Khamis, 24 Jun 2010

PROMOSI DUA EBOOK DALAM SATU HARGA UNTUK SEPANJANG BULAN JULAI SAHAJA



SEPANJANG bulan Julai ini saya akan mengadakan promosi dua ebook dalam satu harga. Dua ebook itu ialah:

1. CARA MUDAH MENULIS NOVEL
– Pakej Lengkap Berserta Contoh

2. 50 TIP MENULIS NOVEL
Panduan Asas Yang Berkesan

Harga bukan promosi Cara Mudah Menulis Novel ialah RM 40.00
manakala 50 Tip Menulis Novel ialah RM 20.00

Harga promosi bagi sepanjang bulan Julai ini untuk dua ebook ini ialah
RM 40.00 sahaja. Jika anda membeli ebook ini semasa tempoh promosi, anda akan mendapat bonus PERCUMA sebuah novel ‘Sebening Airmata’ atau sebuah ebook Percuma PANDUAN MENULIS NOVEL – Berdasarkan Kisah Benar.

Anda boleh memilih salah satu daripada dua bonus yang ditawarkan.

CARA PEMBELIAN

Anda boleh ‘bank in’ wang sejumlah RM 40.00 ke salah satu akaun bank berikut:

1. CIMB BANK No Akaun: 1277-00002240-207
Nama : Muhd Nasruddin Dasuki

2. Maybank No. Akaun: 162115976283
Nama: Muhd Nasruddin Dasuki

Selepas membuat bayaran sila mesejkan butiran pembayaran ke
No. Tel: 013-3635560. Penghantaran akan dilakukan setelah pengesahan bayaran dilakukan. Anda juga boleh emailkan butiran itu ke: mnasd_326@yahoo.com.

Selasa, 22 Jun 2010

FORMULA SIAPKAN SATU NOVEL SEBULAN

SEORANG editor novel meminta anda menyiapkan sebuah novel dalam masa sebulan yang tebalnya sekitar 300 halaman ke atas. Editor berkenaan sudah menggariskan secara kasar ciri-ciri novel yang dimahukan. Mampukah anda menulisnya? Penulis yang sudah biasa menulis novel, mungkin tidak menjadi masalah tetapi bagaimana jika anda baru sebuah dua menghasilkan novel?

Anda boleh menerima dan anda boleh menolak jika anda tidak yakin boleh menyiapkannya. Anda boleh menerimanya atas beberapa sebab.
1. Anda yakin mampu menyiapkannya kerana anda pernah mencubanya.
2. Anda sudah tahu bagaimanakah cara menulis dengan cepat dan mudah.
3. Anda penulis sepenuh masa.
4. Anda sudah ada cerita dari awal sehingga akhir.
5. Anda sudah ada formula bagaimana untuk menyiapkan novel itu dalam tempoh yang ditetapkan.

Apakah formula untuk menyiapkan novel berkenaan da;lam tempuh sebulan? Cuba gunakan teknik ini.

Katakan novel anda itu tebalnya 350 Halaman. Anda sudah merangka untuk menjadikan novel itu 40 bab. Ini bermakna, Ini bermakna 350 bahagi 40, jawabnya satu bab mengandungi 8.75 (9 halaman).

Satu bulan ada 30 hari. Bermakna setiap hari, anda perlu menyiapkan sekurang-kurangnnya 1 bab setengah. Untuk lebih mudah, tulis 2 bab sehari. Tidak bolehkah anda menulis 2 bab sehari yang mengandungi 18 halaman?

Dalam masa sebulan jika anda menulis 2 bab sehari bermakna, anda mampu menyiapkan novel sebanyak 40 bab dalam masa 20 hari. (20 hari X 2 bab sehari = 40 bab). Ini bermakna novel anda sudah siap dalam masa 20 hari.

Sesudah novel anda siap, anda masa 10 hari untuk menghantar kepada editor. 10 hari anda gunakan untuk membaca semula, mengedit atau membuat perubahan jika perlu.
Apa yang penting sekali di sini ialah disiplin. Jika anda dapat pastikan menyiapkan 2 bab sehari, anda sudah berjaya melakukannya. Cuba cabar diri anda sendiri untuk melakukannya!

MUDAHKAH MENULIS NOVEL CINTA

BERDASARKAN kepada lambakan novel-novel cinta di pasaran dan banyaknya penerbit berlumba-lumba menerbitkan novel seperti itu membayangkan seolah-olah sesiapa sahaja boleh menulis novel cinta. Ini juga membayangkan tema novel cinta tidak pernah kering atau ketandusan untuk ditulis atau tema yang sama diulang tulis oleh penulis lain.

Hakikatnya tidaklah semudah itu untuk menulis novel cinta. Jika setakat menulis novel cinta yang biasa-biasa seperti putus cinta, kecewa, dendam, benci dan sebagainya sesiapa pun boleh menulis. Tetapi apakah mesej yang hendak disampaikan? Tambah menghairankan jika penulis itu sendiri tidak pernah bercinta, bagaimanakah hendak menghasilkan novel cinta yang baik?

Penulis yang bijak menulis novel cinta, hanya menjadikan tema cinta sebagai bingkai cerita sedangkan isi cerita yang sebenar bukanlah mengenai cinta semata-mata. Cinta di dalam novel hanya dijadikan sebagai penyedap ibarat cili, garam, bawang merah, bawang putih dan belacan dalam masakan.

Bayangkan jika sesuatu masakan tidak ada cili, garam, belacan dan bahan-bahan asas yang lain, apakah rasanya? Masakan akan menjadi tawar. Jika masakan tawar, siapa yang hendak menjamahnya?

Isi cerita sebenarnya mungkin mengisahkan perjuangan seorang watak untuk mengejar kejayaan dalam hidup. Untuk berjaya, watak utama menghadapi pelbagai cabaran dan kerap mengalami kegagalan. Kegagalan dalam bercinta hanyalah satu sub plot dan bukan menjadikannya sebagai plot utama.

Dari halaman pertama sehingga halaman akhir 400 halaman umpamanya, apakah penulis hendak menceritakan mengenai kisah percintaan sahaja. Tentulah tidak. Mungkin kisah percintaan watak utamanya hanyalah sebagai sampingan. Sampingan itulah yang diibaratkan sebagai ‘bingkai’ manakala gambarnya ialah isi cerita yang sebenar.

Penulis novel cinta yang baik bukan setakat bijak bermain kata-kata sahaja, tetapi bijak bermain emosi sehingga pembaca berasakan ia bernar-benar berlaku dan dialami oleh diri sendiri. Bagaimanpun semudah itukah hendak memainkan emosi sehingga pembaca terpaku?

Mampukah seorang penulis yang tidak romantik menghasilkan sebuah novel cinta yang agung? Sesiapa yang mengenali penulis dan membacanya novel cinta yang dihasilkan hanya akan tahu adakan keromantikannya atau tidak di dalam novelnya hanyalah imaginasi atau watak sebenarnya.

PERLUKAH HERO DAN HEROIN DALAM NOVEL MESTI KACAK ATAU CANTIK

SESETENGAH orang menonton filem kerana hendak melihat heronya yang kacak atau macho dan heroinnya yang cantik jelita. Ada juga yang menonton filem bukan kerana heronya yang kacak atau heroinnya yang jelita tetapi kerana ingin tahu ceritanya. Apalah guna heronya yang kacak atau heroinnya yang jelita jika lakonan dan ceritanya ‘hancur’?

Berlainan pula dengan novel. Membeli dan membaca novel bukan kerana hero atau heroinnya yang kacak atau jelita. Tetapi kerana ingin tahu gaya penceritaan dan jalan ceritanya. Bagaimanapun sudah menjadi kelaziman penulis novel, akan menggambarkan bahawa heronya mesti kacak dan heroinnya mesti cantik atau jelita.

Mengapa begitu? Membaca novel sukar hendak menggambarkan bagaimana kacak dan jelitanya hero dan heroinnya. Kebijaksanaan penulis melukiskan personality hero dan heroinnya mampu mengajak pembaca membayangkan bagaimanakah rupa paras hero dan heroinnya.

Perlukah mesti menggambarkan hero dan heroinnya yang kacak dan jelita dalam novel? Sebenarnya ia banyak bergantung kepada cerita. Jika novel untuk sasaran remaja sudah tentulah gambaran hero dan heroinnya mesti kacak dan cantik. Ini kerana sifat pembaca remaja itu sendiri yang lelaki gemar heroinnya cantik, bagi perempuan mahukan heronya kacak dan tampan.

Bagi novel dewasa hero dan heroinnya tidak semestinya kacak atau cantik. Ia bergantung kepada jalan cerita. Walaupun tidak digambarkan sebagai kacak atau cantik, tetapi kesempurnaan watak dan jalan ceritanya yang bagus akan mempengaruhi keinginan pembaca.

Bagaimanapun kebiasaannya heronya yang kacak akan menjadi kegilaan para wanita manakala heroinnya yang cantik akan menjaid buruan lelaki. Begitu juga jika heronya yang hodoh atau tidak kacak, ia akan menjadi bahan ejekan. Manakala heroinnya yang tidak cantik akan menjadi bahan cerita orang.

Kacak atau hodoh sesuatu watak hero dan heroinnya secara tidak langsung akan mempengaruhi jalan cerita. Cantik atau kacak akan menjadi buruan, manakala hodoh akan menjadi bahan ejekan.

Meneliti kebanyakan novel-novel di pasaran hari ini rata-rata menggambarkan hero dan heroinnya mesti kacak dan cantik. Tidak bolehkah jika menampilkan heronya yang yang biasa-biasa sahaja dan heroinnya yang tidak menarik mata memandang?

Apakah yang tidak kacak dan tidak cantik, tidak layak dijadikan hero dan heroinnya di dalam novel? Berlainan dengan filem dan drama, pengarah dan penulis skrip mesti akan menampilkan watak yang kacak dan heroinnya yang cantik?

Sebabnya, kacak dan cantiknya wajah hero dan heroinnya akan mampu menarik wang ke kantung penerbit filem. Siapakah yang ingin menonton filem jika hero dan heroinnya hodoh?

Ahad, 20 Jun 2010

MENULIS APA YANG PEMBACA MAHU ATAU MENULIS APA YANG PENULIS TAHU

PEMBACA sebenarnya ada hak untuk memilih novel yang bagaimana mereka mahu. Sebagai penulis novel, adakah saudara hanya mahu menulis apa yang saudara tahu sahaja atau menulis apa yang pembaca mahukan sedangkan saudara tidak tahu menulis apa yang mereka mahukan?

Sebagai penulis, sewajarnya saudara perlu serba tahu. Jika saudara tidak tahu mengenai sesuatu topik, saudara perlu ambil tahu dan mendapatkan maklumat daripada mana-mana sumber.

Contohnya jika saudara diminta menulis novel mengenai alam sekitar, adakah saudara mampu melakukannya sedangkan saudara tidak tahu topik itu manakala anda lebih mahir menulis novel cinta atau kekeluargaan.

Sebenarnya tidak susah jika saudara bijak mengolah cerita. Cerita yang berunsurkan cinta boleh diselitkan menghenai alam sekitar, begitu juga sebaliknya.

Walau apapun cerita, pengarang perlu bijak mengolah crita sebagaimana yang pembaca mahukan. Ia ibarat seorang tukang masak yang boleh memasak apa juga jenis masakan untuk pelangannya.

Jika masakan daging ayam contohnya. Daging itu boleh dimasak kari. Masak lemak, masak kicap. Daging ayam kurma, ayam goring bersalut madu dan pelbagai jenis masakan yang asalkan bermula daripada daging ayam.

Menulis novel juga begitu. Ia boleh diolah dengan pelbagai teknik dan cara asalkan pengarang pintar mengolahnya. Di sini tidak timbul, seorang penulis novel popular tidak mampu menulis novel Islami, atau novel sejarah atau novel seram dan sebagainya.

Apabila membaca tajuk di atas, ia boleh ditafsir sebagai dua perkara yang berbeza.

Pertama:
Penulis wajar menulis apa yang pembaca mahukan.

Kedua:
Penulis juga wajar menulis apa yang mereka tahu. Bagaimana hendak menulis sesuatu jika penulis tidak tahu apa yang hendak ditulis?

Oleh yang demikian, tulislah apa yang penulis tahu saja. Tetapi penulis wajar juga untuk belajar apa yang mereka belum tahu supaya tahu.

Kesimpulannya, penulis memang perlu menulis apa yang pembaca mahukan kerana itu merupakan satu permintaan. Penulis juga wajar menulis apa yang mereka tahu sahaja dan belajarlah menulis apa yang mereka tidak tahu supaya mereka tahu.

Apabila penulis menulis sesuatu yang di luar pengetahuan, sudah tentu apa yang ditulis itu hanyalah luaran sahaja sedangkan pembaca ingin tahu apa yang berlaku di dalam.

MENULIS TIGA NOVEL DALAM SATU MASA

MEMBACA tajuk di atas bukan mustahil untuk dilakukan. Tetapi bagi penulis novel yang baru hendak menulis novel, tidak digalakan untuk berbuat demikian. Memang ada penulis novel yang mampu berbuat demikian, tetapi mereka adalah penulis yang sudah mahir dan sudah melahirkan beberapa buah novel.

Penulis novel yang baru menceburi bidang ini digalakan menyiapkan sebuah novel dahulu. Apabila novel itu sudah siap, barulah mulakan menulis novel baru. Ini untuk mengelakkan proses penulisan bertindih akhirnya cerita menjadi bercelaru.

Jangan terlalu rakus untuk menyiapkan tiga novel sekaligus jika tidak berkemahiran dan cukup ilmu menulis novel. Mereka yang menulis tiga novel sekaligus kerana sudah menyediakan jadual sejak awal penulisan.

Contohnya:
Pengarang menulis novel B setelah menulis novel A 70 peratus siap.
Pengarang memulakan menulis novel C setelah menulis novel B 50 peratus siap.

Apabila novel A siap 100 peratus, novel B sudah siap 70 peratus manakala novel C siap 50 peratus.

Setakat ini, sebuah novel (A) sudah siap manakala novel B meningkat kepada 70 peratus dan novel C meningkat 50 peratus.

Apabila novel B siap 100 peratus, tinggal sebuah lagi novel (novel C) sudah meningkat ke 70 peratus.

Kerja menulis tiga novel sekaligus ini dilakukan apabila pengarang berasa jemu atau tiada idea menulis novel A. Dia beralih ke novel B. Begitulah seterusnya, jika tiada idea menulis novel B, pengarang beralih menulis ke novel C pula.
Ada baik dan ada keburukannya menulis tiga novel sekaligus. Baiknya, Masa yang sepatutnya dapat menyiapkan sebuah novel, sebaliknya dapat menyiapkan tiga buah novel.

Keburukannya pula, ada kemungkinan perwatakan watak-watak utama pada ketiga-tiga novel itu akan saling bercelaru jika pengarang tidak bijak mengawal perwatakan.

Perwatakan novel A kemungkinan menjelma pada watak novel B, begitu juga dengan watak-watak lain. Tetapi jika pengarang bijak mengawal pergerakan watak-watak dalam novel berkenaan, ia tidak menjadi masalah.

Keburukan lain, pengarang tidak dapat menumpukan sepenuh perhatian kepada satu-satu novel kerana terpaksa mengerakan tiga novel dalam satu masa.

Pengarang mungkin ada jadual. Minggu pertama, menulis Novel A. Minggu kedua menulis novel B dan minggu ketiga menulis novel C pula. Begitulah seterusnya berpatah balik ke novel A oada minggu keempat.

Perbuatan seperti ini, ibarat seorang yang menggunakan tiga pedang untuk menewaskan musuh yang sama. Manakah yang lebih mudah menewaskan musuh dengan satu pedang atau tiga pedang?

Menggunakan satu pedang lebih mudah memberikan tumpuan. Manakala menggunakan tiga pedang mungkin sukar kerana kita hanya ada dua tangan, bagaimana hendak memegang satu pednag lagi?

Mungkin ada yang memberikan jawapan, bagaimana jika pedang pertama patah atau terpelanting? Bukankah kita ada pedang kedua sebagai gantinya? Jika pedang kedua pula terpelanting, kita masih ada satu peluang dengan pedang ketiga.

Bagaimanapun cara di atas tidaklah salah jika dilakukan. Terpulang kepada kebijaksanaan masing-masing menggunakan helah untuk berjaya.