Ahad, 8 November 2009

MENULIS NAMA DAN WATAK SEBENAR DALAM NOVEL

SEBAGAIMANA menulis nama tempat dan lokasi sebenar, menulis nama watak sebenar di dalam novel juga dibolehkan. Tetapi ada kalanya dilarang atau ditegah. Jika menulis nama watak sekadar sampingan atau sekali lalu dan bertujuan untuik perkara yang baik, memang dibolehkan.

Sebagai contoh:
Ketika Farhana bersendirian itu, dia teringatkan kata-kata Datuk Haji Mohd Fadilah Kamsah ketika mengikuti ceramah yang dihadirinya minggu lalu. Menurut pakar motivasi itu, sesuatu perkahwinan bukan hanya sekadar perkongsian dua hati untuk melayari bahtera kehidupan tetapi meliputi pelbagai perkongsian termasuk perasaan, keluarga dan sebagainya.

Menuliskan nama watak sebenar di atas adalah secara sekali lalu sahaja yang bertujuan untuk kebaikan. Tetapi jika menulis dengan menggambarkan mengenai perkara yang negatif mengenai tokoh berkenaan adalah dilarang dan ditegah.

Bagaimanapun kita dilarang untuk menuliskan watak keseluruhan tokoh berkenaan atau tokoh-tokoh lain yang wujud tidak kita sama ada tokoh politik, tokoh perniagaan atau apa sahaja atau kita mengambil watak tokoh tersebut menjadi watak penting atau sampingan di dalam novel kita.

Apatah lagi jika kita membabitkan nama tokoh-tokoh berkenaan terbabit dengan skandal di dalam novel yang kita tuliskan. Walaupun novel itu hanya rekaan semata-mata, sebaik-baik supaya tidak timbal masalah, lebih baik wujudkan watak yang tidak ada kena mengana dengan sesiapa walaupun novel yang kita tuliskan itu berkisar mengenai tokoh politik, tokoh perniagaan atau apa sahaja.

Watak itu kita wujudkan sebagai mewakili watak dan bukan sebagai orang yang ditujukan di dalam novel berkenaan.

Sebagai contoh:
Semua teman-teman rapat Ayusari tahu, gadis bermata galak itu ada menjalin hubungan dengan Datuk (disebut nama datuk itu dan kebetulan nama datuk itu memang wujud) tetapi Ayusari sering menafikannya.

“Kau janganlah nak berbohong Ayu, datuk (sebut nama datuk itu) yang kaya raya tu sendiri yang beritahu pada kami, takkan dia nak berbohong. Katanya, engkau yang teringin Sangat nak rumah banglo di tepi pantai tu…,” pintas Laila, teman serumah apabila Ayusari enggan mengaku.

Jika ingin juga menulis nama datuk itu, biarlah nama datuk rekaan yang tidak wujud di alam nyata ini atau menujukan kepada seseorang.

Sebagai penulis, anda harus menjaga nama atau maruah orang-orang tertentu terutamanya nama-nama dan watak yang anda gunakan. Jika pun perkara itu memang benar-benar berlaku, sebaik-baiknya elakkan menggunakan nama orang popular atau terkenal untuk mengelakkan kontroversi.

Seperkara lagi yang perlu diambil perhatian ialah, penggunaan nama-nama watak. Jika kita mengkaji novel-novel A, Samad Said, beliau lebih gemar menggunakan nama yang sekali digunakan oleh orang lain.

Contohnya dalam novel Daerah Zeni. Nama-nama yang digunakan ialah Hamdar, Zedi, Zirah, Dol Zaleh, Ehran, Lazri, Zeni, Raja Dabet dan banyak lagi.

Nama-nama di atas mungkin agak pelik dan nama itu jarang digunakan. Tetapi apabila sekali sebut, pembaca pantas akan teringat novel berkenaan kerana hanya dalam novel itu sahaja watak itu disebut.

Berbanding dengan novel-novel lain, penulis lazimnya menggunakan nama yang sering dan mudah diingat, seperti Ismail, Ahmad, Abu Bakar, Fauziah, Mariani, Latifah dan sebagainya.

Bagaimanapun kebelakangan ini ramai penulis generasi baru lebih suka menggunakan nama-nama yang moden seperti Kaisara, Lestari, Qalida Qaseh, Mya Zara dan banyak lagi.

Penggunaan nama apa sekalipun tidak menjadi kesalahan tetapi sebaik-baiknya biarlah nama-mana itu berpadanan dengan wataknya. Sebagai contoh watak seorang pemarah, pendendam, penipu dan seumpamanya tentulah tidak sesuai menggunakan nama-nama seperti Muslim, Hidayat, Muhammad Abduh, Syed Al-Amin dan seumpamanya.

Kadang-kadang penggunaan nama-nama juga penting untuk mencorakan sesebuah novel. Sebuah novel yang bercirikan Islami, tentulah tidak sesuai menggunakan nama watak utama atau sampingan yang membawa maksud tidak baik melainkan jika nama-nama watak yang berperwatakan yang bertentangan dengan nilai murni.

Khamis, 5 November 2009

PERSEDIAAN MENULIS NOVEL

ORANG zaman dahulu sering berpesan kepada sesiapa yang ingin merantau supaya penuhkan ilmu di dada terlebih dahulu. Setelah penuh ilmu di dada, pergilah merantau di ceruk mana sekali pun. Tujuan mereka sekadar mengingatkan kerana sepanjang perjalanan merantau mereka akan berhadapan dengan pelbagai halangan.

Bagaimanakah hendak berhadapan dengan halangan itu jika kita tidak ada ilmu atau kepakaran untuk menghadapinya. Sebagai contohnya, apakah yang harus dilakukan jika ditahan musuh pertengahan jalan? Jika tidak ada ilmu mempertahankan diri, bagaimanakah mahu menghadapinya?

Begitu jugalah halnya dengan saudara yang mahu menulis novel. Walaupun ilmu tidak penuh di dada tetapi sekurang-kurangnya ada ilmu sebagai bekalan menulis novel. Usah menulis novel dengan dada yang kosong, saudara akan terkapai-kapai nanti.

Banyak persediaan boleh dilakukan jira ingin menulis novel. Saudara boleh mengikuti bengkel-bengkel penulisan novel yang diadakan secara percuma atau berbayar. Saudara boleh juga mendapatkan buku-buku panduan menulis novel dan bertanya kepada mereka yang arif dalam penulisan novel.

Sekarang ini calun-calun penulis novel lebih beruntung kerana banyak syarikat penerbitan novel mengadakan bengkel penulisan untuk mereka yang mahu menghasilkan novel. Mereka akan dibimbing dan peluang untuk novel diterbitkan sangat cerah.

Penuhkan ilmu di dada dengan ilmu penulisan novel, setelah itu mulakan lakukan praktikal menulis sebuah novel. Nescaya perjalanan saudara untuk menghasilkan sebuah novel tidak akan berhadapan dengan banyak kesukaran.

Tanpa persediaan menulis novel, bukan bermakna tidak boleh menghasilkan novel. Saudara masih boleh menghasilkan novel tetapi hasilnya ibarat masakan yang tidak cukup resepi. Ia masih boleh dimakan tetapi mungkn sesuai untuk hidangan sendiri sahaja.

Cuba fikirkan contoh ini.
Seseorang yang ingin masuk ke gelanggang persilatan tetapi tidak pernah belajar bersilat dengan betul, tidakkah langkahnya akan sumbang berada di gelanggang. Orang yang tidak tahu ilmu persilatan mungkin tidak nampak di mana sumbangnya. Tetapi bagi mereka yang bersilat, sudah tentu dapat mengesan di manakah kesilapannya. Begitulah analoginya jika menulis novel tanpa ilmu dan persediaan.

Di sini disertakan beberapa tip-tip sebagai persediaan jika ingin menulis novel.

1. Mesti memiliki minat untuk menulis novel.
2. Sebelum menulis novel ádalah lebih baik melatih diri menulis cerpen.
3. Banyak membaca novel-novel dari pelbagai kategori seperti novel kanak-kanak,
remaja, dewasa, novel seram, novel cinta, novel sejarah dan sebagainya.
4. Dapatkan panduan menulis novel sama ada dari buku-buku atau bengkel penulisan.
5. Berkongsi pengalaman dengan mereka yang sudah berjaya menulis novel.
6. Yakinkan diri saudara mampu menghasilkan novel.

Tip di atas adalah sebahagian persediaan yang penting tetapi jika ada peluang untuk mendalami ilmu mengenai penulisan novel jangan lepaskan peluang mengikutinya.

Bukan mustahil jika saudara ada nama di dalam penulisan novel, saudara tidak perlu mengemis kepada penerbit untuk menerbitkan novel saudara. Malah pihak penerbit novel sendiri mempelawa saudara menulis novel untuk syarikat mereka.

Apa yang penting sekarang, buktikan saudara mampu melakukannya.

MENULIS NOVEL UNTUK SAYEMBARA

APAKAH bezanya menulis novel untuk sayembara dan bukan untuk tujuan sayembara? Sekali imbas memang tidak ada bezanya tetapi jika diperhatikan ia memang ada perbezaannya.

Mereka yang pernah menulis novel untuk tujuan sayembara mungkin dapat membezakannya tetapi jika tidak pernah menyertai sayembara novel mungkin sukar untuk membuat perbandingan.

Bagaimanapun secara mudah, perbezaan menulis nvel untuk sayembara dan bukan sayembara boleh dijelaskjan seperti berikut.

NOVEL SAYEMBARA

Novel sayembara mengandungi syarat dan peraturan yang sudah ditetapkan oleh pihak penganjur.

Di antara syarat-syaratnya ialah:
a) Penganjur menetapkan tema yang perlu ditulis.
b) Penganjur menetapkan jumlah perkataan yang mesti ditulis.
c) Penganjur menetapkan tarikh tutup penyertaan.
d) Manuskrip yang menyertai pertandingan sama ada memang atau tidak akan menjadi hak penganjur.
e) Penganjur menyediakn penal yang akan menilai novel sayembara untuk dinilai bagi dipilih untuk memenangi sayembara berkenaan.
f) Pemenang akan diberikan hadiah seperti wang tunai dengan jumlah yang ditentukan.

NOVEL BUKAN SAYEMBARA

Novel yang bukan tujuan sayembara, tidak ada syarat-syarat tertentu untuk diterbitkan. Bagaimana ia masih tertakluk kepada syarat-syarat lain yang dipelrukan oleh pihak penerbit seperti penerbit mahukan novel yang berkisar dunia remaja, dewasa, kanak-kanak dan sebagainya.

a) Tidak ada tema yang ditentukan, kebanyakannya tema umum.
b) Tidak terhad panjang atau pendek novel berkenaan dan tiada keretapan jumlah halaman.
c) Tidak ada tarikh tutup dan novel ini boleh ditulis pada bila-bila masa asalkan penulis ada waktu untuk menyiapkan.
d) Manuskrip yang dihantar akan dinilai oleh penerbit, jika sesuai novel akan diterbitkan dengan terma-terma perjanjian yang sudah ditetapkan.
e) Tidak ada hadiah diberikan tetapi jika novel mendapat sambutan dan diulang cetak penulis berpeluang mendapat royalti yang lebih.

PERBEZAAN LAIN

Menulis novel sayembara memerlukan lebih banyak kajian dan perlu berhati-hati supaya novel yang ditulis tidak terkeluar dari landasan atau syarat yang ditetapkan. Jika novel terkeluar dari syarat-syarat yang ditetapkan, ia secara automatik akan dikeluarkan dari pertandingan.

Selain itu penulis terikat dengan syarat dan tidak bebas untuk mengeluarkan idea tetapi jika penulis seorang yang kreatif, banyak membuat kajian, tidak mustahil ia akan dipilih sebagai pemenang.

Terdapat sesetengah penulis novel tidak sanggup menulis novel untuk sayembara kerana tidak mahu terikat dengan syarat-syarat yang diberikan kerana mereka berasakan tidak bebas untuk berkarya.

Bagaimanapun terdapat sesetengah penulis yang hanya menulis novel untuk sayembara kerana ia berkemampuan untuk memenuhi syarat-syarat yang diberikan. Justeru tidak hairanlah penulis seperti itu kerapkalu memenangi sayembara kerana sudah berpengalaman menyertainya.

Walaupun menulis novel untuk sayembara memerlukan kajian, bukan bermakna menulis bukan bertujuan untuk pertandingan tidak perlu memerlukan kajian. Novel ini masih memerlukan kajian supaya apa yang ditulis itu tidak terawang-awang dan tidak berpijak di bumi nyata.

Ada setengah berpendapat mengatakan , novel yang dihasilkan oleh sayembara sudah terbukti novel berkenaan baik mutunya dan boleh dibuat rujukan kerana telah dinilai dan diuji oleh panel berpengalaman di bidang itu. Itu memang tidak dinafikan. Novel sayembara yang menmang adalah yang terbaik di antara sekian banyak yang menyertai sayembara.

Jika dibandingkan dengan novel-novel yang tidak memenangi pertadingan, ada kemungkinan novel itu masíh ditahap sederhana mutunya. Tetapi bukan bermakna tidak baik tetapi kadang-kadang oleh kerana publisitinya, novel yang tidak pernah menang pertandingan lebih laku jualannya.

Walau apapun di dalam perkara ini, jalan cerita di dalam novel itu yang menepati citarasa pembaca pada zamannya berpeluang dicetak berulangkali. Kesimpulannya, jika seseorang penulis novel ingin menguji sejauh mana kemampuannya menulis novel, lebih baik menyertai sayembara.

Seorang pelari yang baik, adalah pelari yang sering memenangi pertandingan lumba lari dengan jumlah catatan yang kerap memecah rekod, berbanding dengan mereka yang berlari untuk tujuan mengeluarkan peluh dan menjaga kesihatan.

PERSEPSI MENGENAI NOVEL CINTA

APABILA di sebut ‘Novel Cinta’, apakah sebenarnya yang terbayang di ruang fikiran saudara? Jika ditanya kepada sepuluh orang pembaca, mungkin mereka akan memberikan jawapan yang berlainan. Mungkin juga mereka akan memberikan jawapan yang hampir-hampir sama.

Tetapi lazimnya, apa yang terbayang di ruang fikiran kita ialah novel cinta, novel yang memaparkan kisah cinta, temanya cinta, bahasanya cinta dan segala-galannya cinta. Oleh kerana tema cinta hampir dirasai oleh kesemua orang, tema itu dianggap popular dan mendapat tempat teratas di kalangan pembaca.

Novel cinta kebiasaannya tidak dapat lari daripada perkara-perkara berikut:

1. Cinta tiga segi di mana, dua lelaki berebut seorang wanita atau dua wanita berebutkan seorang lelaki.
2. Cinta adik angkat kepada abang angkat.
3. Cinta anak angkat dengan ibu angkat atau sebaliknya.
4. Cinta anak tiri dengan ayah tiri dan sebaliknya.
5. Cinta anak saudara dengan bapa saudara atau sebaliknya.
6. Cinta orang tua dengan orang muda.
7. Cinta dua darjat antara miskin dan kaya.
8. Cinta di antara sepupu.
9. Cinta yang tidak direstui keluarga.
10. Cinta kerana ingin membalas dendam.
11. Cinta kerana mahukan harta.
12. Cinta siber.
13. Cinta antara dua benua.
14. Cinta berlainan agama.
15. Cinta di antara suami dan isteri orang.
16. Cinta seberang.
17. Cinta monyet.
18. Cinta songsang.

Apa yang dicatatkan di atas adalah sebahagian daripada puluhan kisah cinta yang berlaku di dalam masyarakat kita. Bacalah novel-novel cinta, sudah pasti salah satu daripada yang dicatitkan di atas menjadi temanya.

Tema-tema cinta seperti di atas merupakan kisah cinta yang sudah biasa ditulis sejak dahulu sehingga sekarang. Jika kita hendak menulis juga novel cinta, sudah tentu tidak ada bezanya dengan novel-novel cinta yang pernah diterbitkan.

Lazimnya, novel-novel cinta yang menjadi kegemaran pembaca adalah novel yang berakhir dengan kekecewaan pada watak-wataknya. Mereka tidak sempat untuk menjejak ke pelamin dan arus perintaan mereka sentiasa berliku sebelum mencapai kejayaan atau kegagalan.

Boleh dikatakan hampir setiap orang mengalami detik percintaan yang berbeza. Bagi mereka yang mampu menghasilkan novel, mereka akan curahkan pengalaman yang di dalam novel. Ini kerana peristiwa itu lebih ‘real’ dan bukan imaginasi penulisnya.

Jarang ada penulis novel cinta mampu lari daripada kisah yang dicatitkan di atas. Jika mereka menulis novel cinta, kisah itu akan berputar-putar pada kisah yang kebiasaannya dialami oleh semua orang.

Jarang sekali ada penulis yang yang mampu lari daripada persoalan cinta di atas. Contohnya, cinta kepaad Pencipta kita, Allah. Berapa ramaikah di antara kita mampu menghasilkan sebuah novel cinta terhadap Allah, segala-galanya kepada Allah?

Tidak semua penulis mampu menulis kecintaan terhadap Allah. Kebanyakkannya cinta hanya sesama manusia. Jika tidak seratus peratus menulis novel cinta terhadap Allah, tentu tidak salah menulis novel cinta kerana Allah.

Jarang ada penulis novel cinta menulis kisah cinta lelaki dan perempuan bercinta kerana Allah. Kebanyakkan cinta yang ditulis bersandarkan nafsu, harta, kecantikan dan sebagainya.

Bukankah cinta terhadap Allah sesuatu yang bersifat kekal manakala cinta sesama manusia hanyalah bersifat sementara. Sebab itulah cinta selaku kecundang, tidak kesampaian dan salah seorang akan merana akibat panahan api cinta sesama manusia.

Selepas ini, cuba fikir-fikirkan menulis novel cinta semata-mata kerana Allah, bukan kerana didorong oleh nafsu atau harta benda.