Isnin, 15 Disember 2014

BANYAK MEMBACA NOVEL PENULIS LAIN

BANYAK membaca sangat penting kepada mereka yang berhajat menjadi penulis novel. Seorang penulis bernama William Faulkner pernah berkata, “Baca, baca, baca. Baca segalanya: tulisan “sampah,”  tulisan klasik, tulisan yang baik dan tulisan yang buruk. Amatilah bagaimana cara mereka menulis. Jadilah  seperti seorang tukang kayu  yang sedang belajar bertukang, mula-mula mungkin banyak kesilapan tetapi lama-kelamaan hasilnya akan menjadi lebih baik.”

    Banyak membaca akan membuatkan kita banyak berfikir dan menilai yang mana satu tulisan yang baik dan mana satu tulisan yang kurang baik. Bahkan apabila kita makan nasi lemak yang dibungkus dengan kertas surat khabar, kita akan membacanya selepas makan.

    Begitu juga dengan kotak atau bungkusan yang dibalut dengan kertas surat khabar atau majalah. Bacalah apa yang anda lihat, anda akan bertemu dengan banyak perkara. Saya sendiri pernah terbaca salah satu cerpen saya yang pernah disiarkan di akhbar dan menjadi pembungkus nasi lemak.

    Ya, gemar sifat suka membaca ini kadang-kadang boleh mencetuskan  idea menulis kepada kita.  Bayangkan selepas makan nasi lemak, sebelum pembungkus itu kita buang, kita sempat membaca dan yang kita baca itu sesuatu yang menarik atau sesuatu peristiwa.  Kita boleh jadikan apa yang kita baca itu sebagai satu input dalam novel kita atau sub plot untuk mengembangkan cerita.

    Ada baiknya gemar membaca ini bukan sahaja terhadap kertas surat khabar tetapi juga hasil karya penulis lain.   Ada penulis yang hanya suka membaca karyanya sendiri sahaja dan tidak suka membaca karya penulis lain.

    Bacalah karya-karya penulis lain, jika karya mereka terbaik anda akan mendapat inspirasi. Bandingkan dengan  karya anda. Jika karya kita kurang baik, belajarlah bagaimana supaya karya kita menjadi lebih baik.

Tiada ulasan: