Ahad, 24 Januari 2010

RANGKA NOVEL SEBAGAI GARIS PANDUAN

KELMARIN saya menerima emel daripada seorang yang telah membeli ebook Cara Mudah Menulis Novel (CMMN) dari Kluang, Johor beberapa bulan lalu. Pengirim emel yang baru belajar hendak menulis novel itu telah mempraktikkan apa yang saya sarankan di dalam ebbok berkenaan.

Berkat kesabaran dan kesungguhanya, dia telah menghasilkan satu sinopsis novel berpandukan apa yang saya tulskan di dalam ebook itu langkah demi langkah. Katanya, dia sekarang sedang menyiapkan bab 8 daripada 39 bab yang dituliskan dalam kerangka cerita.

Dia juga memberitahu, tidak menghadapi masalah kebuntuan idea menulis kerana selesai satu bab, dia sudah tahu apa yang akan ditulis selepas ini. Cuma apa yang menjadi masalah, ketika menulis novel itu, tiba-tiba ada idea baru muncul sedangkan idea tidak ditulis di dalam kerangka cerita.

Dia bertanya, “Perlukah saya abaikan atau masukkan idea itu dalam novel yang sedang saya tulis?”

Saya membalas emel itu, “Jika idea itu relevan dengan dengan cerita, tidak ada sebab untuk diabaikan meskipun tiada dalam rangka cerita?”

Saya jelaskan lagi,”Rangka cerita hanyalah garis panduan supaya tidak terkeluar dari plot cerita. Selagi ada idea baru ketika menulis dan ada kaitan dengan novel yang sedang ditulis, cuba manfaatkan sebaik mungkin.”

Setengah penulis yang menulis novel tanpa garis panduan ibarat pergi ke satu-satu tempat yang tiada tujuan dan matlamat. Kita mestilah tentukan apakah tujuan dan arah apabila keluar dari rumah.

Begitu juga dengan menulis novel. Menulis novel ibarat satu perjalanan dari A ke Z. Di dalam perjalanan itu kita sudah tentukan apakah yang bakal kita temui dan bilakah masanya kita akan sampai. Jika kita bertemu dengan sesuatu yang tidak dirancang dan tidak ada kena mengena dengan kita, abaikan sahaja.

Tetapi jika kita bertemu dengan sesuatu yang ada kaitan, manfaatkan sebaik mungkin. Sebagai contoh, A menaiki komuter dari Klang ke Kuala Lumpur untuk ke bangunan Lembaga Tabung Haji kerana ada urusan. Sampai di stesyen Subang Jaya dia bertemu dengan rakan lama yang bekerja di situ.

Pertemuan itu perlu dimanfaatkan kerana sudah pasti rakannya itu dapat membantu melicinkan urusannya di bangunan Lembaga Tabung Haji itu.

Begitulah. Saya harapkan pengirim emel berkenaan akan terus mempraktikan apa yang tuliskan di dalam ebook CMMN itu.

Selamat menulis.

* SEMUA ARTIKEL DI DALAM BLOG INI DIIZINKAN UNTUK DITERBITKAN SEMULA DI BLOG MEREKA YANG BERMINAT DENGAN SYARAT MESTI MENYATAKAN SUMBER ARTIKEL INI DARI http://mnasruddindasuki.blogspot.com

Tiada ulasan: