Jumaat, 21 September 2012

100 PESANAN TERAKHIR RASULULLAH - TEMPAT KEDUA ANUGERAH PILIHAN PEMBACA POPULAR - BERITA HARIAN 2012


MELALUI entri kali ini, saya ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada semua yang telah memiliki buku 100 PESANAN TERAKHIR RASULULLAH dan kepada mereka yang mengundi buku berkenaan sehingga buku berkenaan mendapat tempat kedua ANUGERAH PILIHAN PEMBACA POPULAR – BERITA HARIAN 2012 kategori buku bukan fiksyen yang keputusannya diumumkan pada 25 Ogos  2012 yang lalu.

Ucapan terima kasih juga saya rakamkan kepada pihak penerbit buku berkenaan Karya Bestari Sdn. Bhd., editor yang menangani manuskrip buku berkenaan serta kakitangan yang terlibat di dalam menerbitkan serta unit promosi yang tidak jemu-jemu membuat promosi sehingga buku berkenaan memasuki cetakan kelima dalam tempoh setahun diterbitkan.
      
Dalam pertandingan yang dianjurkan oleh Rangkaian Kedai Buku POPULAR dan Berita Harian setiap tahun itu, buku Anda Bertanya Ustaz Azhar Menjawab diumumkan sebagai pemenang pertama, tempat kedua buku 100 Pesanan Terakhir Rasulullah oleh Muhd Nasruddin Dasuki dan tempat ketiga Oi..Bangunlah Oi..oleh Dr. HM Tuah Iskandar bagi kategori bukan Fiksyen.

Manakala bagi kategori novel pula, Novel M.A.I.D karya Suri Ryana dinobatkan sebagai pemenang pertama, kedua novel 7 Hari Mencari Cinta karya Siti Rosmizah dan tempat ketiga novel  Yes Boss karya Areila Sahimi.

Sebanyak 10 buku untuk kategori novel dipertandingkan dan 10 buku kategori bukan fiksyen juga dpertandingkan. Buku-buku yang dipertandingkan dipilih berdasarkan carta jualan paling laris sepanjang tahun 2011 di rangkaian kedai buku POPULAR.

Tahniah kepada para penulis yang tersenarai sebagai finalis, walaupun anda tidak berjaya, sekurang-kurangnya ia menjadi pembakar semangat untuk terus menulis.

Tiada ulasan: