Selasa, 22 Jun 2010

PERLUKAH HERO DAN HEROIN DALAM NOVEL MESTI KACAK ATAU CANTIK

SESETENGAH orang menonton filem kerana hendak melihat heronya yang kacak atau macho dan heroinnya yang cantik jelita. Ada juga yang menonton filem bukan kerana heronya yang kacak atau heroinnya yang jelita tetapi kerana ingin tahu ceritanya. Apalah guna heronya yang kacak atau heroinnya yang jelita jika lakonan dan ceritanya ‘hancur’?

Berlainan pula dengan novel. Membeli dan membaca novel bukan kerana hero atau heroinnya yang kacak atau jelita. Tetapi kerana ingin tahu gaya penceritaan dan jalan ceritanya. Bagaimanapun sudah menjadi kelaziman penulis novel, akan menggambarkan bahawa heronya mesti kacak dan heroinnya mesti cantik atau jelita.

Mengapa begitu? Membaca novel sukar hendak menggambarkan bagaimana kacak dan jelitanya hero dan heroinnya. Kebijaksanaan penulis melukiskan personality hero dan heroinnya mampu mengajak pembaca membayangkan bagaimanakah rupa paras hero dan heroinnya.

Perlukah mesti menggambarkan hero dan heroinnya yang kacak dan jelita dalam novel? Sebenarnya ia banyak bergantung kepada cerita. Jika novel untuk sasaran remaja sudah tentulah gambaran hero dan heroinnya mesti kacak dan cantik. Ini kerana sifat pembaca remaja itu sendiri yang lelaki gemar heroinnya cantik, bagi perempuan mahukan heronya kacak dan tampan.

Bagi novel dewasa hero dan heroinnya tidak semestinya kacak atau cantik. Ia bergantung kepada jalan cerita. Walaupun tidak digambarkan sebagai kacak atau cantik, tetapi kesempurnaan watak dan jalan ceritanya yang bagus akan mempengaruhi keinginan pembaca.

Bagaimanapun kebiasaannya heronya yang kacak akan menjadi kegilaan para wanita manakala heroinnya yang cantik akan menjaid buruan lelaki. Begitu juga jika heronya yang hodoh atau tidak kacak, ia akan menjadi bahan ejekan. Manakala heroinnya yang tidak cantik akan menjadi bahan cerita orang.

Kacak atau hodoh sesuatu watak hero dan heroinnya secara tidak langsung akan mempengaruhi jalan cerita. Cantik atau kacak akan menjadi buruan, manakala hodoh akan menjadi bahan ejekan.

Meneliti kebanyakan novel-novel di pasaran hari ini rata-rata menggambarkan hero dan heroinnya mesti kacak dan cantik. Tidak bolehkah jika menampilkan heronya yang yang biasa-biasa sahaja dan heroinnya yang tidak menarik mata memandang?

Apakah yang tidak kacak dan tidak cantik, tidak layak dijadikan hero dan heroinnya di dalam novel? Berlainan dengan filem dan drama, pengarah dan penulis skrip mesti akan menampilkan watak yang kacak dan heroinnya yang cantik?

Sebabnya, kacak dan cantiknya wajah hero dan heroinnya akan mampu menarik wang ke kantung penerbit filem. Siapakah yang ingin menonton filem jika hero dan heroinnya hodoh?

Tiada ulasan: