Isnin, 23 Januari 2017

PENGALAMAN MENULIS EBOOK (1)




NIAT mahu menulis ebook timbul apabila pengalaman menulis sudah menjangkau lebih 35 tahun. Bermula dengan menulis sajak, cerpen, rencana, drama radio, drama TV kemudian menulis novel dan buku. Lebih 35 tahun pengalaman dalam penulisan rasa sudah cukup untuk menghasilkan ebook yang berkaitan dengan penulisan novel.

Sudah beberapa kali memenangi sayembara menulis novel, cerpen dan sebagainya tentunya banyak ilmu yang sudah ditimba. Setakat ini sudah lebih 20 novel diterbitkan. Lihat blog di sebelah kanan, judul-judul buku yang sudah terbit.

Sementara buku motivasi Islamik setakat ini sudah enam diterbitkan dan beberapa buah lagi akan menyusul. Untuk ebook pula sudah empat diterbitkan.

Mulanya, saya memang ‘kosong’ mengenai ebook dan perkataan ‘ebook’ itu hanya pernah dengar tapi tak tahu langsung macam mana nak buat, tulis, terbitkan, buat ‘cover’ dan sebagainya. Semuanya kosong.

Tapi kerana minat mendalam, saya mula cari maklumat macam mana nak tulis. Semuanya dari internet. Dapat maklumat, saya kumpul dan failkan. Lepas itu baca sehingga saya benar-benar faham. Ebook yang macam mana orang suka dan bagaimana nak tulis.

Rupa-rupanya tulis ebook ni, lebih baik tulis perkara yang berkait rapat dengan minat yang ada pada kita. Minat saya yang utama menulis novel. Jadi, selain pengalaman yang ada, saya cari maklumat mengenai penulisan daripada buku-buku dan internet. Setelah dapat semua maklumat, saya kumpulkan dan failkan.

Lepas itu baca semula, catit maklumat penting dan susun. Akhirnya dapat siapkan satu  ebook, judulnya CARA MUDAH MENULIS NOVEL (CMMN). Sudah siap menulis timbul masalah nak tukar kepada format PDF. Tujuannya supaya ebook itu tidak boleh ditokok tambah oleh mereka yang memiliki kemudian mengaku itu ebook yang mereka tulis.

Saya cari maklumat bagaimana nak tukar format dari Microsoft Word kepada PDF. Terpaksa beli CD bagaimana nak tukar format Microsoft Word ke PDF. Tetapi sekarang agak mudah, boleh tukar format Microsoft Word ke PDF hanya melalui internet sahaja. Semuanya percuma.

Bersambung….

Tiada ulasan: