Khamis, 2 Mac 2017

SUKA DUKA MENULIS NOVEL (1)



SEINGAT saya sepanjang lebih 30 tahun dalam dunia penulisan, saya tidak pernah cerita atau tuliskan mengenai pembabitan saya dalam penulisan novel. Bermula dengan menulis sajak di radio sehingga kini saya lebih tumpukan penulisan buku motivasi Islamik dan penulisan di blog.

Untuk kali ini, saya ingin kongsi dengan pembaca bagaimana saya perjalanan penulisan saya, semoga ia boleh dijadikan panduan kepada mereka yang mahu menjadi penulis novel atau buku-buku lain dari pelbagai genre.

Jika ada para pembaca yang ingin memberikan komentar atau pandangan, boleh tuliskan di ruangan ulasan di blog ini. Kita boleh berkongsi maklumat dengan pembaca lain. 

Baiklah. Sebagai penulis, saya sudah menetapkan matlamat sejak awal pembabitan. Jika saya menulis sajak pada hari ini, sepuluh atau dua puluh akan datang, mana mungkin saya hanya menulis sajak sahaja?

Saya tidak mahu hanya dikenali sebagai penulis sajak tetapi dalam genre yang lain juga. Banyak cabang dalam dunia penulisan sebenarnya dan kita perlu terokai.

Saya mula menulis sajak sejak di bangku sekolah menengah lagi. Di radio waktu itu ada satu ruangan ‘Bunga Bangsa’ yang disiarkan di Rangkaian Nasional RTM. Dalam ruangan itu banyak diceritakan mengenai kegiatan para pelajar sekolah menengah. Waktu itu saya dalam tingkatan 5, 1976.

Pada akhir rancangan itu akan disiarkan sebuah sajak oleh para pendenar, pastinya ramai di kalangan pelajar. Sajak sajak saya,  tajuk tak ingat banyak kali disiarkan di ruangan itu. Saya juga lupa nama penerbit rancangan itu.

Masa itu tulis sajak dengan pen dan kertas kajang, kemudian hantar. Alhamdulillah dapat perhatian.

Bermula dari situ, minat menulis mula membara. Mana-mana rancangan radio yang ada siarkan sajak, saya akan hantar. Alhamdulillah saya sudah mula mencipta nama.

Tidak saja menulis di radio, saya juga menulis sajak di akhbar untuk pelajar. Waktu itu ada ‘Utusan pelajar’ dalam bentuk tabloid terbitan Utusan Melayu (M) Sdn. Bhd. Terbit setiap hari Khamis dan harganya RM 20.00. saya kenal Utusan Pelajar semasa di sekolah rendah lagi. Saya sebenarnya berlanggan dengan guru sekolah setiap minggu. Cikgu akan beli di pekan dan dibawa ke sekolah.

Bila sudah masuk sekolah menengah, saya cuba menulis sajak di akhbar berkenaan, akhirnya hasil usaha saya beberapa buah sajak dan cerpen saya disiarkan. Waktu itu betapa gembiranya, sukar hendak dibayangkan apabila sebaris nama tertera dalam akhbar pelajar yang ditatap oleh semua pembaca di Malaysia.

Apabila sudah mula mendapat tempat, saya mula menulis sajak di akhbar-akhbar seperti Mingguan Malaysia, Berita Minggu dan majalah-majalah tempatan. Tetapi nampaknya peluang sajak saya tidak menyerlah. Tak boleh pergi jauh…

Hanya beberapa buah sahaja sajak saya yang sudah disiarkan. Kalau hendak dihitung, mungkin tidak 10 buah sajak yang disiarkan.

Lalu apa saya buat, bila menulis sajak kurang menyerlah?

Bersambung…..

Tiada ulasan: