Khamis, 16 Disember 2010

TEKNIK MENULIS NOVEL YANG JARANG DIGUNAKAN

KITA mungkin pernah membaca atau belum, novel yang ditulis menggunakan sudut pandangan orang pertama pada satu bab. Kemudian pada bab seterusnya menggunakan sudut pandangan pertama juga tetapi watak yang berlainan. Begitulah seterusnya bab 3 atau 4 menggunakan nwatak-watak yang berlainan. Kemudian kembali semula kepada watak yang pertama pada bab awal tadi.

Sebagai contoh, pada bab 1, watak A akan memperkatakan hubungannya dengan watak B contohnya dan watak-watak lain, kemudian pada bab 2 pula Watak B akan memperkatakan hubungannya dengan watak A atau watak-watak lain.

Seterusnya pada bab 3, watak C pula memperkatakan hubungannya dengan watak A atau B. Untuk bab-bab seterusnya pengarang menampilkan setiap watak yang berbeza menggunakan sudut pandangan orang pertama iaitu ‘aku’ atau ‘saya’.

Menulis novel menggunakan teknik seperti ini agak rumit jika tidak biasa dan tidak membuat kajian terlebih dahulu. Sebab itulah ramai pengarang muda hari ini lebih suka menulis novel menggunakan sudut pandangan orang ketiga kerana ia lebih mudah untuk mengolah dan menyusun watak.

Bagi penulis baru, mereka boleh mencuba jika ingin mencari kelainan dalam karya mereka. Jika mereka kurang jelas teknik yang dibincangkan ini, cuba cari novel-novel lama yang menggunakan teknik sedemikian. Sepanjang pengetahuan saya, kebelakangan ini saya tidak menjumpai novel yang menggunakan teknik seperti ini.

Bagi mereka yang sudah biasa menulis novel, cuba-cubalah menggunakan teknik ini. Teknik ini tidaklah sesukar mana asalkan pengarang bijak menyusun cerita supaya ia tidak ‘tunggang terbalik’ dan memeningkan pembaca memahaminya.

Tiada ulasan: