Khamis, 2 Mac 2017

SUKA DUKA MENULIS NOVEL (3)



KALAU  ditanya, adakah saya sudah puas dengan dunia penulisan yang saya ceburi ketika itu? Jawapannya belum. 

Menulis sajak, mungkin paling panjang sehelai atau dua helai muka surat. Menulis cerpen paling panjang pun kira-kira 10-12 halaman. Rasanya macam tak puas menulis sepanjang halaman itu. Saya mencabar diri untuk menulis novel. Menulis novel memerlukan paling tidak lebih 100 – 300 halaman. Boleh ke saya buat? Kenapa tidak?
Orang lain boleh  buat!

Menulis novel pun tidak pernah belajar dari sesiapa. Rajin dan banyak membaca novel, itulah ilmu yang ada selain buat kajian sendiri mengenai cara menulis, bahasa dan sebagainya. 

Saya cuba  menulis novel. Siap tulis novel, terus hantar kepada penerbit. Manuskrip novel ditolak, alasannya mungkin saya tak ada nama atau novel tak bagus. Hantar ke penerbit lain. Pun kena tolak juga. Hantar lagi ke penerbit lain, juga ditolak. Sudahnya pertama saya itu tidak dapat diterbitkan sampai  sekarang. (2017). Manuskripnya pun entah ke mana!
Itulah kalau nak belajar sesuatu tak ada mentor! Main belasah saja..

Kecewa? Memanglah!

Siapa tak kecewa, penat menulis. Ketika itu menulis dengan mesin taip bukan dengan komputer. Kalau salah boleh ‘delete’. Guna mesin taip, kalau salah kena ‘liquite’. Sudahnya manuskrip sudah macam pembalut bungkusan. Kotor, padam sana padam sini.

Tapi ingin sangat nak jadi penulis novel, gagahkan jugak menulis novel dengan mesin taip. Itu pun setelah beberapa tahun menghasilkan manuskrip novel pertama. Sekitar tahun 1985 atau 1986 barulah merasa guna komputer, itu pun masa itu gunakan perisian Wordstar yang gunakan cakera keras.

Akhirnya dengan gunakan computer itu sempat juga hasilkan novel pertama berjudul “Gerimis Masih Di Pipi” diterbitkan oleh Mastika Publisher. Kulit novel yang illustrasinya mirip wajah penyanyi Shiela Majid sedang termenung. Novel itu pun, satu sen tak dibayar.
Tak kisahlah. Masa itu fasal bayaran bukan masalah besar. Yang penting novel dapat diterbitkan dan boleh tunjuk pada kawan-kawan.

Dapat novel itu pun terpaksa beli di kedai dengan duit sendiri dan lama lepas itu, penerbit itu pun bungkus. Walaupun tak dapat bayaran sesen pun tapi ada rasa bangga sebab akhirnya dapat juga hasilkan sebuah novel.

Novel setebal 106 halaman itu berharga RM 2.25 sen.
Bila ingat-ingat balik, macam nak tergelak pun ada. Rupa-rupanya, saya pun ada bakat tulis novel.

Ya, kalau kita tak cuba sesuatu yang baru, macam mana kita nak tahu hasilnya? Macam saya menulis sajak, rasanya saya tak boleh pergi jauh. Saya cuba tulis cerpen, barulah saya tahu saya boleh pergi jauh dengan terhasilnya sebuah antologi cerpen persendirian dan beberapa buah antologi cerpen bersama penulis-penulis lain.

Bersambung…

Tiada ulasan: