MENULIS apa sekali pun kalau berniat untuk kaya,
memang tidak akan kaya. Tapi kalau menulis dengan niat mahu mengkayakan penulis
lain dengan ilmu yang kita ada, yakinlah.
Tidak perlu cari kekayaan, kekayaan
akan mengejar kita.
Tak percaya, cubalah.
Fahamilah konsep ini: Siapa banyak
memberi, dia akan banyak menerima.
Sama juga konsepnya,
siapa yang rajin bersedekah, dialah yang akan banyak rezekinya. Pokok
pangkalnya mesti sentiasa memberi.
Bagaimanapun perlu
diingat!
Jangan fikir apabila
disebut kekayaan, yang terpandang di ruang mata ialah wang ringgit. Kekayaan
datang dalam pelbagai bentuk. Mungkin akan kaya ilmu, kaya budi pekerti, kaya dengan
ramai kawan, kaya dengan ramai pertolongan apabila ditimpa kesusahan, kaya
pengalaman dan akhir sekali mungkin kaya dengan harta benda.
Apabila kekayaan datang
bentuk harta atau wang ringgit, mungkin itu satu bonus. Memang itulah bentuk kekayaan
yang diharapkan oleh manusia. Memang itulah yang sering kita doakan setiapkali selesai solat, mohon
dimurahkan rezeki. Tambah-tambahlah dalam keadaan ekonomi sekarang yang tidak
menentu.
Dimurahkah rezeki dan
dipanjangkan usia itulah yang kawan-kawa kita doakan apabila mereka dapat tahu
tarikh kelahiran kita. Tak percaya, bacalah di Facebook atau grup WhatsApp
apabila mereka dapat tahu tarikh kelahiran kita.
Banyak memberi di sini
bermaksud, jangan lokek atau berkira apabila ada di kalangan mereka yang baru
belajar hendak menulis, tidak kira apa bentuk penulisan sekali pun meminta
tunjuk ajar atau bimbingan.
Jangan berasa diri
banyak kelebihan. Kita manusia kelebihan dan kekurangan tidak sama. Membantu
sesiapa yang kurang ilmu, juga satu pemberian. Tidak semestinya pemberian itu
berupa wang ringgit.
Selama ini sudah berapa
banyak kita beri kepada orang lain?
Dalam konteks menulis,
ilmu yang ada jangan ‘dimakan’ sendiri, agih-agihkan juga kepada mereka yang
memerlukan dengan pelbagai cara. Mereka mungkin perlukan ilmu, tetapi mungkin
mereka berasa segan untuk meminta atas sebab-sebab tertentu.
Menulis di blog ini
umpamanya, banyak ilmu yang boleh dikutip oleh mereka yang baru belajar hendak
menulis. Membaca entri-entri dalam blog ini tidak perlu bayaran. Asalkan rajin
berkunjung dan menimba ilmu, dapatlah juga selesaikan masalah yang mereka
hadapi.
Bukan bermakna hari ini
kita memberi ilmu kepada orang lain, esok atau lusa kita akan dapat ganjaran daripada apa yang kita berikan.
Benih kacang panjang
pun tidak mungkin tumbuh dalam masa sehari. Ia akan berputik secara
perlahan-lahan sesuai dengan kadar pembesaran pertumbuhannya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan