Isnin, 1 Disember 2014

MANA SATU NOVEL YANG BAIK



Soalan:


Saya pernah terbaca dalam satu artikel, kalau hendak menjadi penulis yang baik kena perlu membaca novel yang baik. Masalahnya, macam mana nak tahu novel itu baik atau tidak? Kita membaca sinopsis pada kulit novel itu, sukar hendak menggambarkan ia novel yang baik atau tidak.


Jawapan:

Memang benar kenyataan itu. Hendak menjadi pandai mesti belajar dengan orang yang ada ilmu yang hendak kita pelajari. Hendak menjadi ahli silat tetapi belajar dengan orang  yang membaiki basikal, apalah ilmu yang boleh mereka dapat, melainkan ilmu membaiki basikal yang rosak.


            Hendak mahir menulis novel perlu berguru dengan mereka yang sudah banyak menulis novel. Hendak tahu sesebuah novel itu baik atau tidak, kena baca novel itu dahulu. Apakah pencapaian penulis novel itu sebelum ini. Novelnya  menjadi sebutan?  Novelnya ‘best seller’? Setiapkali novelnya terbit, laris seperti pisang goreng panas? Atau bagaimana? Apa yang dinyatakan di atas hanyalah ukuran sekali imbas.


            Apa yang penting baca novel itu dahulu. Sebagai pembaca, kita sudah tentu dapat membuat tafsiran awal, bagaimanakah bentuk ceritanya? Bagaimana cara penyampaian? Bagaimana pergerakan ceritanya? Bagaimana endingnya? Dan pelbagai lagi. Lain pembaca, mungkin lain tafsirannya. Justeru jika anda membaca dan kesemuanya bagus, novel ini baik untuk anda. Cari dan bacalah hasil karya penulis yang anda baca itu.


            Bagaimanapun,  unuk memastikan sesebuah novel itu baik dan bermutu, bacalah novel-novel yang pernah memenangi pertandingan atau sayembara kerana sesebuah novel itu diberikan anugerah, sudah pasti ia akan melalui beberapa proses penyaringan oleh panel-panel yang berwibawa. Panel sudah pasti ada alasan mengapa sesebuah novel itu diangkat untuk memenangi anugerah. 


            Tetapi jika anda hanya berminat menulis novel asal sahaja terbit, bacalah novel-novel yang ada di pasaran sekarang. Memang sukar hendak tahu, mana satu yang baik dan tidak baik jika tidak membacanya. Oleh itu beli dan baca novel berkenaan. Selain anda dapat membuat penilaian sendiri, pasti akan ada ilmu yang diperolehi. Ilmu itu akan membantu anda menghasilkan sebuah novel yang baik.


Tiada ulasan: