diingatkan, sesebuah karya sastera tidak hanya meladeni emosi, imaginasi dan sebagainya tetapi daya keintelektulan juga perlu dipelajari. Mereka tidak boleh terkongkong atau berada di dalam satu-satu kerangka tetapi perlu keluar dari kerangka hidup dan menjalani kerangkan hidup yang lain.

Untuk mendapatkan daya keintelektualan, seseorang penulis wajar untuk ‘menghidupkan’ bakat menulis yang ada. Seumpama pokok bunga yang mesti disiram supaya dapat meneruskan kelangsungan hidupnya.

Pokok bunya akan layu, kering dan mati. Begitu juga bakat semula jadi, perlu dipupuk dan bajai supaya sentiasa berupaya melahirkan karya yang lebih baik. Menyuntikkan bakat dengan ilmu bantu juga penting kerana bakat alam perlu juga ditambah, dibajari dan disirami supaya ia lebih subur.

Seseorang pengarang sewajarnya terus belajar dan terus belajar setiap masa dan tidak sentiasa berharap dengan ilmu yang sedia ada. Dalam hidup sehari-hari kita akan bertemu dengan banyak perkara dan benda baru. Yang baru itulah sebenarnya ilmu yang kita belum ada yang perlu menyimpannya.

MENGHARGAI IDEA YANG DATANG

ADA yang menganggap ia idea, ada juga yang menganggap ia adalah ilham. Walau apapun bentuk istilahnya, bagaimanakah caranya kita untuk menghargai idea atau ilham yang datang itu.

Adakah idea atau ilham yang dating itu ada kena mengena denganapa yang sedang kita kerjakan. Maksudnya pada ketika itu kita sedang menyiapkan satu bab dalam novel, lalu kita kekeringan idea untuk menulis.

Sama ada idea atau ilham yang dating itu ada kena mengena dengan apa yang sedang kita kerjakan, sebaik-baiknya catatkan idea itu supaya ia tidak berlalu begitu sahaja. Mungkin ia tidak kita perlukan pada ketika itu tetapi percayalah ia akan berguna kepada kita pada satu ketika yang lain.

Kadang-kadang idea itu tidak datang saepenuhnya. Ia datang secara perlahan atau seikit demi sedikit. Pada asasnya idea itu hanyalah sebagai induk, selebihnya terletak kepada kita untuk mencorak, menokok tambah idea yang datang itu.

Ada kalanya idea itu datang tidak dijemput. Adakalanya juga kita menunggu idea datang tetapi idea tidak juga menjelma. Oleh itu, apabila idea itu datang, ia merupakan satu anugerah yang tidak diberikan kepada semua orang. Terimalah anugerah itu sebagaimana kita menerima anugerah tertinggi daripada pihak berwajib.
Idea itulah nanti yang akan diterjemahkan oleh penulis dan bentuk tulisan.

Oleh kerana idea atau ilham datang tanpa diduga waktunya, wajar bagi penulis untuk mengolah idea itu dan bukan menerima bulat-bulat lalu diterjemahkan dalam penulisan. Pengumpulan banyak idea kemudian disatukan dalam bentuk penulisan akan menghimpunkan daya kreatif yang berkesan.

Isnin, 20 Disember 2010

SELAMAT TAHUN BARU 2011


KEPADA semua pembaca setia blog ini, saya ingin merakamkan jutaan terima kasih dan Selamat Tahun Baru 2011. Kepada mereka yang bercadang dan berazam untuk menghasilkan novel pada tahun 2011 ini, berapakah jangkaan novel yang anda mahu tulis.

Jangan fikirkan dahulu soal sama ada dapat diterbitkan atau tidak. Apa yang penting, anda mesti menghasilkan sekurang-kurangnya sebuah novel pada suku tahun pertama tahun 2011.

Jangan menunggu novel yang pertama tadi terbit, selesai sahaja menghabiskan novel pertama tadi, teruslah merangka untuk menulis novel kedua dan seterusnya. Bolehkah anda menghasilkan tiga atau empat buah novel setahun atau sepanjang tahun 2011?

Jawabnya, BOLEH. Segala-galanya terpulang kepada anda. Banyak tema atau rangka cerita berada di seputar kita. Tugas kita untuk mengutip cerita-cerita itu dan merangkumkan menjadi sebuah novel.

Mereka yang masih samar-samar menulis novel, sila dapatkan ebook CARA MUDAH MENULIS NOVEL (CMMN) berharga RM 40.00. Anda tidak rugi memilikinya. Selain mendapat secara percuma sebuah novel bonus, anda akan dibekalkan 10 tip penulisan novel dan sebuah ebook percuma PANDUAN MENULIS NOVEL – Berdasarkan Kisah Benar.

Sila SMS 013-3635560 untuk mendapatkan maklumat lanjut atau lihat entri bulan Januari 2010 untuk mendapat cara-cara mendapatkan ebook ini.

Sabtu, 18 Disember 2010

INILAH NOVELOG 'SEMENJAK KAU DATANG' (SKD)


DALAM entri sebelum ini saya ada memberitahu mengenai novelog saya yang akan terbit. Perkembangan terakhir, novelog ini masih dalam proses percetakan. Jika tiada aral, kemungkinan novelog ini akan menemui pembaca pada awal tahun hadapan.

Novelog ini hasil perbincangan saya dengan Pengurus Besar Oasis Buku, Hajah Sri Diah. Dalam perbincangan itu beliau mahukan satu kelainan dalam penulisan novel, tidak sebagaimana yang ditulis oleh penulis sekarang.

Dalam perbincangan ini lahirlah perkataan ‘novelog’ yakni novel yang menceritakan mengenai perjalanan atau pengalaman bagaimana seorang gadis yang terjebak dengan cinta jejaka Lombok.

Bermula dengan perkenalan, seterusnya perjalanan merempuh onak dan duri menyeberang lautan dengan kapal dan bot untuk sampai ke Pulau Lombok. Segala butir-butir perjalanan disertakan dengan tiket perjalanan, peta perjalanan, tempat-tempat yang dilalui dan sebagainya.

Saya tidak boleh menceritakan lebih lanjut mengenai novel ini. Tunggulah kelahiranya nanti, dan bagaimanakah corak penulisannya. Jika anda berminat hendak menulis novelog seperti ini boleh berhubung dengan editor pernerbit novelog ini – Buku Prima.

Saya hanya boleh membantu mendapatkan maklumat dan apa-apa yang diperlukan.

SATU MANUSKRIP UNTUK SATU PENERBIT

BOLEHKAH menghantar satu manuskrip yang sama ke penerbit yang berlainan pada masa yang sama?

Jawabnya. Tidak boleh. Sama ada anda seorang penulis baru atau penulis yag sudah lama menulis, ada baiknya diambil perhatian perkara ini. Satu manuskrip novel hanya boleh dihantar kepada sebuah penerbit sahaja pada masa yang sama.

Anda boleh menghantar menuskrip yang sama kepada penerbit lain sekiranya penerbit yang pertama menolak novel anda itu. Tetapi jika ada belum ada hitam putih mengenai penolakkan, sila daptkan kepastian daripada penerbit pertama jika anda berhasrat untuk menghantar kepada penebrit lain setelah anda berasakan terlalu lama menunggu untuk diterbitkan.

Perbuatan menghantar satu manuskrip yang sama kepada dua atau tiga penerbit juga pada masa yang sama, adalah perbuatan penulis yang tidka sabar untuk mencipta nama. Akibat perbuatan yang tidak bertanggungjawab, akan menyebabkan nama penulis berkenaan disenaraihitamkan.

Saya pernah menemui kes yang seperti ini semasa menjadi editor sebuah penerbitan. Seorang penulis yang ada nama melakukan perbuatan seperti ini tanpa memberitahu terlebih dahulu penerbit pertama sedangkan pada masa yang sama itu novel itu dalam proses untuk diterbit.

Mujur juga editor pada penerbit yang satu lagi ada memberitahu saya, penulis yang dimaksudkan itu ada menghantar manuskrip yang sama dengan penerbit lain. Bayangkanlah jika manuskrip novel yang sama , ditulis oleh penulis yang sama, terbit dalam masa yang sama?

Akhirnya manuskrip berkenaan terpaksa dikeluarkan daripada senarai novel yang akan diterbitlkan. Perbuatan ini merugikan penulis sendiri.

Bagaimanapun penulis boleh menghantar manuskrip yang berlainan kepada beberapa penerbit yang berlainan dan cerita juga berlainan. Itu pun jika penulis novel berkenaan bukan tertakluk kepada syarat-syarat hanya menulis novel untuk sesebuah syarikat penerbitan sahaja.

Penulis perlu menjaga nama baik sendiri supaya hasil tulisan kita tidak dipertikaikan oleh penerbit akibat kesabaran mahu mencipta nama dalam masa yang singkat.

BOLEH HANTAR MANUSKRIP NOVEL GUNA EMAIL

SAYA ada menerima beberapa emel yang bertanyakan, bolehkah manuskrip novel yang sudah siap dihantar kepada penerbit dengan hanya menghantar fail manu skrip dengan email sahaja tanpa manuskrip bercetak?

Saya jawab begini. Dahulu sebelum adanya teknologi internet, sememangnya manuskrip yang sudah siap dihantar kepada penerbit sama ada menghantar sendiri atau dengan cara mengepos manuskrip itu kepada penerbit.

Tetapi pada masa sekarang meskipun ada kemudahan teknologi, memang tidak salah menghantar manuskrip novel melalui emel sahaja. Saya sendiri menghantar manuskrip novel menggunakan emel sahaja dan sudah pun diterbitkan. Tetapi pada masa yang sama, saya juga sertakan manuskrip bercetak untuk memudahkan editor membuat penilaian, editing dan sebagainya.

Tujuan kita menghantar manuskrip menggunakan email untuk memudahkan penerbit tidak perlu menaip semula sekiranya manuskrip itu layak diterbitkan. Berbeza dengan zaman sebelum adanya internet, mansukrip bercetak perlu dihantar, apabila layak diterbitkan, manuskrip terpaksa ditaip semula. Ini sudah tentu membuang masa.

Walaupun menghantar manuskrip novel lebih mudah dan selamat dengan cara emel, tetapi perlu diingat membaca naskah novel dalam jumlah halaman yang beratus-ratus halaman, mungkin menjemukan sesetengah editor.

Sesetengah editor masih memerlukan manuskrip novel bercetak di samping manuskrip yang dikirim melalui emel sahaja. Bagi saya, cara yang sebaik-baiknya ialah mengirimkan manuskrip bercetak juga manuskrip yang dihantar melalui emel.

Khamis, 16 Disember 2010

TEKNIK MENULIS NOVEL YANG JARANG DIGUNAKAN

KITA mungkin pernah membaca atau belum, novel yang ditulis menggunakan sudut pandangan orang pertama pada satu bab. Kemudian pada bab seterusnya menggunakan sudut pandangan pertama juga tetapi watak yang berlainan. Begitulah seterusnya bab 3 atau 4 menggunakan nwatak-watak yang berlainan. Kemudian kembali semula kepada watak yang pertama pada bab awal tadi.

Sebagai contoh, pada bab 1, watak A akan memperkatakan hubungannya dengan watak B contohnya dan watak-watak lain, kemudian pada bab 2 pula Watak B akan memperkatakan hubungannya dengan watak A atau watak-watak lain.

Seterusnya pada bab 3, watak C pula memperkatakan hubungannya dengan watak A atau B. Untuk bab-bab seterusnya pengarang menampilkan setiap watak yang berbeza menggunakan sudut pandangan orang pertama iaitu ‘aku’ atau ‘saya’.

Menulis novel menggunakan teknik seperti ini agak rumit jika tidak biasa dan tidak membuat kajian terlebih dahulu. Sebab itulah ramai pengarang muda hari ini lebih suka menulis novel menggunakan sudut pandangan orang ketiga kerana ia lebih mudah untuk mengolah dan menyusun watak.

Bagi penulis baru, mereka boleh mencuba jika ingin mencari kelainan dalam karya mereka. Jika mereka kurang jelas teknik yang dibincangkan ini, cuba cari novel-novel lama yang menggunakan teknik sedemikian. Sepanjang pengetahuan saya, kebelakangan ini saya tidak menjumpai novel yang menggunakan teknik seperti ini.

Bagi mereka yang sudah biasa menulis novel, cuba-cubalah menggunakan teknik ini. Teknik ini tidaklah sesukar mana asalkan pengarang bijak menyusun cerita supaya ia tidak ‘tunggang terbalik’ dan memeningkan pembaca memahaminya.

Sabtu, 4 Disember 2010

MANA LEBIH MUDAH: TULIS CERITA SEDIA ADA ATAU REKAAN

YANG manakah lebih mudah, menulis novel berdasarkan cerita yang sudah ada atau cerita yang direka sendiri? Berdasarkan kepada pengalaman penulis, menulis cerita berdasarkan cerita yang sudah ada adalah lebih mudah berbanding dengan cerita yang direka sendiri.

Ini kerana cerita yang sudah ada ibarat landasan atau laluan yang akan kita tempuh untuk ke satu-satu tempat. Bagaimana pula jika kita ingin ke sesuatu tempat sedangkan kita sendiri tidak tahu arah atau laluannya?

Hal ini samalah dengan menulis sesebuah novel sedangkan kita tidak tahu apakah cerita yang hendak dituliskan. Kita terpaksa mereka cerita, sesudah lakaran cerita iytu siap, barulah kerja-kerja menulis boleh dimulakan.

Cerita sedia ada yang dimaksudkan ialah cerita yang terdapat di dada-dada akhbar setiap hari. Kita boleh ambil cerita yang disiarkan itu kemudian diolah dengan cara sendiri tetapi masih berdasarkan cerita yang dipaparkan. Samada ada kita mahu ambil cerita itu keseluruhan atau kita menokok tambah, terpulanglah kepada kita untuk menuliskannya.

Cuma apa yang penting di sini, janganlah ambil cerita itu bulat-bulat, intipati cerita masih sama tetapi tukarkan nama-nama watak atau tempat. Sekiranya anda seorang yang bijak mengolah cerita, anda boleh empat atau lima cerita yang disiarkan di akhbar itu kemudian cantum dan susun semula sehingga ia menjadi sebuah cerita.

Saya percaya cerita itu akan saling berkaitan jika anda bijak mengolah. Sebagai contoh ambil kisah ini.

Cerita 1: Menegenai seorang peragut yang ditangkap polis.
Cerita 2: Mengenai seorang ibu dan anak yang hidup dan kemiskinan.
Cerita 3: Seorang wanita kaya yang sombong baru keluarkan wang dari mesin ATM kemudian diragut.
Cerita 4: Seorang anak kecil yang berpenyakit kronik dan perlukan wang untuk rawatan.
Ceriat 5: Seorang ibu tua di kampong yang bertahun mengharapkan kepulangan anak lelakinya.

Jika anda bijak mengolah, keratan akhbar di atas boleh diolah menjadi sebuah cerita.

KELEMAHAN SESEBUAH NOVEL

MEREKA yang sudah biasa membaca novel, pasti akan dapat mengesan kelemahan sesebuah novel. Tetapi bagi pembaca biasa yang hanya sekadar ingin tahu cerita sesebuah novel, sudah tentu tidak dapat mengesan di mana kelemahan.

Mungkin mereka hanya akan berkata, “Cerita dalam novel ini tak menariklah.” Apabila diminta pendapat mengenai novel yang sudah dibacanya.

Bagi mereka yang bercadang menulis novel, apa yang akan diterangkan ini mungkin boleh dijadikan panduan.

1) Watak utamanya tidak aktif atau menonjol, sebaliknya watak pembantu pula yang menonjol kecuali jika memang penulis sengaja mahu menjadikan watak utamanya lemah.

2) Tidak ada konflik besar atau kecil yang menjadikan jalan cerita boleh dipecah-pecahkan atau ia hanya sekadar sebuah cerita mendatar. Pergerakan ceritanya perlahan, tidak ada isu yang membuatkan pembaca tertanya-tanya atau sesuatu yang mengejutkan.

3) Pengarang kurang bijak di mana mahu mencetuskan konflik dan di mana mahu menyelesaikan.

4) Watak utamanya tidak digambarkan sesuatu yang hebat dan mampu berhadapan dengan pelbagai rintangan sebelum menempuh kejayaan.

5) Setiap bab yang dipaparkan tidak ada konflik seolah-olah ia sebuah cerita karangan yang tidak ada hubungkait dengan bab-bab sebelum dan sesudahnya.
Sebenarnya banyak lagi kelemahan jika hendak dikaji tetapi pada asasnya, apa yang diterangkan di atas boleh dijadikan panduan.

EMOSI DALAM NOVEL

BAGAIMANAKAH caranya untuk menimbulkan kesan emosi ketika menulis novel? Di antara kesan emosi yang ada di dalam diri manusia ialah marah, sedih, benci, geram, ego, sombong dan banyak lagi. Kesan emosi seperti ini sememangnya amat penting sama ada dituturkan di dalam dialog, monolog atau dalam ayat penerangan.

Untuk lebih berkesan ketika menuliskan babak marah misalnya, perlukah penulis mesti ada perasaan marah kmenulis novel itu? Bagaimanakah hasil tulisannya kerana ketika menulis, dia dalam keadaan santai? Tidak marah atau sedang ketawa.

Walaupun ketika itu penulis tidak dalam keadaan marah, sudah tentu sebelum ini penulis pernah merasai keadaan marah, contohnya marah kepada kawan, kepada isteri, anak-anak atau sesiapa sahaja. Dalam hal ini menjiwai perasaan watak adalah penting.

Pengalaman marah itu tentu sahaja boleh diaplikasi ketika menulis novel. Kata-kata atau dialog ketika seseorang sedang marah biasanya pendek-pendek, bernada keras di samping raut muka yang tegang berselirat.

Begitu juga dengan perasan lain. Penulis sudah tentu pernah mengalami detik romantik, sedih, geram, mencemaskan dan sebagainya. Ketika dalam suasana romantik, penulis sudah tentu dapat membayangkan apakah kata-kata yang wajar dilafazkan.

Bagaimanapun mungkin kesan emosi itu akan lebih ‘real’ jika ketika sedang menulis novel, pengarang benar-benar sedang dalam situasi marah, sedih, geram dan sebagainya.

Tetapi bagi sesetengah pengarang, bolehkah dia menulis ketika perasan marah sedang melanda jiwanya, begitu juga dengan emosi-emosi lainnya? Sesetengah pengarang hanya akan menulis ketika suasana tenang kerana ketika itu emosi boleh dibentuk dengan mudah, tetapi tidak mampu berkarya ketika fikiran sedang berserabut.

Sekiranya ingin menulis babak marah, pengarang akan membayangkan bagaimanakah perilakunya ketika dia sedang memarahi seseorang.

Sebagai kesimpulannya, boleh menulis ketika emosi seseorang sedang bergolak seandainya pengarang memang pernah melakukannya. Tetapi bagi pengarang yang tidka pernah melakukannya, kesan emosi dalam penulis boleh dilakukan dengan lebih penghayatan mata dan fikiran.

Jumaat, 19 November 2010

NOVELOG SEMENJAK KAU DATANG (SKD)

NOVELOG?

Tak pernah mendengar perkataan itu sebelum ini. Tetapi TRAVELOG pernah mendengarnya. Travelog merupakan satu catatan perjalanan ke sesuatu tempat yang disampaikan dalam bentuk kretaif tetapi masih berpandukan kepada fakta dan buka disampaikan secara imaginasi.

Manakala Novelog pula merupakan sebuah novel yang disampaikan hasil gabungan imaginasi dan fakta. Nama-nama tempat di mana sesuatu peristiwa itu berlaku adalah benar sementara ceritanya pula boleh juga berdasarkan kisah benar atau kisah rekaan.
Saya baru sahaja menyiapkan sebuah Novelog yang bakal diterbitkan oleh Prima Buku.

Jika tidak ada aral melintang Novelog berkenaan akan terbit selewatnya tahun ini atau awal tahun hadapan. Pada pengamatan saya, inilah pertama kali sebuah novelog diterbitkan. Sebuah novel yang menggabungkan catatan perjalanan daripada kisah benar.

Sebuah novelog yang bertajuk Semenjak Kau Datang merupakan kisah benar bagaimana seorang gadis remaja dilarikan oleh jejaka dari Pulau Lombok dan bernikah di sana. Novel ini bermula dari kisah perkenalan sehinggalah detik-detik perjalanan yang mengharungi pelbagai dugaan di lautan dan kembali semula ke Malaysia.

Jika ingin mengetahui cara penyampaiannya dan apakah yang dikatakan novelog itu, tunggulah kemunculannya nanti dalam masa terdekat.

KETAJAMAN IMAGINASI DAN ILMU

DI DALAM konteks penulisan imaginasi merupakan ketajaman fikiran seseorang penulis untuk mewujudkan suatu suasana di dalam karya tanpa berada di tempat yang sedang digambarkan.

Sebagai contoh seorang penulis menggunakan imaginasinya sedang mengambarkan suatu keadaan di balai ketibaan sebuah lapangan terbang sedangkan ketika menulis itu dia sedang berkarya di dalam biliknya.

Selain menggunakan imaginasi (sebaik-baiknya penulis pernah berada di mana situasi itu sedang digambarkan), penulis boleh menggunakan gambar rakaman video, gambar-gambar dan medium lain yang berkaitan.

Sesudah memperolehi medium untuk menggambarkan suasana sedemikian, ilmu bagaimana untuk memindahkan di dalam bentuk tulisan amat penting. Jika diberikan tugasan kepada 10 orang untuk menggambarkan bagaimanakah keadaan balai ketibaan di seuah lapangan terbang, sudah pasti akan melahirkan 10 gambaran yang berbeza.

Untuk menjadi seseorang penulis yang berilmu di dalam berimaginasi, mereka sewajarnya luas pengalaman, banyak membaca, banyak mengkaji, rajin mengembara, berkomunikasi dengan ramai orang dan sebagainya.

Tidak semestinya seseorang penulis mesti berada di tempat di mana suatu gambaran hendak dituliskan di dalam novelnya, tetapi jika pernah berada di tempat berkenaan, itu adalah sebaik-baiknya.

Tetapi jika tidak pernah, selain menggunakan medium yang disebutkan di atas, penulis juga tajam pendengaran, tajam pemerhatian. Seseorang penulis akan dilihat ketajaman imaginasinya apabila dapat menggambarkan suatu keadaan dengan begitu ‘real’ sekali meskipun tidak pernah berada di tempat berkenaan.

BAKAT DAN MINAT DUA PERKARA BERBEZA

ADA orang minat menulis tetapi sesudah mencuba berkali-kali masih juga gagal. Ini kerana mereka tidak ada bakat. Minat dan bakat, dua perkara yang berbeza. Ada minat tidak semestinya ada bakat menulis.

Contohnya, daripada sekian banyak mereka yang menghadiri bengkel penulisan novel contohnya, hanya beberapa orang sahaja yang mampu menghasilkan novel. Yang lain kerana mempunyai minat tetapi tidak berkebolehan menulis kerana tidak ada bakat.

Bagaimanapun, jika ada bakat, minat wajib ada kepada mereka yang ingin menulis novel. Bakat boleh dipupuk, begitu juga dengan minat. Ada sesetengah orang yang tidak bemrinat dengan sesuatu perkara tetapi apabila didedahkan beberapa dengan perkara berkenaan, akhirnya mereka berminat.

Apabila sudah ada minat, bakat harus dipupuk. Ada sesetengah mereka yang tidak ada bakat tetapi apabila diberi pendedahan, akhirnya mereka berkemampuan untuk menulis.

Walaupun bakat dan minat dua perkara yang berbeza tetapi dua perkara ini boleh diletakkan di aras yang sama. Oleh yang demikian bakat dan minat harus seiringan jika ingin menghasilkan novel.

Minat ada tetapi bvakat tidak ada, novel tidak akan terhasil. Bakat ada tetapi minat tidak dipupuk selalu, akhirnya bakat akan lenyap begitu sahaja. Bayangkan di dalam satu-satu bengkel penulisan novel boleh dihadiri lebih kurang 40 orang, adakah kita yakin 40 orang ini mampu menghasilkan novel?

Jawapannya pasti tidak. Mungkin hanya beberapa orang sahaja yang betul-betul berminat dan berbakat akan muncul sebagai penulis novel yang berjaya.

PERLUNYA KETAJAMAN FIKIR PENULIS NOVEL

PERLUKAH seseorang penulis novel itu membuat rujukan atau pergi ke tempat di mana latar novel yang sedang dituliskannya supaya cara penyampaiannya lebih berkesan?

Saya sebenarnya banyak menerima soalan seperti ini daripada mereka yang bercadang menulis novel. Ada dua jawapan di sini. Pertama perlu dan kedua tidak perlu.
PERLU di sini membawa maksud, sekiranya penulis ada masa, ada sumber kewangan dan perlu membuat rujukan, ada baiknya ke tempat yang diambil sebagai latar sebuah cerita. Sebagai contohnya, peristiwa berlaku berlatar belakang Gunung Merapi di sebuah perkampungan yang teruk menerima kesan bencana itu.

Jika penulis ada peluang, ada masa, memang lebih baik pergi sendiri ke tempat berkenaan supaya latar cerita yang hendak disampaikan lebih ‘real’ seolah-olah penulis berada di tempat kejadian semasa letupan gunung Merapi berlaku.

Penulis akan dapat gambaran yang jelas, apakah sebenarnya yang berlaku dan bagaimana keadaannya setelah melihat dengan mata kepala sendiri. Tugas seperti ini sudah tentu memerlukan perbelanjaan yang tinggi. Jika penulis ada kemampuan, apa salahnya.

TAK PERLU jika penulis tidak ada kemampuan untuk sampai ke tempat berkenaan. Rujukan boleh dibuat melalui keratan akhbar, internet dan sebagainya. Mungkin cara begini kurang ‘real’nya tetapi jika penulis tajam daya imaginasinya, sudah tentu ia akan lebih berkesan.

Ramai juga penulis yang menggambar latar sesuatu tempat tanpa pergi ke tempat berkenaan, tetapi mereka harus mencari sumber rujukan supaya tidak tersalah fakta. Sebagai contoh jika mahu menjadikan peristiwa letupan gunung berapi di kepulauan Indonesia, sekurangnya penulis mesti tahu, ada berapa jumla gunung berapi yang aktif di negara itu.

Di antara banyak gunung bereapi itu, gunung manakan yang paling tinggi dan yang paling aktif. Sebagai penulis, kita tidak wajar untuk membuat andaian tanpa berdasarkan rujukan. Jika ini dilakukan, ia akan menggambarkan bahawa penulis tidak membuat persiapan rapi sebelum mengambil satu-satu tempat sebagai latar dalam novelnya.

Isnin, 1 November 2010

MESTI BERANI LAKUKAN EKSPERIMEN

APA yang penting, karya itu menjadi sebuah novel, ada cerita, ada dialog, ada ayat penerangan dan lain-lain yang diperlukan. Begitulah kata seorang penulis yang sedang menghasilkan sebuah novel apabila ditanya sama ada berani atau tidak membuat eksperimen atau menggarap sesuatu yang baru terhadap novel yang sedang dihasilkan.

Daripada penjelasan itu, ternyata penulis berkenaan tidak berani lagi membuat eksperimen atau sesuatu yang baru di dalam karya novelnya. Apatah lagi penulis novel itu masih tidak faham, apakah yang dimaksudkan dengan eksperimen atau pembaharuan itu.

Setahunya, selama ini dia membaca novel-novel hanya sekadar ingin tahu jalan cerita dan tidak pernah mempersoalkan bagaimanakah penulis novel itu mempersembahkan ceritanya.

Eksperimen atau pembaharuan boleh disifatkan seperti menampilkan kepelbagaian teknik dan penulisan untuk mempertingkatkan kesan dan mesej yang hendak disampaikan.

Kepelbagaian teknik yang dimaksudkan ialah dengan memasukan unsur-unsur imbas kembali, imbas muka, monolong, monolog dalaman dan sebagainya sementara meleraikan cerita dengan satu kejutan, lain daripada kebiasaan yang dijangkakan.

Ketidakberanian untuk mencuba kepelbagaian teknik menulis novel itu kerana bimbang akan menemui kegagalan dan ilmu yang kurang mencukupi untuk meredah belantara eksperimen yang lazimnya hanya berani diterokai penulis novel yang sudah mahir.

Sesebuah novel yang mampu mencuit hati pembaca harus ada nada penceritaan yang pelbagai. Mungkin ia lebih berbentuk ironis, satira atau melodrama. Semua ini sememangnya memerlukan kemahiran yang hanya mampu diperolehi dengan melakukan percubaan dan penulis mesti berani melakukannya.

Sesetengah penulis novel pula mempersoalkan, mengapa perlu melakukan pelbagai eksperimen? Bukankah ia akan memeningkan pemikiran? Tulislah novel yang mudah asalkan ada permulaan cerita, ada konflik dan ada penyelesaikannya, tidak kiralah bagaimana cara menulisnya.

Jawapannya, jika anda mahu menjadi penulis novel yang mampu melonjakkan karya anda berbanding penulis novel lain, anda harus berani melakukan sesuatu yang lain dan jangan mengekori jalan yang sudah dilalui oleh penulis lain sebelum ini.

ISU CINTA HANYA SEBAGAI PERENCAH NOVEL

SEORANG penceramah di dalam satu bengkel penulisan novel yang menjalankan kajian terhadap 50 buah novel yang dipilih mendapati 68% peratus novel yang dikaji itu memaparkan tema cinta. Menurutnya, oleh kerana novel cinta mempunyia nilai komersil, membuatkan semua penerbit novel termasuk DBP menerbitkan novel seperti ini.

Apa yang menyebabkan penerbit dan penulis menghasilkan novel sedemikian, kerana permintaan daripada pembaca sendiri yang mahukan novel yang ringan, tidak membebankan fikiran mereka dengan memikirkan novel yang berat-berat.

Di antara novel-novel yang termasuk di dalam senarai kajian merupakan novel yang sudah diulang cetak sehingga lapan kali. Ini membuktikan bahawa permintaan pembaca terhadap novel-novel seperti ini sentiasa mendapat tempat.

Tema cinta yang dimaksudkan di dalam kajian itu termasuklah sama ada cinta pandang pertama, cinta terhalang, putus cinta, cinta di antara dua darjat, cinta yang tidak kesampaian dan pelbagai lagi jenis cinta yang sememangnya dialami oleh setiap orang.

Walaupun ada novel-novel yang mengungkapkan isu lain yang lebih besar, namun isu cinta masih juga digarap sebagai penambah rencah resepi novel dan tidak lengkap jika sesebuah novel tidak diselitkan dengan isu cinta walaupun hanya dikesampaingkan.

Barangkali bukan satu yang wajar untuk menghalang para penulis novel supaya tidak menulis novel yang bertemakan cinta tetapi tema cinta wajar dijadikan bingkai sementara isu yang lebih besar dijadikan sandaran utama sesebuah novel.

Ibarat sesuatu resepi makanan, garam itu ibarat cinta yang harus ada tetapi jika terlalu banyak garam sudah tentu akan menghilangkan keenakannya kerana bahan-bahan lain juga harus ada cuma kuantitinya yang perlu diambil kira.

Kesimpulannya, keseimbangan isu cinta dan isu-isu lain wajar ditetapkan kuantitinya supaya sesebuah novel itu tidak lebih berat kepada cinta tetapi hanya sebagai perencah untuk menyedapkan cerita.

NOVEL YANG BAIK HARUS MEMILIKI NILAI

SEBUAH novel yang baik harus mempunyai nilai. Begitu di antara yang ditekankan oleh *Pengerusi laporan Panel Hakim Hadiah Sastera Exxon Mobil 2006 ada menyenaraikan beberapa nilai yang harus ada pada hasil karya yang baik. Nilai–nilai ini harus ada di dalam sesebuah karya sastera termasuklah novel.

Nilai-nilai yang dinyatakan itu ialah:
1. NILAI KOGNOTIF iaitu karya yang mampu menjana daya taakulan pembaca dan menawarkan pengalaman estetik.

2. NILAI PEMIKIRAN iaitu karya yang mampu mengemukakan karya positif, bervariasi atau sebaik-baiknya bervisi besar walaupun persoalannya berlatarbelakangkan tempatan, karya dapat juga berdialog di peringkat antarabangsa.

3. NILAI AKHLAK iaitu karya yang dapat menyumbangkan kepada pembinaan sahsiah khalayak.

4. NILAI KEPRIHATINAN iaitu karya yang peka terhadap aspirasi nasional, dinamika sosial dan isu kemanusiaan sejagat.

5. NILAI BAHASA iaitu karya yang memiliki bahasa indah, kreatif, imaginatif dan berkesan , kuat menunjang tema , bukan sahaja membawa makna cerita, bahkan bahasa itu sendiri merupakan idea, pemikiran dan ideologi.

6. NILAI KREATIVITI iaitu karya yang mengungkapkan idealisme dan pemikiran yang asli dan fasih serta berupaya membawa makna berlapis dan tafsiran yang pelbagai.

7. NILAI KESEIMBANGAN iaitu karya yang terbina secara harmonis antara subjek dan teknik dan pengolahan.

*(Warna Perang, Nor Azah Abd Aziz dan Rozlan Mohamed Noor, Utusan Publication & Distributors Sdn. Bhd, 2007).

Bagi mereka yang bercadang menulis novel untuk sayembara, boleh menjadikan nilai-nilai yang disebutkan di atas sebagai panduan asas di samping memperbaiki lagi hasil penulisan supaya lebih mantap dan berjaya menarik perhatian ahli panel sayembara.

Sabtu, 9 Oktober 2010

EBOOK CARA MUDAH MENULIS NOVEL MASIH BOLEH DIMILIKI



SAYA masih menerima SMS dan emel yang bertanyakan adalah ebook Cara Mudah Menulis Novel yang saya hasilkan masih dijual lagi? Dan adakah ebook ini boleh didapati di kedia-kedai buku?

Ya, ebook Cara Mudah Menulis Novel masih dijual lagi. Harganya masih sama iaitu RM 40.00. Mereka yang ingin memilikinya boleh menulis emel atau SMS ke 013-3635560 untuk mendapatkannya atau melayari blog ini kerana semua makluman mengenai pembelian ebook ini ada dinyatakan.

Mereka yang membeli ebook ini akan menerima satu novel percuma sebagai bonus pembelian berjudul ‘Sebening Airmata’ selain 10 Tip Bimbingan Menulis Novel yang akan dikirimkan secara berperingkat-peringkat.

Anda tidak rugi memiliki ebook CARA MUDAH MENULIS NOVEL ini kerana banyak manfaat yang akan anda perolehi. Anda akan diterangkan sesuatu topic bersertakan contoh sekali untuk mudah difahami.

Mereka yang ingin memiliki ebook PERCUMA Panduan Menulis Novel – Berdasarkan Kisah Benar juga masih boleh berbuat demikian. Anda boleh emelkan permintaan anda itu ke alamat: mnasd_326@yahoo.com atau SMS ke 013-3635560 dengan memberikan alamat emel anda.

Selain itu, sebuah lagi ebook yang masih boleh dimiliki ialah 50 TIP PANDUAN MENULIS NOVEL berharga RM 20.00. Ebook ini mengandungi tip-tip yang berguna kepada mereka yang ingin menghasilkan novel.

DIALOG DALAM NOVEL ADALAH ISI HATI PENGARANGNYA

APA jua dialog yang dihasilkan oleh penulis, kesemuanya adalah hasil dari hati nurani penulisnya. Jika dialog itu dituturkan oleh seorang pengemis, seorang pelacur, seorang tokoh agama dan sebagainya, semuanya dihasilkan dari hati nurani penulisnya. Penulis boleh menjadi watak apa sahaja di dalam novelnya.

Oleh yang demikian penulis wajar memiliki batasannya ketika menyelami watak-watak yang ditulisnya. Itulah kelebihan penulis yang jarang ada pada orang lain. Penulis boleh menjadi sepuluh watak atau lebih di dalam novelnya.

Sempadan atau batasan tidak wajar dicampur adukan. Sebagai contoh adegan seorang guru agama sedang menasihati seorang pelacur supaya bertaubat. Pada masa yang sama penulis menyelami watak guru agama. Ketika menyelami watak guru agama, penulis harus menjadi seorang guru agama dan bukannya seorang pelacur untuk menyampaikan tazkirahnya.

Selesai menyampaikan tazkirahnya, penulis juga kemudian menyelami watak seorang pelacur yang ingin kembali ke jalan yang benar. Pada ketika ini, penulis akan meletakkan dirinya sebagai pelacur.

Kadang-kadang tanpa disedari, pelacur pula yang memberi nasihat kepada guru agama untuk kembali ke jalan yang benar. Begitu juga sebaliknya. Bagaimanapun hal seperti ini jarang-jarang berlaku kerana sebagai penulis, mereka harus bijak meletakan dirinya pada pihak yang mana ketika berdialog.

Sebab itulah ketika menuturkan dialog harus ada pro dan kontra. Siapa yang pro dan siapa yang kontra, penulis juga yang menetapkan wataknya. Jika watak A yang kontra, watak B yang pro, jangan pula pada adegan selepasnya berlaku keterbalikan. Pembaca akan menjadi keliru. Bagaimanapun, hal-hal seperti ini akan dapat diperbetulkan setelah manuskrip siap, dan kerja-kerja membaca semula atau mengedit dilakukan sebelum manuskrip dihantar ke penerbit.

CONTOH DIALOG BERKONFLIK

MASIH lagi membicarakan fasal dialog.

Sebelum ini sudah dibincangkan mengenai dialog kosong dan dialog berisi. Kali ini akan dibincang mengenai dialog ada konflik dan dialog tiada konflik. Bagaimanakah ingin mengetahui dialog ada konflik dan dialog tiada konflik.

Dialog lazimnya diucapkan oleh dua watak atau lebih.Jika satu watak yang beridalog, itu dinamakan monolog dalaman, di mana watak akan berkata-kata dengan dirinya. Hal ini akan dibincangkan pada lain ketika.

Contoh dialog tiada konflik. Katakanlah A bertemu dengan B di sebuah pasaraya. Perbualan itu mungkin seperti ini.

“Kau apa khabar?” A bertanya.

“Baik. Kau pula apa khabar?” B menjawab dan bertanya soalan yang sama.

“Anak berapa orang?” A bertanya lagi.

“Empat orang. Dua lelaki dan dua perempuan.” B menjawab.

Contoh dialog di atas jelas tiadak ada konflik dan dialog kosong yang tidak ada konflik. Cuba pula bandingkan dengan dialog berikut. Kisahnya masih
sama, pertemuan di antara A dan B di sebuah pasaraya.

“Hei Kimi, apa khabar?” Haikal bertanya setelah lama tidak menegur.

“Baru sekarang nak tanya khabar? Selama ini bila kau Nampak aku dari jauh, kau pura-pura pandang tempat lain. Kau ingat aku tak perasaan?” Hakimi menjawab sambil memandang wajah Haikal yang nampak berubah.

“Kau sengaja nak cari fasal, Kimi. Perkara dah lepas, biarlah lepas. Aku pun tak nak fikirkan peristiwa lalu. Aku ingat kau pun sama tapi nampaknya kau masih nak berdendam,” balas Haikal memandang kea rah lain.

“Aku tak boleh lupa apa yang pernah kau buat pada aku dulu, Sampai sekarang pedihnya masih terasa, kau tahu tak?”

“Bukankah aku dah minta maaf. Kau pun dah maafkan. Apalagi yang kau mahu?”

Dialog di atas ialah dialog berisi yang ada mesej. Babak di atas boleh dikembangkan pada bab-bab selepas ini dengan mewujudkan peristiwa yang telah berlaku sehingga tercetus adegan ini dan apa yang akan berlaku seterusnya.

Anda tentu boleh bezakan dua contoh dialog yang diberikan. Adegan di atas boleh diteruskan atau dimatikan sahaja di mana kesinambungannya ditulis pada bab-bab selepas ini.

Bolehlah dibuat kesimpulan, apabila dua watak sedang menuturkan dialog biarlah ada pententangan pendapat, barulah wujud konflik bukannya watak hanya mengiakan sahaja apa yang dikatakan oleh watak seorang lagi.

Jumaat, 8 Oktober 2010

MENGENALI KELEMAHAN NOVEL

SEBAGAI penulis novel, mungkin kita sendiri tidak menyedari kelemahan novel kita tulis. Oleh yang demikian, para pembaca yang mahir sahaja dapat melihat di mana kelemahan novel. Sekiranya novel itu belum diterbitkan, mungkin ia boleh diperbaiki tetapi jika sudah terbit barulah disedari kelemahannya, cuba baiki kelemahan itu pada novel akan datang.

KELEMAHAN BAHASA
Kelemahan ini dapat dilihat sebaik sahaja kita mula membaca novel berkenaan. Sama ada bahasanya sesuai atau tidak dengan sasaran membaca, penilaian boleh dipastikan ketika ini.

KELEMAHAN PENGOLAHAN
Kelemahan seperti ini hanya dapat dipastikan apabila kita selesai membaca novel itu sama ada membaca sebehagian novel atau keseluruhan novel ini. Pengolahan yang tidak tersusun akan mengelirukan pembaca. Ini berlaku kerana penulis tidak menyediakan format atau garis panduan sebelum menulis novel.

KELEMAHAN WATAK UTAMA
Menenggelamkan peranan watak utama sebaliknya watak pembantu pula yang menonjol akan menjejaskan novel ini. Watak utama wajar diberi peranan yang lebih sesuai dengan wataknya, watak pembantu hanya sebagai pendokong.

KELEMAHAN JALAN CERITA
Penulis tidak mewujudkan persoalan atau konflik sehingga kelihatan perjalanan novel mendatar. Sebaik-baiknya perjalanan novel ada turun naik seperti geraf dan persoalan demi persoalan ditonjolkan sehinggakan pembaca tidka sabar untuk mengetahui apakah yang akan berlaku selanjutnya.

KELEMAHAN JIWA WATAK UTAMA
Watak utama digambarkan sebagai orang yang lemah, tidak bersemangat tidak sesuai dengan peranannya sebagai ‘hero’. Hero ialah orang yang kuat, tabah, sedia berhadapan dengan cabaran di mana akhirnya mencapai kejayaan walaupun pada awalnya lemah tetapi akhirnya bangkit dan mencapai kemenangan.

Apa yang dinyatakan di atas merupakan kelemahan sesebuah novel yang dapat dikesan. Tetapi sebenarnya banyak lagi kelemahan yang boleh diperolehi jika seseorang rajin membuat kajian.

Sebagai latihan, cuba baca sesebuah novel kemudian catatkan apakah bentuk kelemahan itu. Kemudian buat pula catatan bagaimanakah pula untuk mengatasi kelemahan itu. Penulis novel seperti juga manusia lain, ada kelemahan dan ada kehebatannya. Mencari kelemahan dan cuba mengatasi kelemahan itu akan mematangkan penguasan terhadap penulisan novel.

KEPENTINGAN BAB AWAL NOVEL

JIKA anda berhajat ingin menyertai mana-mana sayembara menulis novel, jangan abaikan kepentingan bab-bab awal novel. Bab-bab awal novel seperti bab 1,2,3,4 dan 5 perlu diberi perhatian. Ini kerana bab awal merupakan magnet atau daya penarik untuk ahli panel membaca keseluruhan cerita.

Bayangkan jika bab 1 sehingga bab 4, ahli panel masih tidak dapat menangkap apa yang hendak disampaikan oleh penulis dalam novelnya. Kegagalan penulis akan menyebabkan ahli panel tidak meneruskan pembacaan kerana merasa bosan dan penulis lambat hendak menyampaikan mesej.

Perlu diingatkan setiap ahli panel bukan hanya membaca sebuah novel sahaja, mungkin lebih daripada 10 manuskrip. Untuk menjimatkan masa, hanya novel-novel yang menarik sahaja akan mendapat perhatian.

Sekira pada bab pertama, ahli panel sudah dihidangkan dengan kejutan, suspen dan mendebarkan sudah tentu ahli panel akan tertarik untuk mengetahaui apakah yang akan berlaku seterusnya.

Bagaimanapun untuk memastikan bab-bab awal mengandungi mesej dan kejutan, ia memerlukan kemahiran penulis mengolah cerita di mana setiap bab akan diakhiri dengan persoalan. Persoalan itu pula akan dijawab pada dua atau tiga bab selepas itu.

Untuk memahirkan diri mengetahui teknik seperti ini, penulis disarankan agar membaca novel-novel yang pernah memenangi sayembara. Kaji gaya penulisan, pengolahan, bahasa dan sebagainya.

Di dalam satu-satu sayembara pihak penganjur akan menerima puluhan manuskrip. Sekiranya manuskrip anda berjaya termasuk dalam sepuluh yang terbaik, di peringkat akhir, itu sudah cukup membanggakan.

Oleh yang demikian kepada yang berniat ingin menyertai mana-mana sayembara penulisan novel, pastikan bab-bab awal novel anda itu mampu memikat ahli panel untuk membaca sehingga ke akhir.

DIALOG BERISI DAN DIALOG KOSONG

APAKAH dialog berisi dan dialog kosong?

Dialog berisi ialah dialog yang mengandungi mesej yang hendak disampaikan atau dialog yang mengandungi konflik dan perlu diselesaikan. Manakala dialog kosong ialah dialog yang tidak mempunyai mesej atau konflik yang tidak perlu ditonjolkan. Dialog yang tidak penting ini kadang-kadang disebut juga ‘dialog klise’ yang tidak ada kena mengena dengan jalan cerita. Jika tiada, ia tidak menjejaskan jalan cerita.

Contoh dialog penting:

“Apakah pesakit skizofrenia ini akan mengalami kesakitan sepanjang hayatnya dan tidak boleh disembuhkan, doktor?” Encik Fairuz inginkan kepastian daripada doktor yang merawat anak gadisnya.

“Skiofrenia ialah penyakit kecelaruan mental yang serius di mana tanda-tanda seseorang itu akan mengalami kemerosotan tugas dan peranannya sebagai manusia yang produktif,” jawab Dr. Iz Taufik, doktor pakar yang merawat Iffah Filzah.

“Apakah penyakit ini boleh mempengaruhi pemikiran pesakit itu doktor?” Tanya Encik Fairuz lagi.

“Ya, pesakit yang menghidapi penyakit ini boleh mempengaruhi emosi, persepsi, tingkahlaku, personality dan pemikiran,” jawab Dr. Iz Taufik sambil memandang wajah Encik Fairuz yang resah memikirkan masa depan anak gadisnya.

Contoh dialog di atas adalah fakta yang memerlukan kesimbungan cerita apakah yang berlaku selepas itu dan apakah yang menyebabkan seseorang itu terjebak dengan penyakit itu. Kesimbangungan cerita di atas tidak semestinya berkahir pada babak berkenaan sahaja tetapi wajar juga diselitkan pada bab-bab seterusnya.

Contoh dialog kosong:

“Man, kau apa khabar, lama tak jumpa?” Idrus bertanya kepada Man ketika terserempak di sebuah pasaraya.

“Aku baik saja. Kau apa khabar? Sejak kita habis kursus setahun lepas, kau tak hubungi aku. Kerja di mana sekarang?” Man bertanya sambil bersalaman.

“Aku macam nilah. Sejak habis kursus keusahawanan dulu, aku bisnes kecil-kecilan. Tapi nasib aku malang, bisnes aku gagal,” ujar Idrus seolah-olah kecewa.

“Aku pulak masih kerja tempat lama. Jadi kerani cabuk, nak berniaga tak berani lagi, takut gagal macam kau,” balas Man.

Dialog di atas tidak ada mesej penting yang hendak disampaikan hanya sekadar bertanya khabar dan perkembangan terbaru di mana dialog seperti di atas sudah ‘klise’ atau sudah biasa.

Sebagai penulis novel cuba elakkan dialog yang tidak penting, apatah lagi tidak ada kena mengena dengan jalan cerita. Dalam erti kata lain, dialog itu tidak menjejaskan cerita jika ditiadakan tetapi jika ditulis juga, sudah tentu ia tidak memberih kesan apa-apa, hanya sekadar untuk memanjang-manjangkan cerita.

Di dalam kehidupan kita sehari-harian, kita sudah tentu dapat membezakan mana satukah perbualan kita yang ada kena mengena dengan diri kita atau perbualan kosong yang tidak memberikan faedah apa-apa.

Dalam erti kata lain, dialog penting ialah dialog atau perbualan yang jarang kita ucapkan ketika perbualan sehari-harian dan dailog itu pula mengandungi isi yang hendak disampaikan.

Manakala dialog kosong pula merupakan dia yang sudah biasa diucapkan seperti:

“Sudah makan?”

“Belum. Nak belanja?”

“Sudah minum?”

“Sudah, minum air kosong saja.”

“Dari mana?”

“Tak dari mana-mana. Saja jalan-jalan cari makan..”

Diharapkan, pembaca dapat membuat perbandingan. Cuba tuliskan dalam satu kertas perbezaan dialog penting dan tidak penting sebagai latihan.