Rabu, 15 Mei 2013

MENGAPA MASIH GAGAL HASILKAN NOVEL


MENGAPAKAH   ada di antara kita semangatnya meluap-luap untuk menghasilkan novel tetapi akhirnya gagal  juga?  Pernahkah kita  merenung di manakah silapnya? Membaca novel sudah. Membeli buku panduan, sudah. Menghadiri bengkel juga sudah tetapi masih gagal juga menghasilkan sebuah novel sedangkan ada penulis lain sudah menghasilkan enam atau tujuh novel dan sudah diterbitkan. Di manakah silapnya kita?
          
          Apabila kita melakukan sesuatu dengan cara yang sama tetapi mengharapkan hasil yang berbeza, merupakan orang yang tidak bijak. Contohnya, kita sudah melakukan cara menulis novel berpandukan apa yang kita belajar tetapi tidak berjaya menghasilkan novel, adakah kita perlu gunakan strategi yang sama berulang-ulang sedangkan kita sudah tahu ia akan menemui kegagalan?
          
           Cuba ubah strategi menulis jika mengalami kegagalan. Banyak cara sebenarnya untuk menghasilkan novel, tetapi kita hanya mempunyai  satu cara, bagaimanakah kita mahu Berjaya menghasilkan novel.
         
            Sebagai  contoh mudah. Kita ingin ke Kuala Lumpur, tetapi kita gunakan satu jalan. Sedangkan jalan itu selalu sesak atau ada kemalangan sering berlaku, adakah kita masih mahu gunakan jalan berkenaan sedangkan kita tahu, akan lambat sampai atau mungkin tidak sampai langsung. Pengguna yang bijak akan mencari altenatif lain  dengan memilih jalan lain yang tidak sesak, apa yang penting sampai ke Kuala Lumpur.
        
       Menulis novel juga begitu. Penulis yang bijak akan menggunakan teknik yang pelbagai untuk menghasilkan novel, apa yang penting novel dapat disiap dan diterbitkan secepat mungkin. Lagi cepat novel dapat diterbitkan, cepat juga mendapat royalti dan bersemangat juga bertambah untuk terus menulis.
     
            Sesuai dengan penulisan kreatif, penulis novel mesti kreatif dengan menggunakan pelbagai teknik dan cara untuk mengembang, mengolah, mempelbagaikan konflik di dalam novel yang digarapnya. Untuk ini, ilmu bantu sangat penting untuk penulis yang kreatif.  Penulis tidak sewajarnya duduk termenung menghadap laptop untuk menghasilkan novel.
  
       Penulis wajar meluaskan pembacaan untuk mendapatkan idea. Cuba bayangkan bagaimanakah kreatifnya seseorang penulis untuk menghasilkan sesebuah novel yang berketebalan lebih 500 halaman. Sesetengahnya berpendapat mungkin ‘pecah kepala’ untuk memikirkan tetapi bagi penulis kreatif, semua itu tidak menjadi masalah kerana bagaimanakah caranya untuk mendapatkan idea supaya kerja penulisan tidak terbengkalai. 

Tiada ulasan: