Jumaat, 19 November 2010

PERLUNYA KETAJAMAN FIKIR PENULIS NOVEL

PERLUKAH seseorang penulis novel itu membuat rujukan atau pergi ke tempat di mana latar novel yang sedang dituliskannya supaya cara penyampaiannya lebih berkesan?

Saya sebenarnya banyak menerima soalan seperti ini daripada mereka yang bercadang menulis novel. Ada dua jawapan di sini. Pertama perlu dan kedua tidak perlu.
PERLU di sini membawa maksud, sekiranya penulis ada masa, ada sumber kewangan dan perlu membuat rujukan, ada baiknya ke tempat yang diambil sebagai latar sebuah cerita. Sebagai contohnya, peristiwa berlaku berlatar belakang Gunung Merapi di sebuah perkampungan yang teruk menerima kesan bencana itu.

Jika penulis ada peluang, ada masa, memang lebih baik pergi sendiri ke tempat berkenaan supaya latar cerita yang hendak disampaikan lebih ‘real’ seolah-olah penulis berada di tempat kejadian semasa letupan gunung Merapi berlaku.

Penulis akan dapat gambaran yang jelas, apakah sebenarnya yang berlaku dan bagaimana keadaannya setelah melihat dengan mata kepala sendiri. Tugas seperti ini sudah tentu memerlukan perbelanjaan yang tinggi. Jika penulis ada kemampuan, apa salahnya.

TAK PERLU jika penulis tidak ada kemampuan untuk sampai ke tempat berkenaan. Rujukan boleh dibuat melalui keratan akhbar, internet dan sebagainya. Mungkin cara begini kurang ‘real’nya tetapi jika penulis tajam daya imaginasinya, sudah tentu ia akan lebih berkesan.

Ramai juga penulis yang menggambar latar sesuatu tempat tanpa pergi ke tempat berkenaan, tetapi mereka harus mencari sumber rujukan supaya tidak tersalah fakta. Sebagai contoh jika mahu menjadikan peristiwa letupan gunung berapi di kepulauan Indonesia, sekurangnya penulis mesti tahu, ada berapa jumla gunung berapi yang aktif di negara itu.

Di antara banyak gunung bereapi itu, gunung manakan yang paling tinggi dan yang paling aktif. Sebagai penulis, kita tidak wajar untuk membuat andaian tanpa berdasarkan rujukan. Jika ini dilakukan, ia akan menggambarkan bahawa penulis tidak membuat persiapan rapi sebelum mengambil satu-satu tempat sebagai latar dalam novelnya.

Tiada ulasan: