Khamis, 5 November 2009

PERSEPSI MENGENAI NOVEL CINTA

APABILA di sebut ‘Novel Cinta’, apakah sebenarnya yang terbayang di ruang fikiran saudara? Jika ditanya kepada sepuluh orang pembaca, mungkin mereka akan memberikan jawapan yang berlainan. Mungkin juga mereka akan memberikan jawapan yang hampir-hampir sama.

Tetapi lazimnya, apa yang terbayang di ruang fikiran kita ialah novel cinta, novel yang memaparkan kisah cinta, temanya cinta, bahasanya cinta dan segala-galannya cinta. Oleh kerana tema cinta hampir dirasai oleh kesemua orang, tema itu dianggap popular dan mendapat tempat teratas di kalangan pembaca.

Novel cinta kebiasaannya tidak dapat lari daripada perkara-perkara berikut:

1. Cinta tiga segi di mana, dua lelaki berebut seorang wanita atau dua wanita berebutkan seorang lelaki.
2. Cinta adik angkat kepada abang angkat.
3. Cinta anak angkat dengan ibu angkat atau sebaliknya.
4. Cinta anak tiri dengan ayah tiri dan sebaliknya.
5. Cinta anak saudara dengan bapa saudara atau sebaliknya.
6. Cinta orang tua dengan orang muda.
7. Cinta dua darjat antara miskin dan kaya.
8. Cinta di antara sepupu.
9. Cinta yang tidak direstui keluarga.
10. Cinta kerana ingin membalas dendam.
11. Cinta kerana mahukan harta.
12. Cinta siber.
13. Cinta antara dua benua.
14. Cinta berlainan agama.
15. Cinta di antara suami dan isteri orang.
16. Cinta seberang.
17. Cinta monyet.
18. Cinta songsang.

Apa yang dicatatkan di atas adalah sebahagian daripada puluhan kisah cinta yang berlaku di dalam masyarakat kita. Bacalah novel-novel cinta, sudah pasti salah satu daripada yang dicatitkan di atas menjadi temanya.

Tema-tema cinta seperti di atas merupakan kisah cinta yang sudah biasa ditulis sejak dahulu sehingga sekarang. Jika kita hendak menulis juga novel cinta, sudah tentu tidak ada bezanya dengan novel-novel cinta yang pernah diterbitkan.

Lazimnya, novel-novel cinta yang menjadi kegemaran pembaca adalah novel yang berakhir dengan kekecewaan pada watak-wataknya. Mereka tidak sempat untuk menjejak ke pelamin dan arus perintaan mereka sentiasa berliku sebelum mencapai kejayaan atau kegagalan.

Boleh dikatakan hampir setiap orang mengalami detik percintaan yang berbeza. Bagi mereka yang mampu menghasilkan novel, mereka akan curahkan pengalaman yang di dalam novel. Ini kerana peristiwa itu lebih ‘real’ dan bukan imaginasi penulisnya.

Jarang ada penulis novel cinta mampu lari daripada kisah yang dicatitkan di atas. Jika mereka menulis novel cinta, kisah itu akan berputar-putar pada kisah yang kebiasaannya dialami oleh semua orang.

Jarang sekali ada penulis yang yang mampu lari daripada persoalan cinta di atas. Contohnya, cinta kepaad Pencipta kita, Allah. Berapa ramaikah di antara kita mampu menghasilkan sebuah novel cinta terhadap Allah, segala-galanya kepada Allah?

Tidak semua penulis mampu menulis kecintaan terhadap Allah. Kebanyakkannya cinta hanya sesama manusia. Jika tidak seratus peratus menulis novel cinta terhadap Allah, tentu tidak salah menulis novel cinta kerana Allah.

Jarang ada penulis novel cinta menulis kisah cinta lelaki dan perempuan bercinta kerana Allah. Kebanyakkan cinta yang ditulis bersandarkan nafsu, harta, kecantikan dan sebagainya.

Bukankah cinta terhadap Allah sesuatu yang bersifat kekal manakala cinta sesama manusia hanyalah bersifat sementara. Sebab itulah cinta selaku kecundang, tidak kesampaian dan salah seorang akan merana akibat panahan api cinta sesama manusia.

Selepas ini, cuba fikir-fikirkan menulis novel cinta semata-mata kerana Allah, bukan kerana didorong oleh nafsu atau harta benda.

Tiada ulasan: