Isnin, 1 November 2010

MESTI BERANI LAKUKAN EKSPERIMEN

APA yang penting, karya itu menjadi sebuah novel, ada cerita, ada dialog, ada ayat penerangan dan lain-lain yang diperlukan. Begitulah kata seorang penulis yang sedang menghasilkan sebuah novel apabila ditanya sama ada berani atau tidak membuat eksperimen atau menggarap sesuatu yang baru terhadap novel yang sedang dihasilkan.

Daripada penjelasan itu, ternyata penulis berkenaan tidak berani lagi membuat eksperimen atau sesuatu yang baru di dalam karya novelnya. Apatah lagi penulis novel itu masih tidak faham, apakah yang dimaksudkan dengan eksperimen atau pembaharuan itu.

Setahunya, selama ini dia membaca novel-novel hanya sekadar ingin tahu jalan cerita dan tidak pernah mempersoalkan bagaimanakah penulis novel itu mempersembahkan ceritanya.

Eksperimen atau pembaharuan boleh disifatkan seperti menampilkan kepelbagaian teknik dan penulisan untuk mempertingkatkan kesan dan mesej yang hendak disampaikan.

Kepelbagaian teknik yang dimaksudkan ialah dengan memasukan unsur-unsur imbas kembali, imbas muka, monolong, monolog dalaman dan sebagainya sementara meleraikan cerita dengan satu kejutan, lain daripada kebiasaan yang dijangkakan.

Ketidakberanian untuk mencuba kepelbagaian teknik menulis novel itu kerana bimbang akan menemui kegagalan dan ilmu yang kurang mencukupi untuk meredah belantara eksperimen yang lazimnya hanya berani diterokai penulis novel yang sudah mahir.

Sesebuah novel yang mampu mencuit hati pembaca harus ada nada penceritaan yang pelbagai. Mungkin ia lebih berbentuk ironis, satira atau melodrama. Semua ini sememangnya memerlukan kemahiran yang hanya mampu diperolehi dengan melakukan percubaan dan penulis mesti berani melakukannya.

Sesetengah penulis novel pula mempersoalkan, mengapa perlu melakukan pelbagai eksperimen? Bukankah ia akan memeningkan pemikiran? Tulislah novel yang mudah asalkan ada permulaan cerita, ada konflik dan ada penyelesaikannya, tidak kiralah bagaimana cara menulisnya.

Jawapannya, jika anda mahu menjadi penulis novel yang mampu melonjakkan karya anda berbanding penulis novel lain, anda harus berani melakukan sesuatu yang lain dan jangan mengekori jalan yang sudah dilalui oleh penulis lain sebelum ini.

Tiada ulasan: