Ahad, 26 Mei 2013

PROMOSI BUKU DI PESTA BUKU SELANGOR 2013




PADA  25 dan 26 Mei lalu saya berkesempatan untuk mempromosi buku terbaru saya bertajuk 100 JEJAK PERIBADI RASULULLAH  terbitan Karya Bestari – Grup Buku Karangkraf sempena Pesta Buku Selangor 2013 yang berlangsung di SACC Shah Alam, bermula 24 Mei sehingga  2 Jun 2013.

Seperti biasa, setiapkali pesta buku berlangsung, bukan sahaja para pelajar sekolah malah golongan anak-anak muda dan dewasa tidak melepaskan pelung untuk mendapatkan buku-buku terbaru terbitan syarikat penerbitan. Boleh dikatakan banyak penerbitan buku tempatan sama ada menerbitkan buku-buku ilmiah, buku agama dan novel mengambil bahagian untuk mempromosikan buku atau novel terbaru mereka.

Pada pesta buku  inilah masa untuk penulis bertemu dan beramah mesra dengan peminat buku-buku dan tidak hairan banyak penerbit buku menjemput penulis buku atau novel mereka untuk bertemu dengan peminat  buku.

Kesempatan saya mempromosikan buku di both Karangkaf, saya berasa sungguh teruja apabila melihat banyak peminat buku novel terutamanya golongan perempuan membeli novel sehingga  10 buah novel sekaligus dan novel berkenaan yang setebal 500 halaman ke atas. Ini membayangkan industri buku terutamanya novel masih mendapat pasaran yang bagus.

Bayangkanlah jika di antara  buku yang dibeli oleh mereka itu adalah novel anda. Oleh itu mereka yang sedang menulis novel, jadikan ini sebagai pembakar semangat untuk menghasilkan novel. Walaupun pelbagai judul novel diterbitkan setiap bulan oleh pelbagai penerbit, pasaran novel masih lagi menjadi tumpuan golongan anak-anak muda, malah golongan yang sudah berusia juga saya lihat membeli novel-novel.

Kepada mereka yang telah membeli buku-buku ‘best seller’ saya, 100 Pesanan Terakhir Rasulullah (cetakan ke 9), Aku Sanggup Duhai Muhammad (cetakan ke 3) dan 100 Jejak Peribadi Rasulullah (sehingga kini sudah cetakan ke 2  diterbitkan April lalu), saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih tidak terhingga di atas sokongan anda itu.

Manakala  mereka yang sudah membeli buku-buku saya dan tidak mendapat kesempatan mendapatkan tanda tangan, saya mohon maaf mungkin ketika anda membeli saya tidak berada di tempat promosi. Jumpa lagi pada ekspo buku yang lain pula.

Tiada ulasan: