Rabu, 15 Mei 2013

MENANGANI KARYA TERBENGKALAI


BUKAN   membina rumah sahaja yang terbengkalai.  Menulis juga seringkali terbengkalai. Puncanya kerana tidak ada idea atau ketandusan idea untuk meneruskan kerja-kerja penulisan novel. Ia bukan sahaja dialami mereka yang baru menulis, malah kadangkala mereka yang sudah biasa menulis juga mengalamai perkara yang sama.
          
Pembinaan rumah yang terbengkalai disebabkan banyak faktor. Di antaranya kekurangan dana, kekurangan bahan binaa, kekurangan tenaga kerja, masalah cuaca dan sebagainya. Tetapi kekurangan dana atau bajet untuk membina rumah menjadi punca utama. Jika ada dana, semua kekurangan-kekurangan kecil akan dapat di atasi.  

Dalam hal penulisan, kekurangan idea menjadi penyebab utama kerja-kerja penulisan terhenti kemudian terbengkalai. Puncanya kerana tidak ada jadual atau perancangan semasa memulakan kerja penulisan novel. 
  
Jika ada perancangan rapi, kerja penulisan tidak akan terbengkalai. Sebagaimana mahu menyiapkan sebuah rumah, paling asas adalah tapak rumah, kemudian pelan rumah, kemudian bahan-bahan binaan, disusuli dengan perkara lain yang kurang penting.

Menulis novel mesti ada rangka. Rangka yang akan menjadi terbengkalai atau tidak novel yang akan kita tulis. Sebagai contoh, novel mesti ada jalan cerita atau sinopsis. Setelah ada sinopsis, perlu ada langkah pertama menulis novel.

Sebagai contoh BAB pertama. Perlu dicatitkan apakah cerita atau konflik yang hendak disampaikan. Ada konflik, ada watak, ada latar barulah kerja penulisan boleh dimulakan. Untuk memudahkan sila catitkan daripada BAB 1 sehingga BAB akhir apakah konflik atau cerita yang hendak disampaikan.

Apabila setiap bab sudah dicatitkan, tugas penulis ialah menulis berpandukan apa yang telah dicatitkan. Habiskan setiap awal dahulu sebelum menyiapkan bab seterusnya. Maksudnya siapkan bab pertama, kemudian kedua, ketiga dan seterusnya sehinggalah selesai.

Bukan tidak boleh menulis melangkahi bab, misalnya siap bab ketiga kemudian menulis bab keenam atau seterusnya. Cara begini tidaklah praktikal walaupun sudah rangka atau garis panduan, tetapi itu hanyalah sebagai panduan sahaja. Mungkin ketika menulis,  ada idea baru muncul dan tidak termasuk dalam catitan dan rasanya perlu dimasukkan.

Sebaik-baiknya menulislah mengikut rangka atau jadual yang sudah ditetapkan. Jika satu hari mesti siapkan satu bab, mesti siapkan walaupun apa pun terjadi. Menulis tidak mengikut rangka atau jadual, inilah yang menyebabkan karya terbengkalai. Untuk menyambung semula, kita terpaksa membaca semula sejak awal, jika tidak, urutan cerita sukar hendak dijalinkan kerana kita sudah terlupa isi cerita.      
            

1 ulasan:

Nor Husna berkata...

Salam. Saya berminat untuk menulis novel fantasi. Novel ini mungkin kelihatan seperti Harry Potter tetapi lainnya ia berkonsepkan golongan yg dianugerahkan oleh Allah dgn kuasa melawan sihir. Sekarang saya dalam bab2 terakhir novel ini. Sejujurnya saya tidak pandai menulis, bahkan pernah ditegur beberapa kali oleh guru bm kerana penulisan saya yg agak teruk, sehingga dianggap saya kurang membaca. Walhal saya gila membaca, cuma saya menggemari genre fantasi. Beberapa bulan sebelum mnduduki spm baharulah guru bm saya memuji gaya penulisan saya yang banyak berubah daripada sebelumnya. Itupun selepas saya membaca buku model karangan yang bagus. Saya hanya membayangkan novel ini seperti sebuah skrip filem, kemudian barulah saya menulis apa yang terbayang di minda. Itu sahaja. Saya akan menghantar karya ini ke penerbit karnadya, insyaallah. Tetapi, saya kurang yakin dengan gaya penulisan saya. Saya berhasrat untuk menghantar beberapa bab untuk dinilai oleh encik. Boleh tolong saya? Harap balas. :)