Isnin, 1 Disember 2014

MENJADI PENULIS YANG HEBAT



TERNYATA ingin menjadi penulis yang berjaya, perlu memiliki dua  perkara keramat yang mesti diamalkan. Yang pertama ialah rajin melakukan latihan. Apa yang dimaksudkan melakukan latihan ialah latihan menulis novel. Seringkali melakukan latihan akan membiasakan diri kita lancar dengan hal-hal penulisan.


            Ia ibarat membeli sebilah parang baru. Sekali asah mungkin tajamnya hanya untuk seketika tetapi jika diasah setiap hari, lama kelamaan parang akan menjadi tajam. Sebab itulah ada peribahasa menyebut ‘belakang parang kalau diasah lagikan tajam.’ Maksudnya belakang parang yang jarang kita gunakan, jika diasah hari-hari, akhirnya  akan tajam juga. Inikan pula jika bahagian depan parang sudah tentu lebih tajam.


            Soalnya, mesti diasah hari-hari. Bukan hendak diguna, baru hendak diasah. Begitu juga dengan menulis novel. Biarpun kita belum berjaya menghasilkan novel tetapi jika kita hari membuat latihan menulis, lama kelamaan novel akan siap juga. Itulah juga yang dilakukan oleh para penulis yang hebat sebelum ini.


            Hal ini sama juga dengan pelajar yang selalu membuat latihan, akhirnya akan cemerlang dalam peperiksaan berbanding dengan pelajar yang malas membuat latihan.

            Kedua, melakukan latihan secara berulang-ulang. Untuk menguasai sesuatu perkara, ia harus dilakukan berulang-ulang kali.  Kita perhatikan pencipta dan pereka yang berjaya, mereka bukan sekali dua melakukan perkara yang sama. Setiapkali melakukan perkara yang sama, mereka akan menemui sesuatu yang baru. 

            Sebagai contoh pencipta telefon Alanxander Graham Bell. Beliau banyak melakukan eksperimen sehinggalah bentuk sejak asal dicipta sehinggakan sekarang ini dapat dilihat dalam pelbagai bentuk. Telefon yang asal, direka oleh generasi selepasnya sehingga generasi sekarang ini. Hasilnya kita dapat lihat bentuk telefon yang dahulunya menggunakan wayar, sekarang ini hanya menggunakan gelombang yang boleh dibawa ke mana-mana.

            Samalah juga halnya dengan menulis novel. Jika orang lain mampu menghasilkan novel yang mampu memikat pembaca kerana seringnya membuat latihan dan menghasilkan novel, akhirnya  hasil tulisannya sentiasa ada sesuatu yang baru dan segar.


Penulis yang berjaya dan hebat banyak mempergunakan waktu hidupnya semata-mata untuk menulis dan hasilnya mereka menikmati apa yang mereka kerjakan. Sanggupkah anda melakukan apa yang disarankan di atas? Jika sanggup, yakinlah satu ketika nanti anda akan menjadi penulis yang hebat.




1 ulasan:

®CT Nurza berkata...

Insya-Allah! terima kasih atas perkongsian.