Jumaat, 9 Disember 2011

TULISLAH SKRIP CEREKA TV ATAU FILEM BERDASARKAN NOVEL KARYA SENDIRI

JIKA anda sedang menulis novel pada ketika ini, terfikirkah anda satu ketika nanti novel anda itu akan didramakan di kaca tv atau diadaptasi ke layar perak sebagaimana novel Ombak Rindu karya Fauziah Ashaari dengan judul yang sama?

Saya percaya, ketika Fauziah Ashaari menulis novel Ombak Rindu itu, tidak pernah terlintas dalam fikirannya satu ketika nanti novelnya itu akan diadaptasi ke filem. Namun itulah yang sekarang.

Sebelum ini saya pernah menulis dalam blog ini mengenai penulis novel supaya menulis novel yang boleh disesuaikan dengan penulisan skrip filem atau drama. Tujuannya sekiranya novel itu diadaptasi ke drama tv atau filem, biarlah penulis novel itu sendiri yang menulis skrip drama atau filem.

Bukanlah satu masalah besar jika penulis novel itu sendiri tidak mahir menulis skrip drama tv atau filem kerana perkara itu boleh dipelajari. Mereka boleh belajar dengan mana-mana penulis skrip drama atau filem atau menghadiri bengkel berkaitan.

Namun sebagai penulis, sewajarnya mereka mampu mengembangkan genre penulisan bukan sekadar menulis novel sahaja tetapi mampu juga menghasilkan skrip drama tv atau filem.

Jika ditakdirkan sesebuah novel itu diadaptasi ke drama atau filem, penerbit atau pengarah filem wajar pula mempelawa penulis novel menghasilkan skrip filem berdasarkan novel tulisannya. Ini kerana penulis lebih tahu apa mesej yang hendak disampaikan walaupun melalui medium yang berlainan.

Menggunakan khidmat penulis skrip filem yang bukan penulis novel mungkin kurang berkesan dari segi penyampaian. Walaubagaimanapun dalam hal ini penulis novel tidak wajar dketepikan.

Saya sendiri menulis skrip drama untuk Panggung RTM berdasarkan novel saya yang memenangi sayembara Menulis Novel Remaja Berunsurkan Islam anjuran Jabatan Perdana Menteri.

Judul asal berjudul ‘Mei Hua’ dan apabila diadaptasi ke Panggung RTM menjadi ‘Panas Bara’. Alhamdulilah skrip drama itu memenangi kategori Teleplay Terbaik Anugerah Seri Angkasa pada tahun 1997.

Fenomena novel Ombak Rindu sewajar menjadi pemangkin kepada penulis novel supaya menulis novel yang boleh diadaptasi ke drama tv atau filem. Oleh itu sebelum menulis sesebuah novel bayangkan sesebuah adegan itu boleh diadaptasi ke filem. Selain penulis mendapat keuntungan royalti jika novel itu diulang cetak penulis juga akan mendapat ‘habuan’ sebagai penulis skrip jika filem itu mencapai ke tahap “pecah panggung.”

Sebagai penulis saya dapat membayangkan jika Fauziah Ashaari sendiri yang menulis skrip filem itu dan juga sebagai penulis novel, akan menikmati ‘habuan’ lumayan sebagai penulis. Tetapi itu tidak terjadi.

Penerbit hanya membayar royalti ke atas novel yang diulang cetak apabila filem itu meletup di pawagam. Selebihnya penerbit filem pula akan membayar ‘bonus’ kepada penulis novel berkenaan jika filem meletup, itu pun bergantung kepada perjanjian di antara penerbit filem dengan penulis novel (bukan penulis skrip filem).

Justeru saya menyarankan kepada mereka yang sedang atau sudah menulis novel, cuba-cubalah belajar bagaimana untuk menghasilkan skrip drama tv atau filem supaya mudah apabila novel itu diadaptasi ke filem, penulis novel tidak menggigit jari.

Fenomena novel Ombak Rindu boleh dijadikan pedoman. Penulis novel cuba menulis skrip cereka tv berdasarkan novelnya sendiri, sesudah itu majukan kepada penerbit drama. Bagaimanapun pilihlah penerbit drama yang diyakini kejujurannya dan bukan mengambil kesempatan daripada penulis.

Apa yang berlaku ke atas Fauziah Ashaari yang mendakwa tidak mendapat bayaran setimpal daripada pihak yang terbabit menerbitkan filem sebagaimana yang disiarkan di akhbar, boleh dijadikan ikhtibar. Penulis novel mesti boleh menguasai penulisan skrip filem untuk mengelak daripada dieksploitasi.



1 ulasan:

syauqie mk berkata...

Saya setuju, apabila menulis kita perlu andaikan kita menulis jalan cerita sebuah filem.

Seperti novelis Barat, saya yakin kebanyakan penulis box office menjadikan filem sebagai satu objektif. Sebab itu ada sequel dan prequel (betul ke ni?).

Saya baru siapkan satu karya dan apabila menulis saya bayangkan cerita itu seperti menonton filem :-). Siap dengan pelakon pilihan sendiri :-).

Saya yakin industri penulisan akan bertambak rancak bila lebih banyak novel difilemkan.