Isnin, 16 Januari 2017

TULIS EBOOK UNTUK TAMBAH HASIL MENULIS



DALAM  entri sebelum ini saya ada menulis mengenai ekonomi 2017 ini sangat mencabar bagi golongan penulis. Bagi yang menulis sajak atau cerpen, mungkin tidak terkesan dengan perkara ini. Tetapi bagi mereka yang menulis novel atau buku-buku pelbagai genre, ekonomi 2017 sudah tentu membawa kesan.

Sejak hujung tahun lalu sudah banyak penerbit yang mengecilkan saiz penerbitannya. Maksudnya mengurangkan jumlah penerbitan buku. Jika sebelum ini dlam setahun mereka menerbitkan 60 judul tetapi akibat kelembapan ekonomi, mereka mengurangkan menjadi 40 judul atau lebih kurang daripada itu.

Mereka yang menulis novel atau buku memang terkesan dengan perkara ini. Manuskrip yang ada terpaksa ‘diperam’ seketika sementara menunggu ekonomi pulih. Manakala penulis yang sudah dibuktikan buku mereka boleh dijual, berpeluang merebut kuota yang ada.

Bagi penulis baru, mungkin menjadi masalah untuk karya mereka diterbitkan. Penerbit akan berfikir banyak kali sama ada karya mereka boleh dijual atau tidak ketika zaman yang ‘perit’ ini. Bagaimana agaknya untuk penulis dapat ‘survive’ ketika ekonomi yang tenat ini?

Saya ada beberapa idea untuk dipraktikkan oleh mereka yang terjejas dengan situasi ini.Selain menulis buku, saya juga menulis ebook dan sehingga kini ebook itu masih dijual dan tetap ada permintaan.

Ebook saya itu ialah:
1.       EBOOK CARA MUDAH MENULIS NOVEL (CMMN)
2.       EBOOK 50 TIP MENULIS NOVEL
3.       EBOOK MENULIS NOVEL BERDASARKAN KISAH BENAR

Tiga ebook ini saya tulis tiga atau empat tahun lalu. Ebook inilah yang memberikan hasil sampingan saya.  Ketika ekonomi lembab dan pasaran buku fizikal tidak menentu, saya masih mendapat hasil jualan dari ebook ini.

Bagi saya menulis ebook lebih mudah berbanding menulis novel atau buku-buku motovasi Islamik. Sebagai langkah mengatasi kemelut ekonomi ini, apa kata anda fikirkan untuk menulis satu ebook. Ebook ini biarlah yang berkaitan dengan minat anda selain menulis.

Mungkin anda minat dengan memancing atau apa sahaja minat. Tuliskan satu buku panduan mengenai minat anda itu. Contohnya, ebook CARA MEMANCING MUDAH DAPAT IKAN. Cuba cari maklumat di dalam internet dan susun semula dengan gaya penulisan anda sendiri kemudian jadikan ia sebagai ebook.

Jika anda minat dengan pertanian atau menanam sayur-sayuran, anda boleh tuliskan satu ebook seperti CARA MUDAH MENANAM SAYUR DI RUMAH. Sekarang ini banyak teknik menanam sayur boleh dilakukan di rumah.

Anda tidak semestinya ada tanah. Kita boleh gunakan bekas botol minyak 5L untuk menanam sayur. Tanah hitam dan pelbagai jenis tanah yang sesuai ada dijual di nursery malah di pasaraya juga ada dijual.

Benih-benih sayuran juga ada dijual. Anda boleh tuliskan satu ebook sebagaimana tajuk yang dberikan di atas. Ebook ini sebagai panduan. Anda boleh menjualnya di blog sendiri atau di facebook. Tulislah ebook kira-ira 100 halaman dan harga ebook lazimnya di antara RM 30.00 sehingga RM 80.00.

Anda boleh buat sendiri ebook ini dengan menggunakan Microsoft Word kemudian ‘convert’ kepada fail PDF. Untuk membuat kulit muka ebook, anda boleh upah orang lain yang membuat rekabentuk kulit. Semua ini boleh dapatkan di internet.

Ya, kita tidak boleh berdiam diri! Kita mesti lakukan sesuatu. Apa yang penting apa yang anda lakukan ini tidak lari dari dunia penulisan.Dalan zaman yang semua harga barangan naik, apakah tindakan kita untuk mengatasinya.

Tuislah ebook dan fikirkanlah kata-kata saya ini!


Tiada ulasan: