WALAUPUN berpuluh-puluh
judul novel terbit setiap bulan dengan pelbagai cerita namun bukan bermakna
telah habis cerita ditulis. Sebenarnya banyak cerita yang boleh digarap dan
diolah dengan kebijaksanaan penulis untuk dijadikan cerita dalam novel.
Bergantung kepada kemampuan penulis untuk mengolah tema yang dipaparkan.
Meskipun ceritanya ringan kerana cara pengolahan yang bijak, ia menjadi sebuah
cerita yang menarik.
Terdapat juga ada cerita yang menarik tetapi kerana cara
pengolahan yang ‘hanya asal siap’ ia menjadi kurang menarik walaupun sebenarnya
ia boleh digarap dengan baik. Di sini kemampuan penulis cerita sangat penting.
Sebagai contoh jika sebuah sinopsis cerita yang sama diberikan kepada 10 penulis untuk
dijadikan sebuah novel, sudah tentu cara penulisan, teknik, bahasa, dan
sebagainya tidak akan sama. Jika diberikan pula kepada penulis yang sudah
berpengalaman dengan penulis yang baru menulis, hasilnya sangat berbeza.
Penulis yang bijak mungkin tidak akan menulis mengikut
urutan cerita yang bermula dari A – Z tetapi menggunakan teknik imbas kembali
yakni bermula dari Z kemudian A. Penulis yang lain pula akan mengambil
pertengahan cerita seperti bermula dari M kemudian kembali kepada A seterusnya
mengakhirkannya dengan Z pula.
Penulis bijak yang lain pula mungkin juga memulakan
cerita dari pertengahan yakni dari M terus kepada Z dan kembali semula kepada
A. Kemampun pengolahan tidak akan dating sendiri melainkan mencubanya melalui
pengalaman.
Kebiasaannya pengalaman menulis akan memudahkan teknik
penulisan seperti ini. Bagi penulis baru sudah tentu akan mengalami kesukaran
dan akan menjadi keliru, akhirnya akan menjadikannya bosan lalu terbengkalailah
novel yang sedang dihasilkan.
Namun bagi penulis baru disarankan supaya menulis novel
mengikut kronologi cerita atau urutan kerana ia mudah tanpa menggunakan teknik
imbas kembali atau imbas muka. Jika tidak berhati-hati perjalanan atau plot
novel akan tunggang langgang dan penilai sukar hendak faham sekaligus menolak
novel seperti ini untuk diterbitkan kerana pengolahannya yang mengelirukan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan